Saturday, April 20, 2013

Datang dan Pergi

-Hanya sendiri.
Pernahkah anda bayangkan ketika anda bangun pagi dan tiada sesiapa di sisi. Bagi yang hidup membujang, tiada teman sebilik. Teman serumah pun begitu juga. Yang tinggal bersama keluarga, tiada suami, tiada isteri, tiada anak-anak, tiada emak, tiada ayah. Cuma anda seorang sahaja yang ada. Ketika keluar rumah, pun begitu. Sunyi sepi. Ya, cuma anda seorang. Lalu berjalanlah anda tanpa arah tuju. Mahu mencari makanan di kedai makan, tiada sesiapa. Yang ada cuma anda seorang sahaja. Dan ketika itu, kepada siapa yang anda akan minta untuk membantu?

Ada seorang teman pernah kata kepada saya begini; Amir, hidup ni macam dalam game. Orang yang ada di depan kita tiba-tiba sahaja boleh hilang. Macam dalam game, sekelip mata sahaja boleh hilang. Dan begitulah juga dalam hidup sebenar yang kita lalui. Orang yang pernah ada di sisi kita tiba-tiba boleh menjauh. Tiba-tiba boleh menghilang. Dan tiba-tiba kita cuma bersendirian. Ya, dan ketika itu mungkin kita hanya berteman dengan Tuhan!

Begitulah sebenarnya hidup, dunia ini cuma tempat persinggahan. Manusia ini datang dan pergi. Kaya, miskin, sakit, sihat, bijak, goblok, rajin, malas; semuanya cuma singgah untuk seketika. Apabila difikir-fikir, itulah sebenarnya ujian yang Tuhan hadirkan, untuk menilai setinggi mana syukur kita. Sehebat mana kita menghargai manusia-manusia yang pernah hadir dalam hidup kita. Ya, inilah hidup!

-Sahabat. Datang dan pergi?

Bertemu dan berpisah; itu lumrah. Jangan pula disalahkan pertemuan andai takut dengan perpisahan. Setiap pertemuan pasti ada perpisahan, dan begitulah juga dengan manusia-manusia yang pernah hadir dalam hidup kita. Mungkin bahagianya untuk seketika, atau jodohnya setakat itu sahaja. Tapi begitulah adat hidup, musafir seperti kita yang cuma menumpang di negeri dunia ini. Sekadar menanam sebanyak amal agar nanti dapat merasa manisnya pohon-pohon amal yang kita tanam di ladang kehidupan. Moga kita bertemu di syurga abadi nanti!

Buat kamu yang sering datang dan pergi, moga terus bahagia. Hamba cuma insan biasa, tidak sempurna.

Wednesday, April 03, 2013

Jiwa Yang Gagah


Sebenarnya saat ini, saya seakan-akan mahu mengalah. Betapa menjadi pelajar tahun akhir ini bisa menggugah sebuah sabar. Kalau diikutkan hasutan, saya sudah hanyut dengan kekalahan.

Dikerumuni dengan tugasan yang rencam membuatkan jiwa kecil saya turut dikecam- dengan bisikan yang mampu menjatuhkan bila-bila masa. Rupanya benarlah, musuh yang paling utama dan dekat ialah diri kita sendiri. MasyaAllah!

Dan saat ini jugalah saya merasakan betapa masa itu begitu berharga dan tak mahu saya lepaskan walau sesaat dengan perkara yang tidak bermanfaat. Betapa lemahnya susuk seorang manusia yang sering lupa dengan janji sebelum tercipta di dunia satu masa dahulu. Ingkarnya kami dengan Tuhan yang Maha Perkasa, Maha Tahu segala rasa!

-Terus berjalan menempuh ombak cabaran!
Kalau diikutkan, ketika ini saya sudah kalah dengan perasaan sendiri. Segala puji buat-Mu Allah yang mengirimkan pesanan cinta. Betapa saya sedang mengumpul bahagia ketika menatap riwayat sirah, sungguh Tuhan itu menjaga kita selagi hati kita menyimpan tempat untuk-Nya. Allahu, kisah Ibrahim, Hajar dan Ismail ini sungguh mengesankan saat hati kecil merusuh dengan tugasan- yang hanyalah kesementaraan.

Begitulah pesan bijak pandai, menuntut ilmu ini satu perjuangan. Ya, perjuangan yang memerlukan kesabaran dan pengorbanan; masa, tenaga, jiwa dan bahagia. Betapa manis di hujung jalan ini semakin tidak sabar untuk dinikmati. Dan kisah manusia hebat (Ibrahim, Hajar, Ismail) ini cuba memberitahu kepada saya bahawa mereka yang menuntut ilmu selalu dinaungi di bawah sayap malaikat. Maha suci Allah!

Tuhan, memang selalu ada. Memerhati tingkah kita. Di kesempatan waktu, hamba merafak syukur kerana dalam celaru dan buntu, dihadirkan jalan- memudahkan urusan. Betapa di saat hamba menyerahkan segalanya, Allah semakin akrab memeluk lalu membisikkan ingatan; Allah tidak membebani seseorang sesuai dengan kesanggupan. Ya, mampu! Dan jiwa pun kembali mekar, mengharum dengan wangian tetesan ayat Tuhan.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails