Thursday, August 14, 2014

Merungkai Misteri Hidup

Sekian lama tidak meninggalkan sebarang catatan di sini, terasa begitu canggung untuk memulakan tulisan kembali. Memang tidak adil jika kekangan kerja dan masa menjadi alasan sedang kita semua punyai masa yang sama. Mohon maaf buat semua!

Apa yang saudara fikir tentang kehidupan?

-Misteri hidup sukar diduga. Begitu juga perasaan di jiwa.
Apabila saya bertanya teman-teman, pasti saya akan peroleh pelbagai jawapan. Ya, hidup adalah perjalanan. Pastinya kehidupan di dunia ini bukanlah destinasi terakhir kita. Jadi, mana mungkin kesementaraan ini disia-siakan dan tidak dinikmati sebaiknya.

Ada juga yang berkongsi; hidup ini tentang perjuangan. Maka walau celaka manapun kehidupan, ia tetap kehidupan. Begitulah hakikatnya; baik atau buruk kehidupan, kehidupan tetap kehidupan. Kehidupan itu yang sedang kita lalui saat ini. Ya, waktu ini!

Hidup adalah proses pembelajaran. Kehidupan adalah guru yang paling sejati; menjadikan kita orang yang tidak tahu kepada serba tahu. Kehidupan juga yang mengajar kita mengenali anekamacam jenis manusia. Hanya dengan kehidupan kita akan temui manusia baik dan juga sebaliknya, kerana manusia baik dan jahat ada di mana-mana. Berjaga-jaga!

Dalam hidup, saudara pasti tidak pernah menjangka apa yang akan berlaku pada hari esok juga waktu akan datang. Hidup ini misteri. Terlalu misteri. Banyak rahsia yang terlalu sukar untuk diungkap lebih-lebih lagi berkaitan perasaan yang mendiami jiwa. 

Jangan hanya mengharap yang indah-indah dalam hidup kerana tidak semuanya bisa dimiliki. Melihat orang lain memiliki serba serbi mungkin saudara juga terasa mahu begitu, mahu memiliki serba segala sedang hakikatnya manusia itu tidak sempurna sifatnya. Adakala, kekurangan bagi saudara adalah kebahagiaan bagi orang lain yang melihatnya. Bukankah kekurangan itu melengkapkan?

Kadang-kadang, yang tidak terjangka itu lebih indah. Yang datang tanpa diduga itu lebih bahagia. Kerana itu saya sering menitipkan pesanan agar menghargai dan menikmati kehidupan yang cuma seketika ini. Selamat merungkai misteri kehidupan!

Thursday, January 09, 2014

Antara Baharu yang Lama.

Selamat Tahun Baharu 2014. 
Rasanya belum terlewat untuk menitipkan ucapan selamat buat semua pembaca setia. Sudah seminggu kita melewati tahun baharu walaupun hakikatnya semuanya masih sama. Mungkin hanya sebahagian sahaja yang merasai suasana dan persekitaran baharu, bersama teman yang baharu dan mungkin kerjaya yang baharu.
-Perbaiki azam setiap hari ^^

Hakikatnya, tahun baharu cumalah garis pemisah waktu; yang menjauhkan kita dengan kenangan dan mendekatkan kita dengan kematian. Ya, tahun baharu juga hanyalah satu tingkat waktu untuk kita menilai diri dan mentafsir kembali sejauh mana kita melangkah dan sebanyak mana kita berbakti.

Sedang masa berganti, kita masih membawa diri kita seadanya. Dan pastinya hanya diri kita yang menemukan jawapan di persimpangan pilihan; antara hitam atau putih, antara kotor atau bersih, juga pastinya antara syurga dan neraka. Kita yang punyai jawapan untuk setiap pilihan!

Maka apalah makna tahun baharu; hijriah atau masihi? Adakah kita masih menjadi orang yang terus leka dengan setiap nikmat dan kejayaan? Atau kita memilih untuk menjadi orang yang lebih bererti daripada semalam yang telah dilalui? Cuma kita juga yang mampu dan berhak mentafsir makna diri. 

Alhamdulillah, laman Menjejak Dewasa sudah berwajah baharu. Doakan moga saya terus semangat dan diberikan kekuatan untuk mencatat sesuatu di sini. Sama-sama menasihati dan memperbaiki diri. Teringat lagu keramat Ibu Kandung Suluh Budiman; selagi hayat dikandung badan, kami tetap berbakti. Ya, kami akan terus berbakti!

Tuesday, November 12, 2013

Di Bawah Sayap Malaikat

-Rumah Allah, tempat yang paling tenang. Tiada bandingan.
Sudah lama sebenarnya saya tidak mengunjungi majlis ilmu, lagi-lagi ilmu yang dikongsi di rumah Allah. Yang terhimpun jutaan barakah (yang tidak terkira pahala di sisi-Nya) dan dinaungi di bawah sayap ribuan malaikat. Betapa manusia memang sering berada dalam kerugian. Allah, jauhkan kami daripada menjadi manusia yang rugi!

Sementara menunggu untuk berjemaah Isyak, sempat juga saya mendengar peringatan ringkas yang disampaikan Tuan Imam ketika mengunjungi sebuah masjid di tengah-tengah bandar raya Kuala Lumpur. Begitu bersahaja peringatannya tetapi membuatkan fikiran kita berkira-kira untuk menduga, betapa kita ini jenis hamba yang bagaimana?

Katanya, terlalu banyak nikmat yang Allah berikan. Kadangkala tanpa kita sedar. Nikmat hidup, nikmat makan, nikmat belajar, nikmat berkawan, nikmat keamanan, nikmat kesetiaan, nikmat kejujuran dan pelbagai nikmat yang tidak mampu terhitung oleh setiap daripada kita. Cuma kita sahaja yang sering kufur. Tidak bersyukur dengan nikmat-nikmat yang Allah anugerahkan. Ya, saya tersedar!

Allahku, segala puji hanya layak buat-Mu. Segala pujian buat Tuhan sekalian alam. Betapa kami semua sebenarnya cuma kecil di mata-Mu. Ampunkan kami wahai Tuhan, yang selalu lupa untuk mensyukuri setiap nikmat-nikmat yang Engkau lambakkan. Ampunkan kami!

-Terhimpun rahmat dan berkat di bawah sayap malaikat.
Sekali lagi saya seperti di awangan. Pesan Tuan Imam, bersangka baiklah dengan Allah. Ya, itulah yang sering kita gusarkan; tentang hidup yang cuma kesementaraan. Seringkali hati kecil mengamuk tak tentu hala, selalu bersangka buruk dengan takdir. Selalu menyalahkan Allah yang merencana setiap perjalanan. Ya, kita bersangka buruk tanpa sedar. Merungut di dalam hati; mengapa jadi begini, mengapa aku yang kena, kenapa bukan orang lain? Ya, sampai bila kita mahu berprasangka? Berburuk sangka pula dengan Pencipta. Nauzubillah!


Ternyata pesanan ringkas itu benar-benar membekas, di hati kecil saya yang sering laparkan makanan rohani begini. Moga-moga pesanan ringkas dan tulisan ini akan menyedarkan sedikit rasa kehambaan kita yang semakin pudar. Ya, mungkin kita terlupa yang kita ini cumalah hamba. Hamba yang mahu dinaungi di bawah lembayung arash-Nya ketika tiba waktunya nanti. Semoga!

Tuesday, October 08, 2013

Tentang Tiga Perkara

-Allah, rahmatilah hidup kami!
Cuma tiga perkara, saya kongsikan buat ingatan bersama.

Tiga perkara yang tidak boleh kembali;
1. Waktu
2. Kata-kata
3. Kesempatan

Tiga perkara yang boleh menghancurkan hidup seseorang;
1. Kemarahan
2. Keangkuhan
3. Dendam

Tiga perkara yang tidak boleh hilang;
1. Harapan
2. Keikhlasan
3. Kejujuran

Tiga perkara yang paling berharga;
1. Kasih sayang
2. Cinta
3. Kebaikan

Tiga perkara dalam hidup yang tidak pernah pasti;
1. Kekayaan
2. Kejayaan
3. Mimpi

Tiga perkara yag membentuk watak seseorang;
1. Komitmen
2. Ketulusan
3. Kerja keras

Tiga perkara yang membuat kita sukses;
1. Tekad
2. Kemahuan
3. Fokus

Tiga perkara yang tidak pernah kita tahu;
1. Rezeki
2. Umur
3. Jodoh

Tiga perkara yang pasti dalam hidup;
1. Tua
2. Sakit
3. Kematian

Mungkin kita tahu, tapi kita terlupa. Fitrah bagi yang bernama manusia. Sama-sama kita bermuhasabah tentang tujuan kita hidup dan apa yang kita mahu dalam hidup. Semoga bermanfaat!

Thursday, October 03, 2013

Kepulangan yang Pasti

Ketika membuka laman Muka Buka selepas Subuh tadi, saya baca status yang ditulis oleh Ustazah Noraini, berkali-kali. Betulkah berita yang saya baru baca ini? Tanpa lengah, saya sedekahkan al-Fatihah. Sungguh, saya masih tidak percaya.

Kemudian, terus saya sms Cikgu Norida; cikgu, betul ke Mok Dek dah tak ada? Betul, jam 5 pagi tadi. Saya jadi sebak. Daripada Allah kita datang, kepada Allah kita pulang. Saya yakin, pasti satu sekolah akan terasa kehilangan Mok Dek.

-Berehatlah dengan tenang. 
Mok Dek begitu mesra dalam kalangan warga sekolah kami, dan begitu popular dengan masakan ikan kelinya. Daripada saya tingkatan satu hingga tamat tingkatan lima, dialah yang menyajikan juadah enak kepada kami di kantin sekolah. Sebetulnya, hingga kini. Ya, sehingga kini sebenarnya Mok Dek masih berkhidmat di kantin sekolah kami. Sudah lebih sepuluh tahun.

Saya agak terkesan dengan kehilangannya, mungkin kerana kami agak rapat. Lagi pula, saya baru datang berziarah pada 10 September yang lalu. Sempat juga dibekalkan beberapa keping roti kepada saya. Allahu, semoga rohmu ditempatkan bersama mereka yang dilimpahi rahmat dan redha-Nya. Setiap kali saya datang bertandang, pasti akan dapat menikmati nasi ikan keli yang begitu popular di sekolah kami secara percuma.

Walaupun sudah bertahun-tahun meninggalkan zaman sekolah, saya terasa selesa kerana masih diingati dan dilayan dengan begitu baik lebih-lebih lagi dengan Mok Dek dan semua pekerjanya. Mungkin juga saya terkesan kerana kepulangannya begitu awal. Ternyata, benarlah ajal itu tidak akan cepat sesaat dan tidak lewat sesaat. Dan pasti, kita semua juga akan pulang ke negeri abadi. Cuma tidak tahu bila waktunya akan tiba. Dan sejauh mana persediaan kita?
Al-Fatihah.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails