Friday, January 18, 2013

Erti Sahabat

Hari maulid nabi akan tiba lagi. Allahu, perjuangan hebat baginda tak pernah berhenti diceritakan sehingga kini. Betapa hebat peribadi kekasih Allah ini, rasul terakhir utusan Tuhan. Allahumma solli ala sayyidina Muhammad!

-Pengorbanan yang tiada ganti!
Jelas dalam lipatan sirah, sahabat yang sering bersama baginda nabi dan seorang taat setia yang selalu membenarkan. Ya, Abu Bakar lah orangnya. Manusia hebat, bukan sahaja sebagai bapa mertua malah setia di sisi Muhammad sebagai sahabat. Peristiwa Isra' Mikraj buktinya. Ketika manusia lain tidak percaya dengan peristiwa hebat itu, Abu Bakar adalah orang yang membenarkan kata-kata Muhammad tanpa rasa ragu. Sungguh, manusia biasa seperti kita belum mampu memiliki pekerti seperti itu. Subhanallah!

Jika mahu dikongsi peribadi manusia-manusia hebat ini belum tentu cukup masa untuk merungkainya. Bacalah kalam teragung kurniaan Tuhan kepada junjungan Muhammad yang begitu besar ertinya bagi manusia kerdil seperti kita. Itulah mukjizat yang masih kekal sehingga kini, Al-quran- akhlak Muhammad yang wajar dicontohi. MasyaAllah!

Saudara, pernahkah mengalami situasi di mana kita bercerita bersama seseorang sehingga mengalirkan air mata? Berkongsi kisah tentang hidup, tentang pengorbanan dan tentang mereka yang tersayang sehingga mengalir air mata tanpa sedar. Pernah?

-Sahabat sejati selalu di sisi!
Mujur ketika itu kami cuma ditemani gelap malam. Dia rancak bercerita sambil memandu kereta. saya fikirkan hanya saya yang menangis, rupanya dia juga! Sungguh, saya merasakan saat itu rasa syahdu mengepung kami. Dia bercerita tentang seseorang yang tidak pernah mengeluh membesarkannya, selalu berkorban dan pastinya mahu melihat dia bahagia. Dia berkongsi lagi, saat ini dia sungguh bahagia apabila merasakan manusia yang pernah membesarkannya sudah boleh menumpang nikmat kesenangan walau hanya sekelumit cuma. 

Entah rasa apa yang menyelinap ke dalam hati ketika itu sehingga saya sungguh-sungguh merasakan apa yang dia pernah rasa. Senyap-senyap saya menyeka air mata biar dia tidak tahu yang saya sedang menangis. Tahukah saudara, manusia hebat yang sahabat saya kagumi ini bukanlah emak yang pernah melahirkan tetapi seorang nenda yang selalu ada ketika susah mahupun senang. Subhanallah! Sampai ke destinasi, dia bersuara 'Mir, lap air mata sebelum orang lain nampak.' Dan kami pun tergelak bersama!


Saya tahu manusia di sekelilig saya juga punya kisah tersendiri. Ada yang dibesarkan dalam keluarga kecil, besar, miskin dan berada. Ada juga yang dijaga oleh emak saudara juga datuk nenek dan tidak pernah mengenali ibu ayah mereka. Ada juga yang tiada ayah sejak kecil. Ada juga yang sudah kehilangan ibu. Inilah hidup. Apa yang kita lalui tidak sama. Berwarna-warni dan berbeza-beza. Raikan perbezaan kerana perbezaan antara kita itulah keistimewaan sebenarnya!

Thursday, January 03, 2013

Doa Itu Senjata

Masih belum terlewat lagi rasanya untuk saya ucapkan selamat tahun baru 2013 kepada semua pembaca setia. Tidak sangka, laman kecil ini bakal menjengah usia lima tahun. Macam-macam yang telah dilalui, dirasai. Semuanya mendewasakan!

-Tuhanku, permudahkanlah jangan Kau susahkan!
Saudara, sesekali ketika bermuhasabah diri pernahkah tiba-tiba saudara menyedari bahawa ada perkara yang terjadi dalam hidup ternyata sehaluan dengan keinginan hati, adalah doa yang pernah dipohon sebelum ini. Ketika itu, pasti kita terasa begitu kerdil sebagai hamba. Mahu sahaja rasanya merangkul segenap kecintaan kepada Tuhan! Allahu, benar-benar terasa bahagia.

Begitulah janji Tuhan; 'Maka berdoalah kepada-Ku. Maka akan Aku kabulkan'. Namun sayangnya, tidak semua antara kita yang mampu bersangka baik kepada Tuhan yang Maha Memberi. Andai bukan saat itu doa kita diangkat, mungkin satu masa nanti Tuhan anugerahkan suatu yang lebih istimewa kerana sengaja ditangguhkan agar kita menilai sebuah hikmah dalam kehidupan. Tuhan itu tidak zalim dengan setiap hamba-Nya kerana Dia perencana paling bijaksana.

Saat Allah mendengar doa kita, terasa begitu Allah sangat dekat mengetahui setiap perkara yang bertamu di lubuk rasa, juga hasrat yang mendiami pelusuk jiwa. Punyalah Agung Allah yang Satu apabila Maha Tahu setiap yang besar mahupun kecil, yang cuma pinjaman seketika untuk kita semua! Segala puji hanya layak buat-Mu, Allahku!

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails