Sunday, July 21, 2013

Jangan Mengeluh

Alhamdulillah, sepuluh hari penuh rahmat sudah ditinggalkan. Moga-moga amalan kita bertambah baik menyusuri fasa pengampunan dan pembebasan api neraka dalam madrasah ramadhan musim ini. 

Buat adik-adik yang sudah seminggu menjalani latihan mengajar di sekolah-sekolah seluruh Malaysia, masih belum terlambat lagi rasanya saya mengucapkan selamat berpraktikum. Inilah masanya kalian berhadapan dengan cabaran sebenar seorang guru.

-Merindui saat ini :)
Pun begitu, agak terkilan juga sebenarnya apabila melihat sebilangan mereka yang menulis status di laman Muka Buku seperti; sudah tidak sanggup lagi menjadi guru, tidak tahan dengan beban kerja dan cukuplah kali ini sahaja jadi cikgu. Melihat situasi ini, saya jadi sedih melihat sikap guru-guru yang begini. Betapa mereka tidak ikhlas untuk mendidik walaupun cuma guru pelatih.

Tidak ada beza pun guru pelatih atau guru sebenar. Mungkin ruang lingkup tugas dan beban tanggungjawab agak berbeza tetapi jika dilihat tugas sepanjang menjadi guru pelatih ini pun tidak mampu digalas dengan baik, bagaimanalah nanti apabila benar-benar sudah menjadi guru. Sedihlah nanti sekolah yang mendapat guru sebegini.

Saya amat mencintai bidang ini. Maaf bagi mereka yang terasa tapi saya benar-benar terkesan dengan sikap sebilangan adik-adik yang cuma baru seminggu masuk sekolah tetapi mengeluh macam menanggung beban seperti guru yang sudah berpuluh-puluh tahun berkhidmat dalam bidang ini. Apa yang seharusnya dilakukan adalah optimis dengan setiap cabaran dan tugasan yang 'dihadirkan'. 

Cubalah berlatih untuk 'membesarkan' diri mengharungi masalah yang kecil. Besarkan jiwa dan ikhlaskan diri dalam melaksanakan segala perkara kerana tugas guru sememangnya tidak mudah. Anggap setiap masalah sebagai cabaran dan belajar sesuatu daripada kehidupan. 

-Mereka harapan sebuah bangsa 
Bagi adik-adik yang sudah mula mencintai bidang ini, syabas! Manfaatkan setiap hari yang dilalui sebagai guru pelatih. Satu hari nanti, kenangan dan pengalaman yang dilalui akan menjadi kenangan yang paling indah dalam hidup saudara, percayalah!

Mulai saat ini, berhentilah mengeluh. Di tangan saudara bermulanya sebuah masa depan, kerana saudara yang bertanggungjawab mencorakkan lukisan sebuah tamadun dengan melakarkan anak bangsa yang berwibawa.

Selamat meneruskan perjuangan untuk minggu kedua! Ayuh, semangat!

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails