Monday, January 30, 2012

Berhenti Berharap

Saat ini saya benar-benar nekad. Cukuplah. Buat apa menyayangi andai diri tidak disayangi. Setelah dia cuba memohon agar Allah menjauhkan hati kami (saya dan dia), saya tetap berusaha untuk menerima dia. Biarlah walau apapun terjadi. Saya setia menanti, menunggu saat itu walau tak mungkin berlaku- menerima saya. Biarpun pernah dihantar sepotong pesan, HapusAkuDariMimpimu!

Pahit, perpisahan memang pahit. Apatah lagi melibatkan hati dan rasa. Saya sedaya upaya menyedapkan hati, biarlah. Beri dia masa, nanti saat sudah tenang datang baiklah kembali. Tapi rupanya tidak. Dia benar-benar nekad sedangkan saya berusaha memberi ruang agar dia tetap menemani seumur hidup saya.

Tapi takdir Allah tidak siapa yang mampu menyanggah. Ini mungkin sudah tertulis, untuk saya dan dia. Kami mungkin ditakdir untuk menyayangi hanya seketika. Hinggalah dihantar pesanan agar saya padamkan semua gambar kenangan kami berdua, saya sudah nekad. Ya, saat ini saya benar-benar sudah berhenti berharap! Moga dia terus bahagia. Dan saya, akan terus begini- ada impian yang perlu direalisasi!

Andai dia mampu membuang semua kenangan, tapi tidak bagi saya. Hakikatnya kenangan itu yang mendewasakan, yang banyak mengenalkan erti manis biarpun rasa pahit yang sering ditelan, dan kenangan itu juga yang banyak mengajar makna bangkit semula saat terjatuh berkali-kali! 

Aku pulang
Tanpa dendam
Kuterima...
Kekalahanku

Kau ajarkan aku bahagia
Kau ajarkan aku derita
Kau tunjukkan aku bahagia
Kau tunjukkan aku derita
Kau berikan aku bahagia
Kau berikan aku derita

Aku berhenti berharap
Dan menunggu datang gelap
Sampai nanti suatu saat
Tak ada cinta kudapat.

Moga kau terus bahagia! =)

Saturday, January 28, 2012

Pilihan

Cuti semester kali ini seringkali juga saya berziarah ke rumah nenek (Mak arwah abah). Maklumlah, semasa kecil memang saya membesar bersamanya. Tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat menjadi orang. Nenek memang seorang yang garang, ustazah yang amat dihormati dan disegani. Ketika mengaji al-Quran, akan disemaknya bacaan dan pastinya akan terselit di tangannya sebatang rotan. Oh, kenangan menjadi kanak-kanak memang amat indah untuk dikenang!

Dan saat usia begini (usia layak untuk berumahtangga), seringkali nenek pesan supaya memilih pasangan hidup dengan baik. Jangan salah pilih. Pilih orang yang baik-baik. Ya, dalam hidup memang kita sering dihamparkan dengan pilihan. Hanya kita yang mampu memilih buruk atau baik, hitam atau putih- ya, semuaya kita yang perlu pilih!

Masalahnya, buat masa sekarang saya masih belum ada pilihan lagi untuk dipilih. Biarlah, masa sahaja yang akan menentukan siapakah yang akan dipilih dan siapakah yang akan menjadi teman saya sampai syurga nanti. Saya tak mahu fikir lagi tentang ini, biar sahaja masanya tiba nanti. Saya percaya, pasangan yang baik bukanlah mereka yang banyak persamaan dengan diri kita tetapi mereka yang memahami dan menerima perbezaan diri kita seadanya. Kerana ketidaksempurnaan itu sebenarnya yang menyempurnakan hidup!

-Cuma rindu akan damai pantai saat ini!

Wednesday, January 25, 2012

Fikir-fikir!

Cuti kali ini mungkin benar-benar saya rasa makna bercuti kerana dapatlah saya lari untuk seketika daripada masalah yang sering melingkar gapura fikir. Masalah, sentiasa ada dalam hidup. Biasalah, kita kan manusia biasa. Kalau dah namanya pelajar, ada sajalah masalah yang mengunjung tiba, itu biasa. Oh, tak mahu melalut sampai tak tertutup mulut!

Untuk cuti kali ini, saya sebolehnya menolak andai ada tawaran untuk saya berkhidmat dan berbakti. Bukan berlagak 'senior' atau 'demand' tak tentu hala, cuma buat masa ini saya benar-benar mahu merasa nikmat cuti semester! Aha. Kalau cuti semester masa muda-muda dulu (macam sekarang sudah tua!), pantang ada program mesti saya mahu ikut serta. Bukan apa, sekadar mahu menambah ilmu dan pengalaman buat bekalan agar menjadi guru yang berjaya. Guru, bukan hanya cikgu yang menulis di papan tulis dan merotan murid di dalam kelas tapi guru itu luas definisi konsepnya.

Cuti kali ini sebenarnya membuatkan saya berfikir tentang banyak perkara. Ya, saya bersyukur dengan nikmat cuti ini. Jika saya tidak bercuti saat ini, entah bila saya akan berfikir apa yang tengah saya fikirkan ini. Oh, fikir-fikir!

Cuti ini sebenarnya saya sudah mula terfikir-fikir tentang tajuk kajian ilmiah saya yang perlu dibentang semester hadapan. Maka, perlulah untuk saya fikirkan tajuknya, sumber dan bahan untuk kajian agar memudahkan penulisan tesis untuk semester akhir nanti. Pertengahan tahun ini pula, saya akan memulakan praktikum. Jadinya, cuti ini saya sudah mula terfikir sekolah untuk saya jadikan eksperimen pertama saya untuk menjadi bakal guru. Ah, debaran mula terasa! Saya terfikir juga bagaimana cara untuk menarik perhatian pelajar agar terjatuh cinta dengan kelas saya nanti, dan jatuh cinta dengan subjek sejarah!


Dan saat ini saya sudah terfikir tentang masa akan datang. Selepas habis belajar, apa yang saya akan buat dan siapakah saya nanti. Ah, benar-benar menjejak dewasa! Banyak perkara yang membuatkan saya terfikir-fikir dan barulah saya mula faham inilah rupanya hidup; tidak semuanya mesti bahagia. Jatuh bangun itu lumrah, yang menjadi garis penilai iman- bersyukur atau tidak, ikhlas atau hanya berharap. Hanya kita yang tahu jawapan.


Berfikir sesaat lebih baik daripada beribadah beribu-ribu tahun. Moga rahmat dan redha Allah sentiasa melimpahi ruang hidup kita semua. Senyum selalu! =)


Tuesday, January 17, 2012

Rasa Yang Menyatukan

Malam sudah larut benar dan mata belum bersedia untuk lelap, masih segar. Malam tadi makan bersama lelaki-lelaki dalam keluarga debat, cuma ada abang Fawiz, Hisyam, Zalie dan Din. Entahlah, jujurnya saya tidak tahu apakah rasa yang sedang menyelinap di gapura hati. Perasaan yang hadir bercampur baur. Saya cuba untuk tidak sedih, seperti biasa gelak tawa saya membuatkan orang sekeliling memandang sinis. Walhal sedaya upaya saya menyembunyikan rasa sedih yang kurang enak itu. Sekadar mahu menceriakan suasana, mungkin bagi yang belum mengenali saya akan katakan yang saya ini sudah gila. Ish, apakah!

Saya mula menggauli keluarga debat sejak tahun pertama lagi, dari semester satu dan apabila difikirkan kembali rupanya saya membesar dengan keluarga ini. Ya, yang banyak mengajar saya tentang pelbagai perkara.; tentang cita, cinta, harapan dan impian. Saya baru selesai melihat kembali foto-foto kenangan yang masih dalam simpanan, sejak mula saya kenal keluarga debat UPSI. Aduh, betul-betul rasa rindu. Benarlah, saat itu tidak akan berulang kembali. Ya, saya amat percaya!

-Jujur, amat merindui figura-figura mereka yang hebat ini! ;)

Masa terus bergulir dan seorang demi seorang daripada mereka yang pernah bergelumang dalam dunia oratar akan meninggalkan keluarga ini, menjadi dewasa dengan jalan sendiri. Saat yang saya tidak mahu tiba juga, menjadi antara yang 'tertua' dalam keluarga ini. Bila difikirkan kembali, banyak rasa yang tersimpan dalam jiwa -membiarkan sahaja agar satu hari nanti kenangan itu terus hidup dalam ingatan.

Debat membawa saya mengenali suatu perkara, iaitu perjuangan. Ya, walau apapun yang terjadi rasa untuk berjuang itulah sebenarnya yang menyatukan. Mengangkat nama UPSI sebagai juara dalam arena debat intervarsiti adalah antara impian saya, mungkin satu masa nanti harapan saya ini akan menjadi nyata. Allah, kabulkanlah doa hamba kerdil-Mu ini. Hakikatnya, kejayaan itu sebenarnya adalah perjalanan, bukan destinasi.  Debat juga hakikatnya bukanlah perjuangan individu. Ia memerlukan kesungguhan, ketekunan dan setiakawan. Mungkin ada sesetengah mata yang melihat perjuangan ini mudah, namun dalam perjuangan yang sebenarnya lebih banyak pahit daripada manis, lebih banyak sukar daripada senang dan pastinya lebih banyak getir daripada indah.

-Sebahagian daripada kenangan saya, Debat Alam Sekitar 2010 (UMT).

Namun, mereka yang setia bergulat dalam gelanggang ini semestinya lebih arif mentafsir segenap rincuh rasa kerana 'lebih banyak' pahit, sukar dan getir itulah sebenarnya yang mendewasakan kita menjadi seorang yang kuat dan hebat. Rasa yang menyatukan kita inilah sebenarnya yang membuatkan kita lebih akrab dan bersatu dalam sebuah perjuangan. Moga-moga akhirnya nanti, kita diselubungi rasa indah yang tidak berpenghujung.

Monday, January 16, 2012

Cuti Semester

Kertas terakhir saya untuk semester ini pada 12 Januari yang lalu. Maka dengan itu berakhirlah semester lima saya, dan bermulalah cuti semester setelah bermingu-minggu bergulat dengan kuliah, program, dan karenah manusia yang bermacam ragam.

Apabila tiba musim cuti semester, sudah pasti anda sudah ada perancangan sendiri bukan? Pasti ada yang tidak sabar pulang ke kampung. Mujurlah kampung saya tidak jauh mana dengan Tanjong Malim bumi keramat ini. Saya yakin, pasti pembaca setia blog Menjejak Dewasa juga sudah ada perancangan sendiri untuk mengisi masa cuti ini, lebih-lebih lagi apabila mendapat baucer buku RM 200 daripada kerajaan Malaysia. Memborong sakan lah kan! (Bagi peminat buku)

Apapun, manfaatkanlah masa cuti ini dengan baik. Mungkin inilah masa terbaik untuk berbakti kepada keluarga pula. Jangan kecilkan hati ibu bapa kerana masa semakin singkat, usia pula semakin meningkat. Entah bila-bila sahaja mereka akan menyambut ketetapan yang tak berpilihan- ajal maut dalam genggaman Tuhan.

Ada juga teman-teman yang merancang untuk kerja 'part time' bagi menambah pendapatan dan pengalaman. Moga-moga kerja yang dilakukan dikira sebagai ibadah. Mudah-mudahan. Yang sudah ada perancangan sendiri seperti bercuti, ber'camping', panjat gunung dan macam-macam lagi aktiviti, ingat kita tetap memandang langit yang sama- Di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung.

Buat teman-teman yang setia berbakti kepada universiti, buat program habis baik. Moga-moga UPSI terus gemilang kerana dialah ibu kandung yang harus disanjung.

Jaga maruah diri dan peribadi. Moga sentiasa baik-baik sahaja di bawah jagaan Allah. Selamat bercuti! ;)

Tuesday, January 10, 2012

Dugaan Hamba Tuhan

Cuba anda klik dan baca ini- Tulisan Datuk Seri Wan Azizah

Saya bukan lah berdiri atas mana-mana parti politik semata, tapi ketika anda membaca tulisan beliau cubalah letakkan diri anda ke dalam dirinya.

Jika anda tidak punya sebarang rasa, manusiakah namanya? Tepuk dada tanya iman sedia ada.
Ingat, ujian yang dihantar Tuhan berbeza. Yang pasti setara dengan kudrat kita sebagai hamba. Jangan disalahkan ujian yang menimpa tetapi bersyukurlah, kerana Allah masih sayang dan mengirimkan ingatan buat kita- insan kerdil tidak sempurna.

Moga Allah limpahkan yang terbaik buat Datuk Seri sekeluarga.

Kurang Kawan

Usai menelaah subjek Sejarah Sosioekonomi sebentar tadi untuk peperiksaan esok hari, Francis mengatakan begini;

'Sekarang sudah semester 5, kawan saya pun dah kurang. Naik semester depan nanti mesti makin tak ramai.'

Begitulah juga yang saya rasa sebenarnya. Yelah dulu masa tahun pertama dahulu, masih ramai lagi kawan-kawan yang masih tinggal di kolej. Mudah untuk berjumpa. Sekarang, ramai yang sudah duduk di rumah sewa. Yelah, masing-masing sudah ada hidup sendiri kan (macam lah sebelum ni tak hidup sendiri!) Haha.

Apabila dah mula merasa bahang tahun-tahun akhir ini, banyak sebenarnya perkara yang perlu difikirkan. Proposal, praktikum dan yang paling penting ialah tesis- syarat pengijazahan untuk sarjana muda ini.

-Semester 1 dalam kenangan.

Masa dulu-dulu agak pelik juga apabila saya lihat abang Mizie, abang serumah dengan saya semasa semester 1 dan 2 dahulu- jarang berdamping dengan kawan-kawannya. Sekarang barulah saya rasa apa yang dia pernah rasa dulu (mungkin).

-Kajian lapangan di Gunung Senyum. Teman-teman Sejarah,
sebahagian daripada kenangan yang akan terus subur dalam ingatan.

Bagi saya, masing-masing ada hidup sendiri. Pilihan ada pada diri kita. Harapan dan impian setiap manusia berbeza, banyak cara untuk menggapai kedua-duanya dan yang pasti matlamat kita sama- mengharap redha dan rahmat Allah.

Biar kurang kawan sekalipun, tapi kita tahu untuk jaga maruah dan harga diri. Selamat berjaya untuk teman-teman sejarawan yang akan menjawab soalan sosioekonomi esok! ;)

Sunday, January 08, 2012

Mengidam Nasi Lemak


Tidak semestinya hanya wanita yang mengandung sahaja yang boleh mengidam kan?

Kita manusia normal. Tidak salah jika punya keinginan. Kita perlu makan untuk hidup. Dah, saya tak mahu melalut. Haha

Sehingga saat ini, saya masih lagi teringin makan nasi lemak. Siapa yang sudi bawakan saya menjamah nasi lemak tersedap? Sudah lama selera untuk makan nasi lemak ini tertangguh. Kesian kan dengan saya... Cehhh

Saya tunggu. Apa-apahal sms okey. Yang penting sedap ya!

Meniti Pelangi Senja (ii)


* * *

Vanessa terkejut bukan kepalang apabila melihat mamanya terbujur kaku di atas katil. Tujuannya masuk ke bilik mamanya pagi itu ialah mahu mengejutkan mamanya untuk bersiap ke sekolah. Mujur dia bangun awal pagi itu. Dia dapat lihat tompokan darah yang berserakan di atas cadar katil. Dia cuba menjerit untuk meminta tolong, namun suaranya tidak dapat keluar dari kerongkongnya. Vanessa betul-betul kaget. Dia tidak tahu apa lagi tindakan yang harus dilakukannya. Hujung pisau yang masih ada lagi kesan darah ditenungnya.

“Oh, my God! Apa yang harus aku buat ni?” Itu sahaja yang mampu diucapkannya ketika itu.

Dia pun keluar dari bilik mamanya itu. Dirinya sudah tidah tentu arah. Didailnya nombor telefon bimbit abangnya, namun talian tidak dapat disambungkan. Usahanya hampa dan sia-sia. Dia cuba mendail nombor telefon auntienya pula.

“Hello.”

“Ya, kenapa Vanessa?”

Auntie Ann, tolong saya. Datang rumah saya sekarang. Cepat auntie. Emergency!”

Be cool baby. Why?”

Auntie datang secepat mungkin please.”

Okey, auntie gerak sekarang.”

Ann bersiap bergegas ke rumah anak saudaranya. Apa yang telah berlaku sebenarnya? Pelbagai andaian buruk berlegar-legar di kepalanya. Dia cuba memecut selaju mungkin kenderaan yang dipandunya. Kalau boleh, dia mahu secepat mungkin sampai ke destinasi yang harus ditujunya, rumah adik perempuannya, Rosalinda!

“Mana abang kamu?” Sampai sahaja di rumah teres dua tingkat itu, itulah soalan pertama yang diajukannya kepada Vanessa.

“Entahlah auntie, saya pun tak tahu.”

“Apa yang berlaku sebenarnya?”

Vanessa pun membawa Auntie Ann ke bilik mamanya di tingkat atas. Alangkah terkejutnya Ann apabila melihat sekujur tubuh adik perempuannya tidak bergerak lagi. Kaku. Dia cuba mendekati Rosalinda. Telahannya benar, Rosalinda telah tiada. Dia pun mengarahkan Vanessa menelefon saudara maranya supaya memberitahu bahawa Rosalinda sudah tiada lagi.

Ann bergegas ke balai polis berdekatan untuk membuat laporan. Dia juga turut ke gereja memberitahu Paderi Peter tentang kematian adiknya. Selepas pulang dari gereja dia cuba menghubungi Alvin untuk memberitahu perihal mamanya yang sudah tiada lagi. Nasibnya baik apabila taliannya dapat disambungkan.

“Hello Alvin, ni Auntie Ann. Where are u Alvin ?”

“Hm, auntie, Alvin kat rumah kawan ni. Kenapa?”

Auntie nak beritahu Alvin ni. Jangan terkejut ya.”

“Apa halnya ni auntie?”

“Alvin, bersabar sayang. Mama kamu dah tiada.”

“Apa yang auntie cakap ni?”

“Betul sayang. Balik lah tengok mama kamu buat kali terakhir. Kamu di mana? Nak auntie ambilkan ke?”

“Hm, nan… nan… ti saya balik auntie.”

Talian terus diputuskan. Rasa sebak menyelubungi jiwanya. Baru semalam dia bercakap dengan mamanya. Dia bagai tidak percaya apa yang disampaikan oleh auntienya sebentar tadi.

Mak Jah masuk ke bilik Alvin pagi itu membawa sarapan.

“Selamat pagi Alvin .”

“Mak Jah, mak saya dah mati.”

“Apa kamu cakap ni Alvin?”

“Tadi mak cik saya telelefon beritahu yang mama saya dah tiada. Macam mana ni Mak Jah?”

“ Alvin, setiap yang hidup pasti akan mati. Tabah lah dengan apa yang berlaku. Nanti Mak Jah beritahu Encik Danish. Mungkin dia akan bawa kamu balik rumah nanti. Makan dulu ya. Nanti perut kosong pula.”

Alvin tiada selera untuk makan. Tidak disentuh pun makanan yang dibawa oleh Mak Jah. Mak Jah pun telah keluar. Mungkin memberitahu Encik Danish tentang kematian mamanya.

“Mari Alvin, pak cik hantar kamu balik rumah.”

“Tak susahkan pak cik ke? Pak cik kan nak pergi kerja?”

“Pergi basuh muka, gosok gigi. Bersiap cepat. Pak cik tunggu kamu.”

Alvin sudah boleh berjalan sedikit. Tetapi masih terhencot-hencot. Dia melakukan apa yang disuruh oleh Encik Danish tadi. Hatinya sudah berada di rumah teringatkan mendiang Rosalinda dan adiknya, Vanessa.

Ketika Honda CRV berhenti di hadapan rumah yang ditunjuk Alvin, sudah ramai orang membanjiri halaman rumahnya. Kelihatan kawan-kawan dan pelajar-pelajar mamanya turut menziarahi mendiang Rosalinda untuk memberi penghormatan buat kali terakhir.

“Alvin, nanti pak cik datang lagi ya. Pak cik pergi kerja dulu.”

“Terima kasih banyak-banyak pakcik. Jemput masuk dulu pakcik?”

“Petang nanti pak cik datang lagi okey?”

Pukul 2.00 petang, Paderi Peter datang untuk menguruskan acara pengebumian mendiang Rosalinda. Alvin dan Vanessa mengikuti Ann ke Tanah Perkuburan Orang Kristian, Cheras.

Alvin dan Vanessa sayu menyaksikan keranda mamanya dimasukkan ke dalam tanah. Terik matahari tidak memberikan kesan apa-apa walaupun mereka berpakaian serba hitam. Air mata Alvin dan Vanessa tidak tertahan lagi apabila Paderi Peter membacakan doa.

Alvin terasa begitu bersalah menyebabkan kematian mamanya. Mamanya membunuh diri kerananya! Kerana anak derhaka ini! Ketika Paderi Peter memulakan balingan tanah dan bunga-bunga menutupi keranda Rosalinda, Alvin terasa begitu berdosa dan menyesal dengan apa yang berlaku. Tidak dapat lagi dia mendapat kasih sayang seorang ibu!

Kini, Rosalinda bersemadi seorang diri. Bunga-bunga putih menghiasi pusaranya. Tindakan nekadnya membunuh diri menamatkan riwayat hidupnya begitu sahaja.

Ann mengajak Alvin dan Vanessa pulang. Masih terbayang-bayang lagi keramahan adiknya bercerita perihal pelajar-pelajarnya yang sudah berjaya hingga ke menara gading. Adiknya merupakan seorang wanita yang lincah. Ibu tunggal yang tabah membesarkan anak-anaknya tanpa insan bernama suami. Kini, yang tinggal hanyalah kenangannya bersama Rosalinda. Kenangan terindah itulah sahaja yang tetap menari-nari di fikirannya hingga saat ini.

“ Alvin okey sayang?”

Alvin menganggukkan kepalanya.

“Vanessa? Are u okey?”

Hanya anggukan kepalanya menyatakan yang dia sudah tidak terdaya menanggung kehibaan yang menggunung.

* * *

Selepas maghrib, Encik Danish bergerak ke rumah Alvin . Puan Natasha, Mak Jah dan Adriana turut serta. Encik Alvin sengaja balik awal hari itu untuk menziarahi Alvin.

Sampai sahaja di halaman rumah Alvin, masih ramai orang di rumahnya. Ternampak kelibat Encik Danish, Alvin keluar untuk menjemput kedatangan keluarga Encik Danish yang datang.

Are u okey Alvin ?”

Alvin hanya mampu menganggukkan kepalanya sahaja.

“Terima kasih kerana sudi datang encik, puan, Mak Jah.”

Matanya tertancap memandang seorang gadis yang begitu ayu memakai tudung litup.

“Anak saya Alvin, Adriana.”

“Hm, nanti saya ambilkan kerusi. Encik duduk di luar boleh? Di dalam paderi sedang membacakan doa. Takut tidak selesa.”

“Hm, okey.”

Alvin keluar dengan membawa kerusi yang ada di dalam rumahnya.

“Dalam agama kami, jika berlaku kematian, paderi akan membacakan doa selepas pukul 7.00 malam tujuh hari berturut-turut. Untuk mendoakan kesejahteraan si mati dan ahli keluarganya.”

“Ayah kamu mana Alvin ? Maaf pak cik bertanya.”

“Ayah saya dah bercerai dengan mama 15 tahun dah. Sekarang kami pun tak tahu mana lelaki itu. Mungkin dah ada keluarga baru.”

“Pak cik, boleh ke pak cik, mak cik, Mak Jah ajar saya mendalami Islam. Saya ingat mahu menukar agama.” Alvin bersuara.

“Betul ke apa yang kamu cakap ni? Kamu betul-betul dah tekad? Pak cik semua tak ada masalah. Bergantung pada diri kamu juga. Hati kamu kena ikhlas. Ni bukan perkara main-main. Kalau kamu memang betul-betul nak mendalami Islam, kamu boleh duduk dengan pak cik. Lagipun kamu dah tak ada tempat bergantung kan.”

Selesai acara malam itu, Alvin menyuarakan hasratnya untuk menukar agama kepada Auntie Annnya.

“Betul kamu dah fakir masak-masak Alvin? Auntie tak membantah dan tak galakkan. Tapi kalau kamu memang betul-betul mahu tukar agama, jangan lupa adik kamu tu. Dialah satu-satunya darah daging yang kamu ada.”

Encik Danish meninggalkan nombor telefonnya kepada Alvin supaya mudah dihubungi. Malam itu Alvin tidur di rumahnya. Auntie Ann setia menemani mereka dua beradik.

“kalau kamu betul-betul mahu tukar agama, esok kita ke gereja ya Alvin. Jadi, auntie akan menjaga Vanessa. Kalau kamu nak jumpa adik kamu, datanglah ke rumah auntie ya.”

“Terima kasih auntie kerana memahami. Sebenarnya dah lama saya berniat untuk memasuki Islam. Tapi saya takut mama membantah. Bila saya kemalangan dan ditemukan dengan orang yang berhati mulia macam Encik Danish membuatkan perasaan saya begitu kuat menyuruh saya mendalami agama baru ini.”

Auntie doakan kamu berbahagia dengan agama baru kamu nanti. Yang penting jaga agama baru kamu elok-elok, jangan lupakan adik kamu ni ya sayang.”

* * *

Paderi Peter seperti biasa menyambut kedatangan Ann dan Alvin dengan senyuman. Vanessa yang turut serta hanya duduk di dalam kereta. Tidak mampu menyaksikan apa yang akan berlaku.

“Betul kamu mahu kaluar dari agama ini Alvin?”

“Suara hati saya meyakinkan saya yang hati saya memang sudah terpaut dengan Islam.”

“Apa yang saya mahu pesan kepada kamu ialah, sekiranya kamu sudah masuk agama baru, ikhlaskan hati kamu seikhlasnya. Jaga agama baru kamu sebaik mungkin. Jangan burukkan agama lama kamu ya. Jadi, saya akan batalkan sijil babtis kamu mulai saat ini.”

Alvin mengangguk tanda memahami apa yang diperkatakan paderi sebentar tadi. Jiwanya terasa terlepas dari beban yang maha berat apabila paderi itu membatalkan sijil babtisnya. Sijil taubat yang hanya dilakukan sekali seumur hidupnya.

Alvin menelefon Encik Danish untuk membawanya ke Pejabat agama Islam menyelesaikan urusan pengislamannya. Encik Danish akan mengambil Alvin di rumahnya sebentar lagi.

“Ingat Alvin, pesan Paderi Peter tadi.” Auntie Ann berpesan entah kali ke berapa.

* * *

Encik Danish menjadi saksi lafaz shahadah yang keluar dari mulut Alvin. Shahadah yang dilafazkan Alvin di hadapan Imam Syazwan Hibatullah sebagai bukti yang kini Hazim Iskandar seorang Islam. Nama Alvin tetap akan menjadi kenangan buatnya. Encik Danish bersyukur prosesnya berjalan dengan lancar.

Hazim Iskandar teringat kata-kata mamanya, ‘pelangi itu sangat indah. Tidak selalu dia hadir dalam hidup kita ini.’ Dia mengakui kata-kata mamanya. Kini, dia sedang meniti sang pelangi walaupun sudah jauh terlajak dalam hidup. Dia yakin masih belum terlambat untuk dia mencuci dosanya. Walaupun senja sudah berlabuh, dia bersyukur, dirinya terpilih untuk menelusuri jalan kebenaran ini.

‘Titian pelangi senja ini akan kususuri dengan penuh kesyukuran. Terima kasih Tuhan!’

-TAMAT-

Saturday, January 07, 2012

Meniti Pelangi Senja (i)

Malam dirasanya masih muda. Dia mahu keluar juga malam itu. Cabaran daripada kawan-kawannya harus disahut. Anak jantanlah kan! Akibat tiada duit, Alvin meminta daripada mamanya. Sedang mamanya khusyuk menonton Buletin Utama, Alvin merapati mamanya yang sedang berada di ruang menonton rumah teres dua tingkat itu.

“Ma, nak mintak tolong boleh?”

“Ha, kenapa pula ni?”

“Alvin nak RM70 lah malam ni.”

“Apa kena dengan kamu ni ha? Hari-hari asyik mintak duit saja. Suruh kerja tak hendak. Cuba lah beri kesenangan kat mama. Ni nak bagi orang susah pula.”

“Ma, Alvin bukan nak dengar bebelan mama. Kalau mama nak membebel lantaklah! Kalau tak nak bagi cakap. Kan senang! Alvin bukannya nak dengar mama membebel!”

Alvin terus menghayun langkah untuk meninggalkan mamanya. Langkah kakinya terus meluru ke muka pintu.

“ Alvin!”

Alvin berpaling. Langkahnya mati. Dia tidak terus melangkahkan kakinya tetapi terus berpusing ke belakang.

“Mama tak pernah ajar anak mama untuk jadi kurang ajar! Kamu dah besar untuk memilih jalan hidup kamu. Patutnya kamu ikut jalan yang beri kebahagiaan bukan kesengsaraan yang kamu pilih. Buat apa kamu nak juga berkawan dengan mat-mat motor tu? Buktikan pada mama budak-budak motor tu mampu menolong kamu ketika susah Alvin! Jangan jauh sangat terlajak!” Puan Rosalinda bersyarah panjang.

Alvin terus keluar dari rumah itu dan menghidupkan enjin motornya membelah kesejukan malam. Entah ke mana arah tuju pemanduannya tidak diketahui. Dibatalkan niatnya untuk bertemu rakan-rakan yang mengajaknya berlumba malam itu. Akal warasnya diterjah dengan bebelan mama. Dianalisisnya satu persatu. Jiwa remajanya terus memberontak.

‘Ah, persetankanlah!’

Di rumahnya, hajat Puan Rosalinda untuk menanda kertas Matematik pelajar-pelajarnya tidak kesampaian. Hatinya sebak dengan tingkah laku anaknya yang seorang itu. Entah ke mana hilangnya adab sopan yang dipupuk sejak kecil. Rasa malu semakin menebal dalam dirinya apabila memikirkan yang dia merupakan seorang guru.

Bagaimana mahu mendidik anak orang lain sedangkan anak sendiri tidak terdidik! Rasa sebak yang menggunung menyebabkan air mata wanitanya tertumpah jua. Cepat-cepat dia mengesat air matanya menyedari yang dia berada di ruang tamu rumah teres yang dibeli hasil kudratnya selepas ditinggalkan suami 15 tahun yang lalu. Mujur anak bongsunya mengulangkaji pelajaran di dalam bilik di tingkat atas.

Fikirannya serabut. Bagai mahu tercabut jiwanya mengenangkan hilangnya tatasusila yang diterapkan sejak Alvin kecil lagi. Dia begitu terkilan dengan apa yang berlaku. Naluri kewanitaanya begitu sebak. Dia terasa diejek-ejek tidak tahu menjaga anak!

‘Duhai hati, tenanglah engkau…’

Puan Rosalinda menyusun kembali kertas jawapan pelajar-pelajarnya ke dalam beg. Tidak ditanda satu pun kertas-kertas itu. Hatinya tidak tenteram. Dia menutup televisyen dan mengorak langkahnya ke bilik tidur. Untuk menenangkan jiwanya, dia membuka peti sejuk di dalam biliknya. Dicapainya tin minuman keras lalu diminumnya. Selepas setin ‘Black Label’ habis, diteguknya lagi entah berapa tin minuman langsung tidak menyedari hakikat yang kepalanya semakin berat.

* * *

Mak Jah tangkas menyusun lauk-pauk di atas meja. Setelah berpuas hati dengan hidangannya, dipanggil tuan rumahnya di tingkat atas untuk makan. Mula-mula kakinya melangkah ke pintu bilik majikannya. Diketuknya bertalu-talu.

“Puan, mari turun makan.”

“Mak jah makan lah dulu dengan Adriana tu. Saya tunggu Encik balik.” Puan Natasha menjawab dari dalam.

Mak jah berlalu ke bilik anak tunggal majikannya, Adriana. Diketuknya perlahan lalu terus dipulas tombol pintu itu.

“Yana, mari makan. Kita turun.”

“Erk… erk… erk… erk…” Adriana menjawab sambil memberi isyarat kepada Mak jah yang dia mahu menyiapkan kerja sekolahnya terlebih dahulu.

“Ehm, siapkanlah dulu, Mak Jah tunggu.”

Direnungnya ketekunan Adriana menyiapkan kerja sekolahnya. Wajah Adriana memang ayu. Saling tidak tumpah seperti papanya, Encik Danish. Di sebalik keayuan itu, terselit secebis kekurangan pada diri anak majikannya. Puteri tunggal majikannya seorang remaja bisu. Adriana yang dijaga Mak Jah sejak berumur dua tahun sudah dianggap bagai cucu sendiri.

“Erk erk… erk erk erk…” Adriana bersuara.

Mak Jah seakan memahami butir bicara Adriana.

“Dah siap? Turun makan?”

Adriana mengangguk. Ditutupnya kerja rumah yang telah diselesaikannya. Adriana membontoti langkah pembantu rumahnya yang telah 15 tahun bersama dengannya menempuh erti kedewasaan.

Mak Jah menyenduk nasi ke pinggan Adriana dan pinggannya. Sungguh berselera sekali Adriana makan masakan Mak Jah. Malam itu, Mak Jah masak gulai ayam masak lemak cili api, sayur kubis masak kicap dan ikan keli goreng berlada. Sepinggan buah tembikai dijadikan pencuci mulut.

“Yana, perlahan-lahan makan, nanti tercekik.”

Ketika Adriana dan Mak Jah sedang menikmati pencuci mulut, terdengar kereta pacuan empat roda memasuki halaman rumah. Mak Jah segera bangun untuk menjemput kepulangan majikannya. Mak Jah terkejut ketika membuka pintu rumah itu apabila Encik Danish memapah seorang remaja lelaki yang luka di tangan dan tidak berdaya berjalan sehingga Encik Danish yang membantu lelaki itu berjalan.

“Apa yang berlaku encik?”

“Saya ternampak dia di tepi jirat cina. Kemalangan rasanya. Saya mahu tukar baju dahulu. Kejap lagi Mak Jah ikut saya ke klinik boleh?”

“Baiklah. Encik pergi tukar baju dulu. saya cuba sapukan ubat mana yang patut.”

Encik Danish memapah remaja lelaki itu ke ruang tamu banglo dua tingkat kepunyaannya.

Adriana yang menyedari kekecohan yang berlaku mengemas meja makan dan meluru ke ruang tamu mendapatkan Mak Jahnya.

“Erk… erk erk erk erk erk?” Adriana menunjuk lelaki itu.

“Mak Jah tak tahu. Papa kamu kata dia kemalangan. Yana, siapkan buku-buku untuk sekolah esok. Tidur awal ya. Mak Jah nak temankan papa kamu ke klinik.”

Adriana mengangguk tanda mengerti. Dia melangkahkan kakinya ke tingkat atas menuruti perintah Mak Jah.

Selesai bersiap, Encik Danish turun ke bawah. Mak Jah membantu Encik Danish memapah lelaki itu masuk ke dalam kereta. Encik Danish terus memulakan pemanduannya membelah keheningan malam ke klinik rakannya, Klinik Anjung Karisma.

Ketika dalam perjalanan, Encik Danish memecah kesunyian malam berkenalan dengan lelaki yang nampak sebaya dengan anaknya itu.

“Nama kamu siapa?”

“Alvin.” Sepatah dia menjawab.

“Apa yang telah terjadi sebenarnya?”

“Saya kemalangan tadi. Pemandu itu langgar lari. Tak sempat nak buat apa-apa. Mujur encik tolong.”

Mak Jah beristighfar di dalam hati. Masih ada juga orang yang tidak berperikemanusiaan seperti itu. Bukannya mahu menolong hantar ke klinik untuk dirawat, sudah langgar, lari pula.

Sampai di Klinik Anjung Karisma, Mak Jah membantu Encik Danish memapah Alvin masuk ke dalam klinik untuk mendaftar dan mendapatkan rawatan. Selepas nama Alvin dipanggil, mereka bertiga melangkahkan kaki masuk ke dalam bilik yang tertera nama Dr. Syahmi Faris.

Dr. Syahmi Faris merupakan kawan Encik Danish ketika di universiti dahulu. Walaupun berbeza bidang, mereka tetap berkawan baik sehingga hari ini. Alvin dibawa ke tempat pesakit untuk mendapatkan rawatan daripada doktor muda itu. Encik Danish dan Mak Jah mengambil tempat di kerusi tetamu, diam membisu.

Selesai menjalankan rawatan kepada Alvin , Dr. Syahmi Faris memapah Alvin dan membawa remaja lelaki itu duduk di kerusi tetamu yang kosong bersebelahan dengan Mak Jah.

“Siapa budak tu Danish?”

“Aku jumpa dia di tepi jirat cina sebelum ke rumah aku tu. Budak tu okey?”

“Susahnya nak jumpa orang berhati mulia macam kau ni Danish. Perangai kau memang tak berubah sejak universiti dulu kan . Suka sangat tolong orang. Alvin tiada masalah. Cuma luka kecil sahaja di siku, pergelangan tangan dan kakinya. Aku dah sapukan ubat pada lukanya. Jadi, aku bagi ubat cuci luka dan ubat tahan sakit sahaja. Cuci dua kali tau. Pagi dan malam.”

“Kau ni Mi, dah tanggungjawab kita membantu orang lain kan . Ada apa-apa lagi ke? Kalau tak, aku nak beransur dulu.”

“Ehm.. How’s your life?” Dr Syahmi bertanya sambil menatap sepasang mata cantik kawan baiknya.

“Setakat ni okey sahaja. Tiada masalah yang berlaku. Apasal pulak kau tanya aku? Kau tu sampai bila nak membujang?”

“Ehm.. kalau ada masa nanti aku kenalkan kat kau ‘yang teristimewa’ tu. Kau pun sekarang ni busy je kan.”

“Aku busy ke kau yang busy?”

“Sama-sama busy!”

“Ehm, okeylah Mi, aku gerak dulu. Thanks a lot ya.”

Mak Jah dan Encik Danish memapah Alvin untuk ke farmasi mengambil ubat. Dr Syahmi Faris turut mengekori mereka bertiga. Selepas Encik Danish membunyikan hon dan Dr Syahmi Faris melambai tangan, bayangan kereta Encik Danish hilang membelah kepekatan malam.

“Boleh awak bermalam di rumah saya malam ni?”

“Tak menyusahkan encik ke?”

“Kalau awak sudi apa salahnya.”

“Ehm, boleh juga.”

Sampai di banglo milik Encik Danish, Alvin dibawa ke bilik tetamu di tingkat bawah. Mak Jah menemani Alvin hingga ke dalam bilik tetamu itu. Encik Danish mengorak langkah ke tingkat atas selepas membantu memapah Alvin hingga ke dalam bilik tetamu. Esok dia harus bekerja lagi.

“ Alvin okey?”

“Hm, setakat ni tak ada apa-apa masalah. Kalau ada apa-apa hal nanti saya panggil mak cik.”

“Panggil saya Mak Jah.”

“Hm, Mak Jah.”

“Esok Alvin bangun solat Subuh?”

“Saya tak solat Subuh Mak Jah.”

Mak Jah beristighfar di dalam hati. Takkan dah besar macam ni pun tak mahu solat subuh?

“Sebagai oran g Islam, kita wajib menunaikan solat. Kenapa Alvin tak solat?”

“Saya beragama kristian lah Mak Jah.”

“Ha, kamu kristian?”

Alvin menganggukkan kepalanya.

“Mak Jah tengok muka saya macam orang melayu ke?”

Mak Jah pula menganggukkan kepalanya.

“Hm, Mak Jah minta maaf. Kamu tidur dulu. Pagi esok Mak Jah kejutkan kamu.”

* * *

Bersambung...


Kisah Minggu Ulang kaji

Minggu ulang kaji tidak semestinya kita menghadap buku 24 jam kan?

Bagi saya minggu ulang kaji adalah minggu untuk rehat daripada segala hiruk pikuk dunia kampus. Sebagai pelajar sepenuh masa, saya perlu melunaskan kewajipan 14 minggu kuliah walaupun kadangkala saya terponteng kelas secara sengaja ataupun tidak sengaja. Haha.

Di universiti juga, saya kena belajar hidup bermasyarakat. Saya kena belajar berorganisasi dan berpersatuan. Jadinya, apabila minggu ulang kaji sudah pasti saya akan berehat daripada menyertai pelbagai program yang kadangkala seronok apabila mendapat kawan baru dan belajar sesuatu perkara yang baharu.

Okey, saya tak mahu celoteh panjang. Ini antara kisah minggu ulang kaji untuk persediaan peperiksaan semester ini. Ha, persediaan? Persediaan lah sangat!

Disebabkan kertas peperiksaan saya bermula agak lewat, maknanya cuti minggu ulang kaji yang seminggu telah jadi dua minggu dan pastinya seminggu pertama itu saya telah habiskan masa untuk bergedik santai di kampung. Haha.

Okey, setelah saya kembali semula ke Tanjong Malim saya telah menghabiskan masa ulang kaji dengan menyibukkan diri di Sungai Klah Hot Spring. Saya pergi pada 31 Disember bersama adik beradik debat; abg Fawiz, Azam dan Din. Mula-mula menggedik pergi kolam air panas, lepas tu baru mengecutkan diri di kolam mandi yang memang syok! Aha.


\
-Saya suka gambar ini. Bercerita tentang sesuatu, indah!

Awal tahun baru pula, saya menghabiskan masa ulang kaji di Empangan, Kuala Kubu Bharu. Kami bergerak pada waktu petang, konon-konon setelah penat seharian mengulangkaji. Padahal saya tak ulangkaji apapun. Nakal betul!

-Meredah hujan yang turun seketika di jalanan.

-Sesi mendengar cerita hantu. Apa ke jadah! Haha


Ada satu petang juga, saya menggedik santai untuk berbasikal. Serius, sudah lama saya tidak berbasikal! Rasa seronok sekali sekala keluar peluh begini. Nampak sangat dah lama benar saya tak riadah. Lepas habis peperiksaan ini, saya teringin nak panjat gununglah. Siapa nak ikut?

-Cuma pusing2 kampus sahaja

-Teringin mahu berbasikal lagi!

Friday, January 06, 2012

Keracunan

Assalamualaikum warahmatullah dan salam sejahtera.

Alhamdulillah, segala puji buat Allah dan hanya layak untuk-Nya.

Pertama kali dalam hidup saya Allah menguji dengan keracunan makanan. Selasa malam yang lalu saya makan seperti biasa cuma bezanya mungkin kuantitinya lebih sedikit. Kali pertama saya makan Nasi Goreng Thai dengan teman di kedai makan sekitar Tanjong Malim. Tidak lama lepas itu, saya dapat panggilan telefon daripada ahli keluarga kelab debat BM.

Walaupun perut sudah kenyang, saya makan juga demi menjaga hati (bajet baik!). Separuh nasi saya kongsikan dengan abang Abu Handalah. Akhirnya saya habiskan juga dengan usaha yang gigih sambil bergelak ketawa seperti biasa saat berjumpa ramai-ramai. Hahaha

Sampai di rumah, saya mula rasa perut semacam. Ish, nak buang air besar macam hidup segan mati tak mahu. Tak tahulah cik perut saya ini mahu apa. Hampir setengah jam juga saya mundar mandir sebab mata tak boleh tidur apabila perut tak selesa, saya termuntah di dalam tandas seorang diri. Teman serumah semuanya sudah di dalam bilik masing-masing. Mungkin ada yang sudah tidur dan mungkin juga ada yang mengulangkaji, maklumlah musim peperiksaan.

Saya minum air. Setengah jam lepas itu, saya muntah lagi. Saya betul-betul dah tak terdaya. Habis semua nasi yang dimakan sebentar tadi keluar. Saya sms abg Afiq tanya dia sudah tidur atau belum. Tiada respon. Saya telefon Khairel ketua blok dan Hazman NYDP kolej, tidak berjawab. Saya bersabar walaupun rasa macam dah habis tenaga. Saya cuba untuk tidur, dapatlah terlelap kejap. Tidak lama lepas itu, cepat-cepat saya ke tandas kerana rasa lain macam. Saya muntah lagi, kali ini keluar air pula. Teman di kolej Za'ba suruh saya telefon felo bertugas. Malangnya saya tidak tahu siapa felo bertugas dan tiada nombornya. Aduhai!

Beberapa minit berlalu, abg Afiq respon sms saya, beritahu belum tidur lagi. Jam waktu itu sudah 3 pagi dan kami keluar dari kolej menuju ke klinik kecemasan Tanjong Malim. Mujur pembantu perubatan itu kata saya stabil dan masih okey lagi. Katanya kalau teruk kena masuk air, tapi sejujurnya ketika itu saya memang sudah tidak larat. Selesai mendapat rawatan, kami terus pulang ke kolej dan membeli air 100 plus di 7 Eleven.

Pagi itu saya muntah lagi. Aduhai, tujuh kali sudah saya muntah. Saya benar-benar sudah tidak larat. Sampai saya beritahu teman sebilik, Zalie kalau abang pengsan bawa abang pergi hospital ya. Saya rasa macam dah tak ada air dah dalam badan. Tiap kali minum, keluar. Pertama kali saya rasa keadaan ini. Mujur peperiksaan akhir saya belum mula lagi. Doakan saya cepat sembuh dan dapat menjawab peperiksaan dengan cemerlang untuk kertas pertama bagi semester ini Sabtu ini. Abg Afiq, terima kasih banyak-banyak. Terima kasih juga buat teman-teman yang selalu ada di sisi saat saya susah dan senang. Sayang kalian kerana Allah!

Buat teman-teman seperjuangan, selamat maju jaya!

Monday, January 02, 2012

Catatan Awal Tahun

Assalamualaikum warahmatullah dan salam sejahtera.

Dahulu, apabila masuk tahun baru saya pasti akan tulis kata-kata semangat di muka depan diari. Kali terakhir saya ada diari ketika tingkatan enam beberapa tahun lepas. Saya masih ingat lagi, kata-kata yang sering menginspirasikan diri hingga diberi ruang untuk menjejak kaki ke menara gading;
'Akan kucipta lirik keazaman dan akan kunyanyikan melodi kejayaan!'

Tapi itu dulu.
Sudah lama juga saya tidak ada diari. Sekarang saya lebih selesa menulis dan menyimpannya di laptop sendiri.

Saya bukanlah orang yang punya banyak azam, tiap kali masuk tahun baru azam itu, azam ini. Bukan. Bukan juga saya orang yang tidak suka berazam. Azam itu harapan. Tidak salah untuk kita berharap asalkan kita tahu harapan itu mampu untuk kita realisasikan dan bersesuaian dengan kapasiti kita sebagai manusia biasa.

Adakala kita sedar, kita mampu untuk memaknakan harapan tetapi kudrat yang tidak seberapa menghalang untuk kita gapai cecita yang kita sangkut di langit tinggi. Maknanya, wajarlah untuk kita menaruh segenap rasa percaya kepada Tuhan kerana Dia maha tahu segalanya. Kita merancang, Allah juga merancang tetapi perancangan Allah tetap yang terbaik. Percayalah tentang itu!


Tahun 2012 baru bermula. Tidak banyak yang saya harapkan. Cukuplah saya coretkan kata-kata ini untuk jadi lebih kuat dan hebat, bukan hanya di mata manusia tapi di mata Allah yang utama...

'Moga jalan dewasa ini lebih bermakna dan bahagia, dilimpahi rahmat dan redha Allah Yang Esa.'

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails