Tuesday, November 12, 2013

Di Bawah Sayap Malaikat

-Rumah Allah, tempat yang paling tenang. Tiada bandingan.
Sudah lama sebenarnya saya tidak mengunjungi majlis ilmu, lagi-lagi ilmu yang dikongsi di rumah Allah. Yang terhimpun jutaan barakah (yang tidak terkira pahala di sisi-Nya) dan dinaungi di bawah sayap ribuan malaikat. Betapa manusia memang sering berada dalam kerugian. Allah, jauhkan kami daripada menjadi manusia yang rugi!

Sementara menunggu untuk berjemaah Isyak, sempat juga saya mendengar peringatan ringkas yang disampaikan Tuan Imam ketika mengunjungi sebuah masjid di tengah-tengah bandar raya Kuala Lumpur. Begitu bersahaja peringatannya tetapi membuatkan fikiran kita berkira-kira untuk menduga, betapa kita ini jenis hamba yang bagaimana?

Katanya, terlalu banyak nikmat yang Allah berikan. Kadangkala tanpa kita sedar. Nikmat hidup, nikmat makan, nikmat belajar, nikmat berkawan, nikmat keamanan, nikmat kesetiaan, nikmat kejujuran dan pelbagai nikmat yang tidak mampu terhitung oleh setiap daripada kita. Cuma kita sahaja yang sering kufur. Tidak bersyukur dengan nikmat-nikmat yang Allah anugerahkan. Ya, saya tersedar!

Allahku, segala puji hanya layak buat-Mu. Segala pujian buat Tuhan sekalian alam. Betapa kami semua sebenarnya cuma kecil di mata-Mu. Ampunkan kami wahai Tuhan, yang selalu lupa untuk mensyukuri setiap nikmat-nikmat yang Engkau lambakkan. Ampunkan kami!

-Terhimpun rahmat dan berkat di bawah sayap malaikat.
Sekali lagi saya seperti di awangan. Pesan Tuan Imam, bersangka baiklah dengan Allah. Ya, itulah yang sering kita gusarkan; tentang hidup yang cuma kesementaraan. Seringkali hati kecil mengamuk tak tentu hala, selalu bersangka buruk dengan takdir. Selalu menyalahkan Allah yang merencana setiap perjalanan. Ya, kita bersangka buruk tanpa sedar. Merungut di dalam hati; mengapa jadi begini, mengapa aku yang kena, kenapa bukan orang lain? Ya, sampai bila kita mahu berprasangka? Berburuk sangka pula dengan Pencipta. Nauzubillah!


Ternyata pesanan ringkas itu benar-benar membekas, di hati kecil saya yang sering laparkan makanan rohani begini. Moga-moga pesanan ringkas dan tulisan ini akan menyedarkan sedikit rasa kehambaan kita yang semakin pudar. Ya, mungkin kita terlupa yang kita ini cumalah hamba. Hamba yang mahu dinaungi di bawah lembayung arash-Nya ketika tiba waktunya nanti. Semoga!

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails