Tuesday, November 12, 2013

Di Bawah Sayap Malaikat

-Rumah Allah, tempat yang paling tenang. Tiada bandingan.
Sudah lama sebenarnya saya tidak mengunjungi majlis ilmu, lagi-lagi ilmu yang dikongsi di rumah Allah. Yang terhimpun jutaan barakah (yang tidak terkira pahala di sisi-Nya) dan dinaungi di bawah sayap ribuan malaikat. Betapa manusia memang sering berada dalam kerugian. Allah, jauhkan kami daripada menjadi manusia yang rugi!

Sementara menunggu untuk berjemaah Isyak, sempat juga saya mendengar peringatan ringkas yang disampaikan Tuan Imam ketika mengunjungi sebuah masjid di tengah-tengah bandar raya Kuala Lumpur. Begitu bersahaja peringatannya tetapi membuatkan fikiran kita berkira-kira untuk menduga, betapa kita ini jenis hamba yang bagaimana?

Katanya, terlalu banyak nikmat yang Allah berikan. Kadangkala tanpa kita sedar. Nikmat hidup, nikmat makan, nikmat belajar, nikmat berkawan, nikmat keamanan, nikmat kesetiaan, nikmat kejujuran dan pelbagai nikmat yang tidak mampu terhitung oleh setiap daripada kita. Cuma kita sahaja yang sering kufur. Tidak bersyukur dengan nikmat-nikmat yang Allah anugerahkan. Ya, saya tersedar!

Allahku, segala puji hanya layak buat-Mu. Segala pujian buat Tuhan sekalian alam. Betapa kami semua sebenarnya cuma kecil di mata-Mu. Ampunkan kami wahai Tuhan, yang selalu lupa untuk mensyukuri setiap nikmat-nikmat yang Engkau lambakkan. Ampunkan kami!

-Terhimpun rahmat dan berkat di bawah sayap malaikat.
Sekali lagi saya seperti di awangan. Pesan Tuan Imam, bersangka baiklah dengan Allah. Ya, itulah yang sering kita gusarkan; tentang hidup yang cuma kesementaraan. Seringkali hati kecil mengamuk tak tentu hala, selalu bersangka buruk dengan takdir. Selalu menyalahkan Allah yang merencana setiap perjalanan. Ya, kita bersangka buruk tanpa sedar. Merungut di dalam hati; mengapa jadi begini, mengapa aku yang kena, kenapa bukan orang lain? Ya, sampai bila kita mahu berprasangka? Berburuk sangka pula dengan Pencipta. Nauzubillah!


Ternyata pesanan ringkas itu benar-benar membekas, di hati kecil saya yang sering laparkan makanan rohani begini. Moga-moga pesanan ringkas dan tulisan ini akan menyedarkan sedikit rasa kehambaan kita yang semakin pudar. Ya, mungkin kita terlupa yang kita ini cumalah hamba. Hamba yang mahu dinaungi di bawah lembayung arash-Nya ketika tiba waktunya nanti. Semoga!

Tuesday, October 08, 2013

Tentang Tiga Perkara

-Allah, rahmatilah hidup kami!
Cuma tiga perkara, saya kongsikan buat ingatan bersama.

Tiga perkara yang tidak boleh kembali;
1. Waktu
2. Kata-kata
3. Kesempatan

Tiga perkara yang boleh menghancurkan hidup seseorang;
1. Kemarahan
2. Keangkuhan
3. Dendam

Tiga perkara yang tidak boleh hilang;
1. Harapan
2. Keikhlasan
3. Kejujuran

Tiga perkara yang paling berharga;
1. Kasih sayang
2. Cinta
3. Kebaikan

Tiga perkara dalam hidup yang tidak pernah pasti;
1. Kekayaan
2. Kejayaan
3. Mimpi

Tiga perkara yag membentuk watak seseorang;
1. Komitmen
2. Ketulusan
3. Kerja keras

Tiga perkara yang membuat kita sukses;
1. Tekad
2. Kemahuan
3. Fokus

Tiga perkara yang tidak pernah kita tahu;
1. Rezeki
2. Umur
3. Jodoh

Tiga perkara yang pasti dalam hidup;
1. Tua
2. Sakit
3. Kematian

Mungkin kita tahu, tapi kita terlupa. Fitrah bagi yang bernama manusia. Sama-sama kita bermuhasabah tentang tujuan kita hidup dan apa yang kita mahu dalam hidup. Semoga bermanfaat!

Thursday, October 03, 2013

Kepulangan yang Pasti

Ketika membuka laman Muka Buka selepas Subuh tadi, saya baca status yang ditulis oleh Ustazah Noraini, berkali-kali. Betulkah berita yang saya baru baca ini? Tanpa lengah, saya sedekahkan al-Fatihah. Sungguh, saya masih tidak percaya.

Kemudian, terus saya sms Cikgu Norida; cikgu, betul ke Mok Dek dah tak ada? Betul, jam 5 pagi tadi. Saya jadi sebak. Daripada Allah kita datang, kepada Allah kita pulang. Saya yakin, pasti satu sekolah akan terasa kehilangan Mok Dek.

-Berehatlah dengan tenang. 
Mok Dek begitu mesra dalam kalangan warga sekolah kami, dan begitu popular dengan masakan ikan kelinya. Daripada saya tingkatan satu hingga tamat tingkatan lima, dialah yang menyajikan juadah enak kepada kami di kantin sekolah. Sebetulnya, hingga kini. Ya, sehingga kini sebenarnya Mok Dek masih berkhidmat di kantin sekolah kami. Sudah lebih sepuluh tahun.

Saya agak terkesan dengan kehilangannya, mungkin kerana kami agak rapat. Lagi pula, saya baru datang berziarah pada 10 September yang lalu. Sempat juga dibekalkan beberapa keping roti kepada saya. Allahu, semoga rohmu ditempatkan bersama mereka yang dilimpahi rahmat dan redha-Nya. Setiap kali saya datang bertandang, pasti akan dapat menikmati nasi ikan keli yang begitu popular di sekolah kami secara percuma.

Walaupun sudah bertahun-tahun meninggalkan zaman sekolah, saya terasa selesa kerana masih diingati dan dilayan dengan begitu baik lebih-lebih lagi dengan Mok Dek dan semua pekerjanya. Mungkin juga saya terkesan kerana kepulangannya begitu awal. Ternyata, benarlah ajal itu tidak akan cepat sesaat dan tidak lewat sesaat. Dan pasti, kita semua juga akan pulang ke negeri abadi. Cuma tidak tahu bila waktunya akan tiba. Dan sejauh mana persediaan kita?
Al-Fatihah.

Monday, September 30, 2013

Nikmat Kopi

Sesekali mencicip secangkir kopi seperti malam ini ternyata membawa ingatan yang sukar dilupakan. Saya dan kopi begitu sebati, itulah minuman kegemaran yang sering dipesan sepanjang empat tahun pengajian. Sungguh, rindunya zaman menjadi pelajar! Begitu juga ketika menyelesaikan tugas sehingga lewat malam, pasti ada secawan kopi yang akan setia menemani di sisi.

-Kopi karamel yang saya minati
Ternyata, tanaman baru yang diperkenalkan oleh British ketika abad ke-19 setelah harganya meningkat di pasaran dunia ini punyai penggemar yang tersendiri. Mungkin bagi yang sudah terlalu biasa dengan kopi, akan turut mencintai kek Tiramisu yang begitu lazat dinikmati; lebih-lebih lagi ketika waktu petang sambil bersantai bersama teman yang paling memahami isi hati.

Saya sangat selesa menikmati kopi karamel yang mempunyai tiga lapisan ketika dihidangkan lalu saya terjemahkan; beginilah kehidupan. Hidup ini perjuangan, dan pastinya perjuangan itu pahit dan memeritkan. Yang pasti, kemanisan dan kebahagiaan pasti akan muncul. Jika tidak dalam masa terdekat, akan datang pasti saatnya akan tiba.

Begitulah juga jika dilihat pada lapisan kopi tadi, gulanya di bawah sekali. Perlu dikacau sebati untuk merasai nikmatnya secawan kopi. Lapis atas kopi yang pahit perlu disebatikan dengan gula. Begitulah juga hidup. Sebatikan diri dengan setiap cabaran yang hadir. Kemanisan akan tiba juga. Lama-lama kebahagiaan akan terasimilasi dalam setiap ujian yang tidak terduga. Beginilah hidup, adat orang berjuang.

Selalu saya berpesan kepada teman-teman; setiap masalah ada penyelesaian. Jangan terlalu mudah menyerah dan berputus asa. Andai kita mudah menyerah dan berserah, maknanya kita belum bersadia menjadi manusia luar biasa. Cabaran yang hadir sebenarnya melorongkan kita ke jalan dewasa. Dan akhirnya terserahlah kepada kita untuk melihat setiap cabaran yang hadir sebagai peluang atau ancaman. Hanya orang bijak yang bijak merebut peluang, dan melihat ancaman juga sebagai peluang. Ayuh!
-Sudah jauh ditinggalkan

Bulan Oktober bakal menjengah tiba. Pastinya hari-hari yang telah berlalu begitu bermakna andai kita benar-benar memanfaatkannya. Oktober bulan yang istimewa dalam hidup saya. Masih segar dalam ingatan ketika mendapat kejutan daripada teman-teman rapat dan adik beradik kelab debat beberapa tahun lalu yang menghadiahkan Kek Tiramisu serta mandian tepung dan telur ketika ulangtahun kelahiran saya. Terima kasih untuk ingatan! Alhamdulillah, kerana mempunyai mereka semua. Yang selalu ada saat jatuh dan bangun saya. Terima kasih.

Monday, September 16, 2013

Merdeka Palsu

-Di bawah runtuhan kota Melaka, kita bina jiwa merdeka.

Apa makna
tetes keringat
guru sejarah
yang bercerita pelbagai kisah
tentang Tanah Melayu dijajah
dan negara membangun
dengan lelah dan payah
hingga lahir
            sebuah Malaysiaku.

Apa makna
rombongan Tunku ke London
rakyat membantah Malayan Union
bersatu seluruh bangsa
walau berbeza kulit warna.

Demi tetes keringat leluhur
kami satukan suara
menyanyikan lagu damai
menutup dendangan sumbang sengketa
untuk negara tercinta.

Gema merdeka mengapung angkasa
berdekad lalu
adakah sebuah merdeka palsu?


Amir Batrisya
Tanjong Malim- Kuala Terengganu
2011

Friday, August 30, 2013

Kuala Lumpur Sudah Berubah

-Menara Berkembar Kuala Lumpur
Kuala Lumpur sudah berubah
bau, rasa, udara dan segenap zarah
mencalar rona sebuah fitrah
dan mencabuli hikayat sirah
lalu
aku malu untuk bercerita...

Kuala Lumpur
anak muda terkinja kinja
tak tentu arah
berpeluk cium di segenap sudut
tanpa ikatan yang sah
melelong harga jualan maruah.

Inilah rupa anak bangsaku
rambut diwarna merah
bertindik pusat berbaju ketat
bertatu jengking berzikir sesat
kerana kiblat yang disembah ialah barat!

-Antologi Puisi dan Cerpen MPR 2010
Dalam diam
ada juga atma yang resah
akal waras manusia membuncah
dalam hiruk pikuk kota
mentamsil anekarasa
tentang agama tentang budaya dan tentang jiwa
juga tentang bangsa merdeka
kerana
bukan ini panoramanya
dalam potret indah
bernama tamadun bersejarah.

Sukma yang gundah
bergalau tak pernah sudah
fikir yang menggugah
masih tertanya-tanya
Kuala Lumpur yang sudah berubah
atau anak watannya
yang tak tahu ke mana arah?

Amir Batrisya
Antologi Puisi dan Cerpen Minggu Penulis Remaja 2010, Siti Nur Malaysia (2013)

Sunday, August 18, 2013

Redha itu Ikhlas

Kebelakangan ini saya sering menerima sms atau ingatan agar terus kuat menghadapi hari-hari mendatang yang penuh cabaran. Terima kasih buat teman-teman yang selalu ada dan tidak pernah lelah mengirimkan doa, sokongan dan ingatan berpanjangan. Terima kasih!

Usai menulis status di laman Facebook pagi tadi, saya terima sepotong pesanan yang mengharukan;
Salam abg amir. Ikhlaskan ye
-Everything is gonna be alright

InsyaAllah doa as abg akan jmpe lebih baik.
Kerana abang juga adalah insan yang cukup baik.
Senyum.
Kerna abg manis.
Senyum.
Kerana abg unik.
Senyum.
Kerana abg masih punya Allah dihati.

Senyum.

Terima kasih dik. Terima kasih semua. Tipulah kalau saya kata tiada rasa sedih dan hiba. Saya pun manusia juga, punya hati dan rasa. Tak apa, saya okey :')

Mungkin ini jalan takdir yang perlu saya rasa sebelum jadi manusia luar biasa. Terima kasih semua; untuk doa, ingatan dan sokongan. Terima kasih tak terhingga!

Sunday, July 21, 2013

Jangan Mengeluh

Alhamdulillah, sepuluh hari penuh rahmat sudah ditinggalkan. Moga-moga amalan kita bertambah baik menyusuri fasa pengampunan dan pembebasan api neraka dalam madrasah ramadhan musim ini. 

Buat adik-adik yang sudah seminggu menjalani latihan mengajar di sekolah-sekolah seluruh Malaysia, masih belum terlambat lagi rasanya saya mengucapkan selamat berpraktikum. Inilah masanya kalian berhadapan dengan cabaran sebenar seorang guru.

-Merindui saat ini :)
Pun begitu, agak terkilan juga sebenarnya apabila melihat sebilangan mereka yang menulis status di laman Muka Buku seperti; sudah tidak sanggup lagi menjadi guru, tidak tahan dengan beban kerja dan cukuplah kali ini sahaja jadi cikgu. Melihat situasi ini, saya jadi sedih melihat sikap guru-guru yang begini. Betapa mereka tidak ikhlas untuk mendidik walaupun cuma guru pelatih.

Tidak ada beza pun guru pelatih atau guru sebenar. Mungkin ruang lingkup tugas dan beban tanggungjawab agak berbeza tetapi jika dilihat tugas sepanjang menjadi guru pelatih ini pun tidak mampu digalas dengan baik, bagaimanalah nanti apabila benar-benar sudah menjadi guru. Sedihlah nanti sekolah yang mendapat guru sebegini.

Saya amat mencintai bidang ini. Maaf bagi mereka yang terasa tapi saya benar-benar terkesan dengan sikap sebilangan adik-adik yang cuma baru seminggu masuk sekolah tetapi mengeluh macam menanggung beban seperti guru yang sudah berpuluh-puluh tahun berkhidmat dalam bidang ini. Apa yang seharusnya dilakukan adalah optimis dengan setiap cabaran dan tugasan yang 'dihadirkan'. 

Cubalah berlatih untuk 'membesarkan' diri mengharungi masalah yang kecil. Besarkan jiwa dan ikhlaskan diri dalam melaksanakan segala perkara kerana tugas guru sememangnya tidak mudah. Anggap setiap masalah sebagai cabaran dan belajar sesuatu daripada kehidupan. 

-Mereka harapan sebuah bangsa 
Bagi adik-adik yang sudah mula mencintai bidang ini, syabas! Manfaatkan setiap hari yang dilalui sebagai guru pelatih. Satu hari nanti, kenangan dan pengalaman yang dilalui akan menjadi kenangan yang paling indah dalam hidup saudara, percayalah!

Mulai saat ini, berhentilah mengeluh. Di tangan saudara bermulanya sebuah masa depan, kerana saudara yang bertanggungjawab mencorakkan lukisan sebuah tamadun dengan melakarkan anak bangsa yang berwibawa.

Selamat meneruskan perjuangan untuk minggu kedua! Ayuh, semangat!

Wednesday, June 12, 2013

Belajar Melupakan

Sengaja tadi saya menulis status di laman Facebook begini; 
-Ada seorang teman bertanya, bagaimana mahu melupakan.
Dan saya diam. Tidak ada jawapan untuk itu. Tapi ketika ini, mahu sahaja saya menyuruhnya berjalan dalam hujan. Dan menangis mengikut rentak hujan yang mengalir. Dan mungkin tiada siapa yang tahu tangisan itu. Jangan sedih, nanti pelangi muncul memberi sinar baru!

-Bolehkah menjadi tenang andai begini?
Tidak lama lepas itu, ada seorang teman menghantar pesanan di kotak mesej saya;
terbaca pos kat wall Amir... huhuhu... itulah persoalan yang nak tanya
tapi macam pompuan la menangis dalam hujan.... ahahaha (sebenarnya dia ada tanya saya di mana, sebab mahu jumpa) rupanya mahu bercakap tentang ini. Oh, mangsa putus cinta lagi! (jangan marah beb)

Kebelakangan ini, seringkali juga teman-teman lelaki bertemu dengan saya dan berkongsi cerita; ditinggalkan gadis, sudah putus kasih, buat kerja jadi tak betul dan sewaktu dengannya. Apa yang dapat saya bantu cumalah menjadi pendengar yang baik dan cuba memberikan semangat serba sedikit. Ya, pastinya putus cinta itu sakit. Sangat sakit.

-Cinta. Benarkah ada di mana-mana?
Saya juga pernah putus cinta. Dan pastinya sakit. Sangat perit. Tapi seringkali saya bertanya kepada diri sendiri, takkan mahu bunuh diri. Nauzubillah! Pastinya hidup perlu diteruskan. Ya, bukankah hidup ini satu perjuangan? Dan tidak berjaya dalam percintaan sesama manusia itu juga lumrah. Pastinya belajar untuk melupakan itu tidak mudah. Melupakan orang yang sering bersama kita, yang selalu ada saat jatuh dan bangun lalu tiba-tiba dia atau kita telah menjauh sebenarnya adalah perkara yang sangat memeritkan dalam hidup. Perlu mengambil masa untuk melupakan. Sabar.

Alah, senanglah cakap. Suruh orang sabar. Kau bukan rasa! Jadi, kalau bukan sabar tindakan apa lagi yang seharusnya kita lakukan? Pernah sahaja seorang lelaki yang lebih berusia daripada saya telefon dan tiba-tiba dia menangis. Oh, saya jadi buntu untuk bertindak. Perlahan-lahan dia mula cerita. Dia penipu. Dia tipu abang, Mir! Ok, saya cuba menangkap maksud tangisan tersebut. Betapa mudahnya lelaki mengalirkan air mata kerana wanita. Benarlah, penangan wanita memang sangat hebat! Dan saya memberikan semangat. Bukan mahu berlagak pandai, tapi mungkin saya sudah merasai peritnya perpisahan berbanding dia. Dan syukur, dia masih mampu bersabar.

-Cinta itu belajar untuk menerima.
Dalam percintaan, kekurangan itu biasa. Sudah namanya manusia, mana ada yang sempurna. Oleh itu, untuk bahagia perlu untuk kita menerima kekurangan pasangan. Kalau mahu mendamba kelebihan setiap masa, pasti takkan ketemu. Semakin kita mengenali seseorang, pastinya kita akan lebih mengetahui kekurangan dan kelemahannya. Percayalah! Jadi, jika sudah rasa serasi belajarlah menerima kekurangan dan atasi setiap kelemahan sendiri dan pasangan. Belajar juga untuk mencari makna setia. Kesetiaan itu terlalu mahal harganya. Dengan setia kita mampu bahagia. Cubalah!

Bagi yang sedang bersedih kerana terputus kasih, cubalah belajar melupakan. Kenangan bersama memang sangat manis untuk dikenang tapi percayalah, Tuhan sengaja mengenalkan kita dengan orang yang salah sebelum kita bertemu dengan orang yang betul. Belajarlah daripada kesilapan. Mungkin juga salah kita, atau sebetulnya salah bersama. Masing-masing ada kelemahan. Itu yang pasti. Cuba sibukkan diri dengan melakukan kerja-kerja lain, yang pastinya berfaedah. Mungkin juga saudara ada alternatif lain untuk melupakan, yang mungkin boleh juga dikongsikan. Belajarlah melupakan. Perlahan-lahan. Bukankah hidup ini proses pembelajaran? Belajar nikmati hidup, belajar dengan mereka yang istimewa di sekeliling kita. Belajar untuk hargai mereka yang dihadirkan Tuhan dalam hidup kita. Ya, belajar! Moga perkongsian ini bermanfaat!

Saturday, April 20, 2013

Datang dan Pergi

-Hanya sendiri.
Pernahkah anda bayangkan ketika anda bangun pagi dan tiada sesiapa di sisi. Bagi yang hidup membujang, tiada teman sebilik. Teman serumah pun begitu juga. Yang tinggal bersama keluarga, tiada suami, tiada isteri, tiada anak-anak, tiada emak, tiada ayah. Cuma anda seorang sahaja yang ada. Ketika keluar rumah, pun begitu. Sunyi sepi. Ya, cuma anda seorang. Lalu berjalanlah anda tanpa arah tuju. Mahu mencari makanan di kedai makan, tiada sesiapa. Yang ada cuma anda seorang sahaja. Dan ketika itu, kepada siapa yang anda akan minta untuk membantu?

Ada seorang teman pernah kata kepada saya begini; Amir, hidup ni macam dalam game. Orang yang ada di depan kita tiba-tiba sahaja boleh hilang. Macam dalam game, sekelip mata sahaja boleh hilang. Dan begitulah juga dalam hidup sebenar yang kita lalui. Orang yang pernah ada di sisi kita tiba-tiba boleh menjauh. Tiba-tiba boleh menghilang. Dan tiba-tiba kita cuma bersendirian. Ya, dan ketika itu mungkin kita hanya berteman dengan Tuhan!

Begitulah sebenarnya hidup, dunia ini cuma tempat persinggahan. Manusia ini datang dan pergi. Kaya, miskin, sakit, sihat, bijak, goblok, rajin, malas; semuanya cuma singgah untuk seketika. Apabila difikir-fikir, itulah sebenarnya ujian yang Tuhan hadirkan, untuk menilai setinggi mana syukur kita. Sehebat mana kita menghargai manusia-manusia yang pernah hadir dalam hidup kita. Ya, inilah hidup!

-Sahabat. Datang dan pergi?

Bertemu dan berpisah; itu lumrah. Jangan pula disalahkan pertemuan andai takut dengan perpisahan. Setiap pertemuan pasti ada perpisahan, dan begitulah juga dengan manusia-manusia yang pernah hadir dalam hidup kita. Mungkin bahagianya untuk seketika, atau jodohnya setakat itu sahaja. Tapi begitulah adat hidup, musafir seperti kita yang cuma menumpang di negeri dunia ini. Sekadar menanam sebanyak amal agar nanti dapat merasa manisnya pohon-pohon amal yang kita tanam di ladang kehidupan. Moga kita bertemu di syurga abadi nanti!

Buat kamu yang sering datang dan pergi, moga terus bahagia. Hamba cuma insan biasa, tidak sempurna.

Wednesday, April 03, 2013

Jiwa Yang Gagah


Sebenarnya saat ini, saya seakan-akan mahu mengalah. Betapa menjadi pelajar tahun akhir ini bisa menggugah sebuah sabar. Kalau diikutkan hasutan, saya sudah hanyut dengan kekalahan.

Dikerumuni dengan tugasan yang rencam membuatkan jiwa kecil saya turut dikecam- dengan bisikan yang mampu menjatuhkan bila-bila masa. Rupanya benarlah, musuh yang paling utama dan dekat ialah diri kita sendiri. MasyaAllah!

Dan saat ini jugalah saya merasakan betapa masa itu begitu berharga dan tak mahu saya lepaskan walau sesaat dengan perkara yang tidak bermanfaat. Betapa lemahnya susuk seorang manusia yang sering lupa dengan janji sebelum tercipta di dunia satu masa dahulu. Ingkarnya kami dengan Tuhan yang Maha Perkasa, Maha Tahu segala rasa!

-Terus berjalan menempuh ombak cabaran!
Kalau diikutkan, ketika ini saya sudah kalah dengan perasaan sendiri. Segala puji buat-Mu Allah yang mengirimkan pesanan cinta. Betapa saya sedang mengumpul bahagia ketika menatap riwayat sirah, sungguh Tuhan itu menjaga kita selagi hati kita menyimpan tempat untuk-Nya. Allahu, kisah Ibrahim, Hajar dan Ismail ini sungguh mengesankan saat hati kecil merusuh dengan tugasan- yang hanyalah kesementaraan.

Begitulah pesan bijak pandai, menuntut ilmu ini satu perjuangan. Ya, perjuangan yang memerlukan kesabaran dan pengorbanan; masa, tenaga, jiwa dan bahagia. Betapa manis di hujung jalan ini semakin tidak sabar untuk dinikmati. Dan kisah manusia hebat (Ibrahim, Hajar, Ismail) ini cuba memberitahu kepada saya bahawa mereka yang menuntut ilmu selalu dinaungi di bawah sayap malaikat. Maha suci Allah!

Tuhan, memang selalu ada. Memerhati tingkah kita. Di kesempatan waktu, hamba merafak syukur kerana dalam celaru dan buntu, dihadirkan jalan- memudahkan urusan. Betapa di saat hamba menyerahkan segalanya, Allah semakin akrab memeluk lalu membisikkan ingatan; Allah tidak membebani seseorang sesuai dengan kesanggupan. Ya, mampu! Dan jiwa pun kembali mekar, mengharum dengan wangian tetesan ayat Tuhan.

Thursday, March 28, 2013

Jangan Salahkan Alasan

Setelah sekian lama tidak mencoret sebarang catatan di laman ini, betapa rasa begitu canggung untuk memulakan penulisan semula. Istimewa untuk pembaca setia Menjejak Dewasa. Ya, sama-sama kita menjejak dewasa!

-Menjejak sebuah dewasa!

Dalam hidup, seringkali kita didatangi masalah untuk menguji- tidak kira dalam bentuk dan cara apa sekalipun. Cuma, bagaimana kita melihat sesuatu masalah itu. Adakah kita merupakan manusia yang suka membesarkan masalah yang kecil atau melihat masalah itu kecil dalam dimensi indera kita yang besar. Bagaimana?

-Kawan dan lawan. Siapa kita?
Jangan pernah memandang masalah itu negatif. Anggaplah sebagai cabaran yang akan mematangkan fikiran dan memberi pengalaman tentang hidup kepada kita. Ya, cabaran-cabaran itu sebenarnya yang mendewasakan. Percayalah! Jangan pernah juga menjadikan cabaran-cabaran yang hadir itu sebagai alasan, untuk kita mengekspresikan kebebasan. Salah kita, terlalu mudah untuk beralasan. Sedangkan pujangga ada berpesan; hendak seribu daya, tak nak seribu dalih. Jadi, apakah yang akan menjadi pilihan?

Saya memulakan sms; 'Dah lama tak borak'. Kemudian berbalas, 'Sibuk memanjang...'. Saya membalas kembali, 'Kita yang tak cari masa, Sibuk tu cuma alasan'. Ya, begitulah kita yang sering menyalahkan alasan-yang tidak wajar dipersalahkan. Saya sedih, mengapa manusia mudah menghamparkan alasan? Seringkali saya berpesan, setiap masalah pasti ada penyelesaian. Cuma kita yang mahu atau tidak untuk bertindak. Itu sahaja.

-Sahabat sejati selalu membahagiakan hati ^^
Tidak mengapalah, mungkin dia benar-benar sibuk sedangkan sibuk-sibuk saya, boleh berborak dengan teman-teman yang lain. Sibuk-sibuk saya, boleh bertemu dan berkongsi cerita tentang hidup yang harus dinikmati seindahnya. Atau mungkin dia sudah ketemu teman baru yang lebih serasi. Tidak mengapa, saya selalu sedar diri. Betapa saya bukan siapa-siapa. 

Dan saya tidak pernah beranggapan apa-apa. Apatah lagi melihat ini masalah yang begitu besar untuk diselesaikan. Betapa saya amat menyayangi persahabatan ini. Cuma mungkin dia perlukan masa untuk menguruskan 'kesibukan' yang hakikatnya memang tidak akan pernah berhenti dalam hidup. Jangan nanti setelah hilang di mata, baru kita tahu untuk menghargai. Ya, itu juga sifat manusia. Maaf andai tulisan ini menjentik manja ruang hati kecil dia. Terima kasih, sudi membaca tulisan hamba yang tidak seberapa. Sebelum kita salahkan yang lain, mungkin kita wajar melihat diri kita- yang pasti ada juga silapnya.




Friday, January 18, 2013

Erti Sahabat

Hari maulid nabi akan tiba lagi. Allahu, perjuangan hebat baginda tak pernah berhenti diceritakan sehingga kini. Betapa hebat peribadi kekasih Allah ini, rasul terakhir utusan Tuhan. Allahumma solli ala sayyidina Muhammad!

-Pengorbanan yang tiada ganti!
Jelas dalam lipatan sirah, sahabat yang sering bersama baginda nabi dan seorang taat setia yang selalu membenarkan. Ya, Abu Bakar lah orangnya. Manusia hebat, bukan sahaja sebagai bapa mertua malah setia di sisi Muhammad sebagai sahabat. Peristiwa Isra' Mikraj buktinya. Ketika manusia lain tidak percaya dengan peristiwa hebat itu, Abu Bakar adalah orang yang membenarkan kata-kata Muhammad tanpa rasa ragu. Sungguh, manusia biasa seperti kita belum mampu memiliki pekerti seperti itu. Subhanallah!

Jika mahu dikongsi peribadi manusia-manusia hebat ini belum tentu cukup masa untuk merungkainya. Bacalah kalam teragung kurniaan Tuhan kepada junjungan Muhammad yang begitu besar ertinya bagi manusia kerdil seperti kita. Itulah mukjizat yang masih kekal sehingga kini, Al-quran- akhlak Muhammad yang wajar dicontohi. MasyaAllah!

Saudara, pernahkah mengalami situasi di mana kita bercerita bersama seseorang sehingga mengalirkan air mata? Berkongsi kisah tentang hidup, tentang pengorbanan dan tentang mereka yang tersayang sehingga mengalir air mata tanpa sedar. Pernah?

-Sahabat sejati selalu di sisi!
Mujur ketika itu kami cuma ditemani gelap malam. Dia rancak bercerita sambil memandu kereta. saya fikirkan hanya saya yang menangis, rupanya dia juga! Sungguh, saya merasakan saat itu rasa syahdu mengepung kami. Dia bercerita tentang seseorang yang tidak pernah mengeluh membesarkannya, selalu berkorban dan pastinya mahu melihat dia bahagia. Dia berkongsi lagi, saat ini dia sungguh bahagia apabila merasakan manusia yang pernah membesarkannya sudah boleh menumpang nikmat kesenangan walau hanya sekelumit cuma. 

Entah rasa apa yang menyelinap ke dalam hati ketika itu sehingga saya sungguh-sungguh merasakan apa yang dia pernah rasa. Senyap-senyap saya menyeka air mata biar dia tidak tahu yang saya sedang menangis. Tahukah saudara, manusia hebat yang sahabat saya kagumi ini bukanlah emak yang pernah melahirkan tetapi seorang nenda yang selalu ada ketika susah mahupun senang. Subhanallah! Sampai ke destinasi, dia bersuara 'Mir, lap air mata sebelum orang lain nampak.' Dan kami pun tergelak bersama!


Saya tahu manusia di sekelilig saya juga punya kisah tersendiri. Ada yang dibesarkan dalam keluarga kecil, besar, miskin dan berada. Ada juga yang dijaga oleh emak saudara juga datuk nenek dan tidak pernah mengenali ibu ayah mereka. Ada juga yang tiada ayah sejak kecil. Ada juga yang sudah kehilangan ibu. Inilah hidup. Apa yang kita lalui tidak sama. Berwarna-warni dan berbeza-beza. Raikan perbezaan kerana perbezaan antara kita itulah keistimewaan sebenarnya!

Thursday, January 03, 2013

Doa Itu Senjata

Masih belum terlewat lagi rasanya untuk saya ucapkan selamat tahun baru 2013 kepada semua pembaca setia. Tidak sangka, laman kecil ini bakal menjengah usia lima tahun. Macam-macam yang telah dilalui, dirasai. Semuanya mendewasakan!

-Tuhanku, permudahkanlah jangan Kau susahkan!
Saudara, sesekali ketika bermuhasabah diri pernahkah tiba-tiba saudara menyedari bahawa ada perkara yang terjadi dalam hidup ternyata sehaluan dengan keinginan hati, adalah doa yang pernah dipohon sebelum ini. Ketika itu, pasti kita terasa begitu kerdil sebagai hamba. Mahu sahaja rasanya merangkul segenap kecintaan kepada Tuhan! Allahu, benar-benar terasa bahagia.

Begitulah janji Tuhan; 'Maka berdoalah kepada-Ku. Maka akan Aku kabulkan'. Namun sayangnya, tidak semua antara kita yang mampu bersangka baik kepada Tuhan yang Maha Memberi. Andai bukan saat itu doa kita diangkat, mungkin satu masa nanti Tuhan anugerahkan suatu yang lebih istimewa kerana sengaja ditangguhkan agar kita menilai sebuah hikmah dalam kehidupan. Tuhan itu tidak zalim dengan setiap hamba-Nya kerana Dia perencana paling bijaksana.

Saat Allah mendengar doa kita, terasa begitu Allah sangat dekat mengetahui setiap perkara yang bertamu di lubuk rasa, juga hasrat yang mendiami pelusuk jiwa. Punyalah Agung Allah yang Satu apabila Maha Tahu setiap yang besar mahupun kecil, yang cuma pinjaman seketika untuk kita semua! Segala puji hanya layak buat-Mu, Allahku!

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails