Wednesday, June 12, 2013

Belajar Melupakan

Sengaja tadi saya menulis status di laman Facebook begini; 
-Ada seorang teman bertanya, bagaimana mahu melupakan.
Dan saya diam. Tidak ada jawapan untuk itu. Tapi ketika ini, mahu sahaja saya menyuruhnya berjalan dalam hujan. Dan menangis mengikut rentak hujan yang mengalir. Dan mungkin tiada siapa yang tahu tangisan itu. Jangan sedih, nanti pelangi muncul memberi sinar baru!

-Bolehkah menjadi tenang andai begini?
Tidak lama lepas itu, ada seorang teman menghantar pesanan di kotak mesej saya;
terbaca pos kat wall Amir... huhuhu... itulah persoalan yang nak tanya
tapi macam pompuan la menangis dalam hujan.... ahahaha (sebenarnya dia ada tanya saya di mana, sebab mahu jumpa) rupanya mahu bercakap tentang ini. Oh, mangsa putus cinta lagi! (jangan marah beb)

Kebelakangan ini, seringkali juga teman-teman lelaki bertemu dengan saya dan berkongsi cerita; ditinggalkan gadis, sudah putus kasih, buat kerja jadi tak betul dan sewaktu dengannya. Apa yang dapat saya bantu cumalah menjadi pendengar yang baik dan cuba memberikan semangat serba sedikit. Ya, pastinya putus cinta itu sakit. Sangat sakit.

-Cinta. Benarkah ada di mana-mana?
Saya juga pernah putus cinta. Dan pastinya sakit. Sangat perit. Tapi seringkali saya bertanya kepada diri sendiri, takkan mahu bunuh diri. Nauzubillah! Pastinya hidup perlu diteruskan. Ya, bukankah hidup ini satu perjuangan? Dan tidak berjaya dalam percintaan sesama manusia itu juga lumrah. Pastinya belajar untuk melupakan itu tidak mudah. Melupakan orang yang sering bersama kita, yang selalu ada saat jatuh dan bangun lalu tiba-tiba dia atau kita telah menjauh sebenarnya adalah perkara yang sangat memeritkan dalam hidup. Perlu mengambil masa untuk melupakan. Sabar.

Alah, senanglah cakap. Suruh orang sabar. Kau bukan rasa! Jadi, kalau bukan sabar tindakan apa lagi yang seharusnya kita lakukan? Pernah sahaja seorang lelaki yang lebih berusia daripada saya telefon dan tiba-tiba dia menangis. Oh, saya jadi buntu untuk bertindak. Perlahan-lahan dia mula cerita. Dia penipu. Dia tipu abang, Mir! Ok, saya cuba menangkap maksud tangisan tersebut. Betapa mudahnya lelaki mengalirkan air mata kerana wanita. Benarlah, penangan wanita memang sangat hebat! Dan saya memberikan semangat. Bukan mahu berlagak pandai, tapi mungkin saya sudah merasai peritnya perpisahan berbanding dia. Dan syukur, dia masih mampu bersabar.

-Cinta itu belajar untuk menerima.
Dalam percintaan, kekurangan itu biasa. Sudah namanya manusia, mana ada yang sempurna. Oleh itu, untuk bahagia perlu untuk kita menerima kekurangan pasangan. Kalau mahu mendamba kelebihan setiap masa, pasti takkan ketemu. Semakin kita mengenali seseorang, pastinya kita akan lebih mengetahui kekurangan dan kelemahannya. Percayalah! Jadi, jika sudah rasa serasi belajarlah menerima kekurangan dan atasi setiap kelemahan sendiri dan pasangan. Belajar juga untuk mencari makna setia. Kesetiaan itu terlalu mahal harganya. Dengan setia kita mampu bahagia. Cubalah!

Bagi yang sedang bersedih kerana terputus kasih, cubalah belajar melupakan. Kenangan bersama memang sangat manis untuk dikenang tapi percayalah, Tuhan sengaja mengenalkan kita dengan orang yang salah sebelum kita bertemu dengan orang yang betul. Belajarlah daripada kesilapan. Mungkin juga salah kita, atau sebetulnya salah bersama. Masing-masing ada kelemahan. Itu yang pasti. Cuba sibukkan diri dengan melakukan kerja-kerja lain, yang pastinya berfaedah. Mungkin juga saudara ada alternatif lain untuk melupakan, yang mungkin boleh juga dikongsikan. Belajarlah melupakan. Perlahan-lahan. Bukankah hidup ini proses pembelajaran? Belajar nikmati hidup, belajar dengan mereka yang istimewa di sekeliling kita. Belajar untuk hargai mereka yang dihadirkan Tuhan dalam hidup kita. Ya, belajar! Moga perkongsian ini bermanfaat!

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails