Wednesday, March 21, 2012

Bakal Guru Sejarah

Assalamualaikum warahmatullah dan salam sejahtera semua.

Ketika mula-mula menjejakkan kaki ke ranah keramat, UPSI ini- 4 tahun pengajian terasa seperti satu jangka masa yang lama untuk dilalui. Sedar tidak sedar, rupanya 3 tahun pengajian telah ditempuh dengan aneka macam rasa yang terhimpun dalam sanubari. Macam-macam manusia yang saya temui, ramai orang baik yang saya kenal, orang jahat apatah lagi. Rupanya inilah hidup!

Beberapa bulan sahaja lagi, saya dan teman-teman sekohort bakal berpraktikum, menjalani latihan mengajar sebagai persediaan menjadi seorang guru setelah tamat pengajian nanti. Jika sebelum ini, hanya mendengar cerita abang-abang dan kakak-kakak tentang kisah praktikum mereka, tidak lama lagi saya sendiri akan melalui saat itu. Macam-macam perkara yang melintasi ruang fikir; Allah mudahkan segala urusan!

InsyaAllah, saya akan menjalani latihan mengajar di Seremban dan bakal menjadi seorang guru sejarah. Tidak ramai pun yang tahu saya mengambil jurusan pendidikan sejarah. Ramai yang menyangka saya merupakan pelajar bahasa Melayu; mungkin disebabkan kecenderungan saya dalam bidang pengacaraan dan debat bahasa Melayu. Jadi, ramai yang tersalah sangka- ingatkan saya bakal guru bahasa Melayu.

Hakikatnya, saya bakal guru sejarah yang mengambil kesusasteraan Melayu sebagai subjek minor. Bila sebut sejarah, macam-macam reaksi orang. Ada yang kagum- Wow, gempaknya ambil sejarah. Suka menghafal ke? Ada juga yang.....- Eeee, aku dulu tak minat sejarah. Bila cikgu mengajar mesti tidur! Biasalah, penerimaan setiap manusia dalam sesuatu perkara berbeza, sebab itulah Allah ciptakan manusia berbeza-beza kerana kita ini makhluk yang unik!

Mungkin kita tidak sedar, sejarah juga yang mendewasakan kita sebenarnya. Tanpa sejarah, siapalah kita? Ingat, mereka yang melupakan sejarah pasti akan mengulanginya. Saya bukanlah seorang yang sangat hebat dalam bidang sejarah tetapi saya rasa amat seronok apabila dapat belajar sejarah. Terasa amat bangga apabila dapat belajar dengan orang-orang yang hebat; moga-moga saya juga akan menjadi seperti mereka suatu hari nanti!

Pesan pensyarah beberapa tahun dulu akan saya ingat sampai bila-bila, guru sejarah yang hebat ialah guru yang dapat memberi inspirasi kepada para pelajarnya. Moga-moga saya mampu menjadi seperti itu, guru yang dapat menginspirasikan insan lain. Ramai yang ingat tugas guru mudah, tapi ramai juga sebenarnya yang tidak tahu andai pelajar itu baik mahupun nakal, guru itu tetap ada sahamnya! Allah, limpahkan rahmat dan redha kepada semua guru-guruku. Moga sinar kebahagiaan sentiasa menerangi ruang hidup mereka!

Saturday, March 17, 2012

Rasa, Terasa dan Perasaan

Assalamualaikum warahmatullah dan salam penuh kerinduan buat semua pembaca dan penyinggah setia Menjejak Dewasa. Moga semuanya sering dilimpahi rahmat dan redha Allah. Setelah sekian lama tidak menulis, cukuplah himpunan perasaan selama ini menjadi rasa yang bersatu dalam qalbu- pastinya pengalaman juga yang menjadi guru terbaik dalam hidup!

(i) RASA
Hidup ini hakikatnya terlalu singkat. Wajarkah kita rasai nikmat hidup dengan membiakkan benih kebencian? Benar, rasa itu anugerah. Aneka macam rasa yang dianugerahkan Tuhan itu sebenarnya turut mempengaruhi kedewasaan kita sebenarnya. Gembira, sedih, sayang, rindu, benci, meluat, geram dan macam-macam lagi rasa yang muncul secara tidak sedar telah mengindahkan hidup singkat yang kita lalui ini. Bayangkan, jika kita hanya hidup dengan satu rasa sahaja pastinya hidup ini terlalu hambar untuk dinikmati. Sebab itulah Tuhan turunkan ujian untuk menguji sejauhmana keimanan dan keyukuran hamba-Nya. Sabarkah kita berhadapan dengan ujian Tuhan atau berputus harap dengan Tuhan yang mendewasakan!

(ii) TERASA
Disebabkan kita membesar dalam persekitaran yang berbeza, pastinya juga kita akan dewasa sebagai manusia yang punya pelbagai perangai dan ragam. Sebagai manusia, pastinya kita punyai kelebihan dan potensi yang tersendiri. Perbezaan ini seharusnya digunakan dengan baik, terokai bakat, kelebihan dan inilah masa terbaik untuk kita menerobos potensi diri. Oleh sebab kita membesar dalam persekitaran yang berbeza, maka daripada pelbagai macam rasa itulah akan wujud pula keadaan terasa hati. Perasaan ini akan wujud apabila kita sukar untuk menerima kelebihan seseorang dan adakala disebabkan salah tafsir terhadap interpretasi sesuatu perkara. Itulah yang saya katakan sebentar tadi, perkara ini terjadi disebabkan persekitaran kita yang berbeza, ya jalan dewasa kita tidak sama!

-Jalan dewasa kita berbeza, tetapi tujuannya tetap sama.

(iii) PERASAAN
Walaupun jalan dewasa kita tidak sama, bukan bermakna kita tidak boleh berhadapan dengan kehidupan- yang pastinya banyak dugaan dan cabaran yang menanti. Malah, semakin dewasa kita semakin banyak perasaan yang perlu untuk dijaga sebenarnya. Himpunan rasa yang pelbagai tadi telah membibitkan sebuah perasaan yang adakala membuatkan kita terfikir- patutlah Tuhan tidak mengizinkan agar kita tahu tentang hari esok. Andai kita sudah tahu hari ini tentang hari esok, apalah maknanya kehidupan kerana rasa yang bertunas dalam perasaan telah bersedia untuk menghadapinya. Jika kita sudah tahu hari ini, esok malang akan menimpa- pastinya kita akan bermuram durja seolah-olah tidak mahu hidup lagi. Manusia, kekuatan kita hanya optima dan yang paling pasti hidup kita telah terlakar sejak dahulu lagi. Laluilah dengan gembira agar wangian kebahagiaan setia menemani jalan dewasa yang kita lalui ini!

Friday, February 03, 2012

Awal Februari

Ketika tulisan ini ditulis, sedang berkumandang di radio lagu yang menjentik kenangan di lapangan fikir saya- Kau Ilhamku (Man Bai)! Ah, benar-benar membuai perasaan. Dan hari ini, genaplah 18 tahun pemergian abah ke negeri abadi. Tidak ada apa yang saya harap, moga abah beroleh bahagia. Selagi nadi terus berdenyut, selagi itu saya mampu menitipkan doa buat abah; moga Allah ampunkan semua dosa abah dan menjanjikan syurga buat dia, abah yang hanya dipinjam untuk sementara!

Hari ini juga, keputusan peperiksaan untuk semester lepas sudah keluar. Alhamdulillah. keputusan terbaik yang saya pernah peroleh setakat ini. Saya bersyukur sangat-sangat! Allah, hanya Kau yang tahu apa yang terbaik untuk hamba-Mu, termasuk aku! Gembira. Hanya tinggal tiga sem berbaki yang saya harap akan dapat lebih baik. Buat adik-adik yang baru tamat semester satu, tahniah untuk keputusan yang baik. Debaran sudah berakhir! Jangan lupa, perjalanan kalian masih jauh. Ada yang sms saya beritahu keputusan, tahniah. Permulaan yang baik. Teruskan perjuangan! Ramai juga adik-adik sem 1 yang sms dan telefon saya beritahu keputusan, boleh tahan gempak. Seronok saya bila dengar ramai yang dapat keputusan bagus. Tahniah sekali lagi. Moga terus jadi yang terbaik!

Esok saya akan ke Taman Negara, Rompin. Mungkin satu pengalaman baharu buat saya dan mungkin juga hadiah untuk keputusan yang baik ini. Alhamdulillah. Terima kasih buat acik. Minggu lepas acik ajak, pergi bersama keluarganya. Saya terima pelawaan itu dan esok saya akan bertolak ke sana. Doakan moga semuanya baik. Ya, semuanya baik! Banyak sebenarnya yang mahu saya coretkan. Nanti pulang dari Taman Negara, saya akan kongsi banyak cerita. Ya, terima kasih untuk pembaca setia. Moga semuanya baik-baik! Terima kasih.

















Wednesday, February 01, 2012

Hidup Lelaki Bujang

Alhamdulillah sampai juga saya ke Tanjong Malim (TM) biarpun dari Seremban (rumah mak cik-Cik Mas) petang tadi. Rindu. Mana tak rindu Tanjong Malim biarpun sering dikutuk orang (pekan mati, tak ada apa pun). Biarpun pernah 'hot' sekejap ketika awal tahun baru yang lalu. Mahu tak rindu, hampir tiga tahun saya 'menetap' di sini. Hajat juga mahu bertemu Din dan Zalie, mereka yang usai pulang dari debat 1Malaysia di UKM. Yelah hari itu, patutnya memang saya merancang mahu menemani mereka tapi apakan daya, badan tak sihat jadi Azam sahaja yang dapat menemani jadi 'pegawai pengiring'!

Datang ke TM dengan hanya beberapa helai baju memang dikira kerja gila juga gamaknya. Mujur juga dapat meminjam tuala dan kain pelekat daripada Haireyl, JMK kolej. Ah, mereka semua dah macam adik sendiri! Terima kasih daun keladi! Terus ke topik utama. Hehe. Oh ya, makan malam tadi makan bersama Din dan Zalie, biasalah bila dah berjumpa. Dan seperti biasa, mesti ada gelak ketawa. Saya memang suka ketawa dan buat orang ketawa-gembira!


(Zalie [Bertopi]- teman sebilik sem lepas yang 'hot' itu dan Din yang berbaju kelabu.)

Makan malam tadi cuma borak-borak tentang cuti dan sengaja saya timbulkan isu tidak sabar mahu ada rumah sendiri, sudah bekerjaya dan menikmati hidup orang bujang dalam erti kata sebenar. Terus Din pertikaikan, habis tu selama hari ni kita tak hidup bujang ke? Yelah, bila dah belajar di universiti, hidup berdikari. Kena fikir makan pakai walaupun bukan daripada sumber kewangan sendiri kan! Ya, betul. Memang saya tak nafikan. Cuma saya beritahu, saya cuma tidak sabar mahu menikmati hidup bujang yang sebenar. Ish, macam mana pula tu? Haha

Mana taknya, bila duduk di kolej saya tak dapat merasai nikmat orang bujang. Setakat inilah. Sebab saya menetap di kolej sejak semester satu lagi. Teman serumah bukan sekepala dan bukan orang yang baik-baik yang dapat kita jangka! Bagi sayalah. Mungkin sebab saya belum berpengalaman duduk membujang di rumah sewa. Mungkin. Itu yang saya katakan dengan Din. Mungkin definisi hidup lelaki bujang bagi dia lain. Perkara ini subjektif. Lain takrifan mengikut persepsi individu walaupun kadangkala dilihat skeptikal di kaca mata masyarakat.

Bagi saya takrifan hidup orang bujang apabila sudah bekerjaya nanti, duduk di rumah sendiri tidak kisah bersendiri atau dengan teman yang mampu menerima perbezaan kita seadanya  juga tidak kisah lelaki atau wanita. Oh ya, bagi yang berlainan jantina itu, pastikan sudah ada ikatan yang halal dahulu! Bak kata Din, teman hidup. Wah, jiwang juga dia! Hidup membujang, kita boleh buat apa sahaja yang kita suka. Yang penting masih berlandaskan syariat Islam. Hurm, panjang juga sebenarnya jika mahu menginterpretasikan makna 'hidup bujang' ni kan? Atau bagaimana pula dengan pandangan anda? Jom kita kongsi. Letak url blog  anda nanti ya!

Atau ada orang yang sudah berkahwin yang mahu kongsi pengalaman ketika bujang dahulu, boleh sahaja! Selamat hari wilayah! 


Monday, January 30, 2012

Berhenti Berharap

Saat ini saya benar-benar nekad. Cukuplah. Buat apa menyayangi andai diri tidak disayangi. Setelah dia cuba memohon agar Allah menjauhkan hati kami (saya dan dia), saya tetap berusaha untuk menerima dia. Biarlah walau apapun terjadi. Saya setia menanti, menunggu saat itu walau tak mungkin berlaku- menerima saya. Biarpun pernah dihantar sepotong pesan, HapusAkuDariMimpimu!

Pahit, perpisahan memang pahit. Apatah lagi melibatkan hati dan rasa. Saya sedaya upaya menyedapkan hati, biarlah. Beri dia masa, nanti saat sudah tenang datang baiklah kembali. Tapi rupanya tidak. Dia benar-benar nekad sedangkan saya berusaha memberi ruang agar dia tetap menemani seumur hidup saya.

Tapi takdir Allah tidak siapa yang mampu menyanggah. Ini mungkin sudah tertulis, untuk saya dan dia. Kami mungkin ditakdir untuk menyayangi hanya seketika. Hinggalah dihantar pesanan agar saya padamkan semua gambar kenangan kami berdua, saya sudah nekad. Ya, saat ini saya benar-benar sudah berhenti berharap! Moga dia terus bahagia. Dan saya, akan terus begini- ada impian yang perlu direalisasi!

Andai dia mampu membuang semua kenangan, tapi tidak bagi saya. Hakikatnya kenangan itu yang mendewasakan, yang banyak mengenalkan erti manis biarpun rasa pahit yang sering ditelan, dan kenangan itu juga yang banyak mengajar makna bangkit semula saat terjatuh berkali-kali! 

Aku pulang
Tanpa dendam
Kuterima...
Kekalahanku

Kau ajarkan aku bahagia
Kau ajarkan aku derita
Kau tunjukkan aku bahagia
Kau tunjukkan aku derita
Kau berikan aku bahagia
Kau berikan aku derita

Aku berhenti berharap
Dan menunggu datang gelap
Sampai nanti suatu saat
Tak ada cinta kudapat.

Moga kau terus bahagia! =)

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails