Wednesday, October 12, 2011

Cerita Tingkat 9...

Assalamualaikum warahmatullah semua pembaca.

Semester ini saya duduk di tingkat sembilan. Pada awalnya, memang saya geram. Lama juga saya menyumpah-nyumpah, tak puas hati. Yelah, sejak sem 1 lagi saya selalu duduk di tingkat 5 dan 6 sahaja, tup tup sem ni kena duduk atas sekali. Aduhai!

Kenapa saya tak suka duduk di tingkat 9? Airnya kecil! Ya, memang tak puas mandi! Saya ni orang yang jenis guna air yang banyak bila mandi tapi bila dah dapat tingkat 9, sabar je lah... Ada juga yang bercerita tentang makhluk lain, mahu menakut-nakutkanlah kiranya. Moga-moga, semangat saya terus kuat! Di tingkat 9 ni pun, budak yang se'badge' saya hanya tiga orang itupun tak berapa rapat (berbeza kos). Yang ramainya budak junior sem 2. Nak melepak rumah lain, dah tak ada kawan. Kawan-kawan Sejarah lain kebanyakannya dah duduk rumah sendiri (rumah sewa). Jadi bertapalah saya seorang diri! Haha tragis!

Tapi, ada teman saya beritahu masa dia duduk di tingkat 9 beberapa sem lalu dia mendapat keputusan peperiksaan paling baik. Kira sepanjang sem, masa dia duduk di tingkat 9 tu, result examnya paling tip top lah. Moga-moga tuah dia terkena jugalah dekat saya yang duduk tingkat 9 sem ni. Haha. Tapi dia duduk blok perempuan (Dah dia perempuan, takkan nak duduk blok lelaki pulak kan!) Harap-harapnya sem inipun result saya akan tip top! Mudah-mudahan...

Sekarang, hampir sebulan lebih jugalah saya dah bertapa di tingkat 9 ni. Ulang alik pergi kelas, naik turun bawah dan saya sudah jatuh hati! Haha. Tulah, kadang-kadang sesuatu yang kita benci tiba-tiba kita boleh sayang. Dan apa yang kita sayang pun boleh jadi benci, dengan kuasa Allah. Tuhan kan Maha Hebat! Sekarang saya sudah seronok di tingkat 9 ni.

Petang-petang saya selesa buat kerja di ruang tamu sambil dengar kicauan burung. Pagi-pagi saya suka tengok kabus yang menyelimutkan alam. Petang-petang senja saya selalu tenung langit, tengok mentari terbenam. Aduh, memang asyik! Saya sudah selesa berada di sini, tempat yang pernah saya tidak puas hati. Tidak bersyukurnya saya sebagai hamba!

Alhamdulillah, sekarang bila berada di sini saya benar-benar tenang. Kadangkala juga ilham untuk menulis melimpah ruah datang, dan barulah saya mengerti kenapa Tuhan tempatkan saya di sini. Terima kasih Tuhan! ^^


-Lokasi rumah saya, nun yang tinggi itu. ^^

Tuesday, October 11, 2011

kEciL HaTi...

Assalamualaikum warahmatullah dan selamat sejahtera.


Nampak gayanya macam seminggu sekali sahaja saya 'post' entri baru. Haha =)
Hurm, sengaja saya mahu kongsi cerita tentang kecil hati kali ini. Bukan apa, semenjak dua menjak ni ramai betul teman-teman yang berkongsi cerita, tak kawan dengan budak itu, gaduh dengan budak ini, tak layan dia, tak tegur budak sana dan macam-macam lagi lah.

Sebenarnya, kalau nak cerita pasal kecil hati ini banyak ruang dan peluang yang membolehkan kita kecil hati. Yelah, kadang-kadang sebab perkara kecil pun kita dah kecil hati. Macam yang selalu saya nasihatkan teman-teman, biasalah kita ini kan manusia. Ada hati dan perasaan, adakala kita akan terasa dengan sesuatu perkara. Manusia ni pelbagai macam perangai dan kerenah. Ada yang cepat terasa, ada juga yang tak pernah ambil kisah. Mungkin hanya anda sahaja yang tahu di manakah kondisi perasaan anda.

Betul saya kata, kalau mahu cerita tentang kecil hati, banyak sangat ruang untuk saya kecil hati tapi kadang-kadang saya malas mahu ambil kisah. Yang saya fikir, saya mahu lalui hidup ini dengan indah. Saya mahu satu hari nanti kenangan yang akan saya ingati semuanya manis-manis. Buat apa kita mahu kecil hati sedangkan perkara itu kecil dan remeh, hidup ni sekejap sangat. Entah esok lusa, kita akan dipanggil ke negeri abadi.

Moga-moga kita terus bersemangat untuk lalui kehidupan yang mendatang. Selamat bermujahadah!

Tuesday, October 04, 2011

HaRi uLaNGtaHuN yANg mANis...

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua pembaca.

Syukur kerana masih lagi dipinjamkan usia untuk meneruskan sisa-sisa kudrat. Terima kasih banyak-banyak untuk setiap doa dan ingatan sempena hari ulangtahun kali ini. Mungkin ia sekadar angka, tetapi ia menggambarkan perjalanan hidup. Sudah berapa banyak yang kita telah capai sepanjang hidup yang kita lalui.

Yang manis mungkin boleh dijadikan kenangan, yang pahit bolehlah dijadikan pengajaran supaya untuk umur yang akan datang tidak tersasar langkah. Alhamdulillah, sepanjang Tuhan meminjamkan saya nyawa, banyak harapan dan impian yang telah tertunai. Saya bahagia dan saya cuba untuk terus membahagiakan insan-insan di sekeliling, yang banyak memberi, menemani, meminjamkan semangat, menghulur tangan saat saya terjatuh dan setia bersama di sisi.

Ulangtahun kali ini lebih manis dan indah. Terima kasih Tuhan. Hanya Seketika, pengalaman yang mendewasakan. Ikram, Buat yang terbaik untuk PMR hari ini. Doa ustaz mengiringi perjuangan kamu!

HANYA SEKETIKA

Pertama kali bersamamu
menatap segenap wajah
tulus dan polos
tiada secalit gundah
yang berselirat.

Setiap redup matamu
merenung mulus
mendamba pengertian
tentang cita tentang cinta dan tentang hidup
yang bakal kautempuh
dewasa nanti.

Jalan hidup ini harus kaupilih
hitam atau putih
berbekal sabar dan taqwa
agar molek pekerti dan jiwa
berteman imani yang mewangi
mencorak luhur di relung hati.

Seketika bersamamu
ada sejalur impi
yang kauharap
dan pasti mahu kaudakap,
kejarlah semahunya
tautlah dengan erat
dan akrab
andai sudah mewarnai genggamanmu.

Tuhan temukan kita
hanya seketika,
untuk aku mengerti
dan kau menghargai
anugerah hidup beranekawarna.

Dan setiap langkah
dalam jalan dewasamu
ingatlah tentang aku
dan secebis kisah tentang kita
yang pernah singgah
menjadi tetamu
dalam ruang hidupmu
walau hanya seketika cuma.

-Istimewa buat anak didikku!

*Utusan Melayu Mingguan, 3 Oktober 2011 (Sisipan Jawi)

Monday, October 03, 2011

Oh OkTobER..!


Assalamualaikum dan salam sejahtera buat pembaca setia.

Sudah masuk hari baru, minggu baru dan bulan baru. Hari ini sudah masuk minggu keempat kuliah. Sejak 5 Syawal lalu sehingga hari ini saya sudah tidak jenguk-jenguk kampung. Oh, rindunya!

-Kampung di Kuala Lumpur! aha

Semalam, saya dapat sms daripada Ajim.
'Bang, satu hari pasti kita akan jumpa balik. Abg jaga diri. Maaf sebab tak contact. Semoga ditabahkan hati dan sentiasa positif =) '

- Potret kenangan, beberapa tahun dahulu. Masih muda! ^^

Saya tahu dia sibuk untuk semester akhir diplomanya. Moga-moga terus kuat melalui hari-hari mendatang dan ingat, jadi yang terbaik dalam segala-galanya! Biarpun kejap ingatan dia kepada saya, saya sudah bersyukur dan dia seakan mengerti kegusaran di hati kecil ini.

Dia seorang adik yang kuat. Biarpun masih muda tetapi sudah 'terpaksa' mendepani konflik hidup yang agak hebat. Pengalaman memang mengajar manusia menjadi dewasa. Hidup, pasti ada pahit dan manis untuk dikenang selagi hayat dikandung badan.

Saya yakin, pengalaman hidup yang dilaluinya telah mendewasakan dia. Begitu juga kita, yang membezakan setiap antara kita ialah ilmu dan pengalaman. Ya, mungkin pengalaman hidup yang anda lalui lebih indah daripada saya. Mungkin.

Dan kerana perbezaan hidup yang kita lalui inilah yang mengindahkan jalan dewasa kita. Ya, adakala hadir gembira yang menyelubungi apabila dikelilingi teman-teman dan anugerah yang menikmatkan. Syukur. Kadangkala pula, Tuhan berikan ujian, bukan kerana Tuhan membenci tetapi sekadar menguji setinggi mana iman kita, sejauh mana syukur kita kepada Dia.

Tuhan itu adil, menghadirkan ujian setakat yang kita mampu untuk hadapi dan tangani. Allah itu dekat. Berdoalah selalu dan selamanya, kerana Dia pasti mendengar doa kita dan diperkenankan andai tiba saatnya...

-Moga Ajim terus kuat dan dimudahkan urusan untuk menyelesaikan pengajian.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails