Monday, September 30, 2013

Nikmat Kopi

Sesekali mencicip secangkir kopi seperti malam ini ternyata membawa ingatan yang sukar dilupakan. Saya dan kopi begitu sebati, itulah minuman kegemaran yang sering dipesan sepanjang empat tahun pengajian. Sungguh, rindunya zaman menjadi pelajar! Begitu juga ketika menyelesaikan tugas sehingga lewat malam, pasti ada secawan kopi yang akan setia menemani di sisi.

-Kopi karamel yang saya minati
Ternyata, tanaman baru yang diperkenalkan oleh British ketika abad ke-19 setelah harganya meningkat di pasaran dunia ini punyai penggemar yang tersendiri. Mungkin bagi yang sudah terlalu biasa dengan kopi, akan turut mencintai kek Tiramisu yang begitu lazat dinikmati; lebih-lebih lagi ketika waktu petang sambil bersantai bersama teman yang paling memahami isi hati.

Saya sangat selesa menikmati kopi karamel yang mempunyai tiga lapisan ketika dihidangkan lalu saya terjemahkan; beginilah kehidupan. Hidup ini perjuangan, dan pastinya perjuangan itu pahit dan memeritkan. Yang pasti, kemanisan dan kebahagiaan pasti akan muncul. Jika tidak dalam masa terdekat, akan datang pasti saatnya akan tiba.

Begitulah juga jika dilihat pada lapisan kopi tadi, gulanya di bawah sekali. Perlu dikacau sebati untuk merasai nikmatnya secawan kopi. Lapis atas kopi yang pahit perlu disebatikan dengan gula. Begitulah juga hidup. Sebatikan diri dengan setiap cabaran yang hadir. Kemanisan akan tiba juga. Lama-lama kebahagiaan akan terasimilasi dalam setiap ujian yang tidak terduga. Beginilah hidup, adat orang berjuang.

Selalu saya berpesan kepada teman-teman; setiap masalah ada penyelesaian. Jangan terlalu mudah menyerah dan berputus asa. Andai kita mudah menyerah dan berserah, maknanya kita belum bersadia menjadi manusia luar biasa. Cabaran yang hadir sebenarnya melorongkan kita ke jalan dewasa. Dan akhirnya terserahlah kepada kita untuk melihat setiap cabaran yang hadir sebagai peluang atau ancaman. Hanya orang bijak yang bijak merebut peluang, dan melihat ancaman juga sebagai peluang. Ayuh!
-Sudah jauh ditinggalkan

Bulan Oktober bakal menjengah tiba. Pastinya hari-hari yang telah berlalu begitu bermakna andai kita benar-benar memanfaatkannya. Oktober bulan yang istimewa dalam hidup saya. Masih segar dalam ingatan ketika mendapat kejutan daripada teman-teman rapat dan adik beradik kelab debat beberapa tahun lalu yang menghadiahkan Kek Tiramisu serta mandian tepung dan telur ketika ulangtahun kelahiran saya. Terima kasih untuk ingatan! Alhamdulillah, kerana mempunyai mereka semua. Yang selalu ada saat jatuh dan bangun saya. Terima kasih.

Monday, September 16, 2013

Merdeka Palsu

-Di bawah runtuhan kota Melaka, kita bina jiwa merdeka.

Apa makna
tetes keringat
guru sejarah
yang bercerita pelbagai kisah
tentang Tanah Melayu dijajah
dan negara membangun
dengan lelah dan payah
hingga lahir
            sebuah Malaysiaku.

Apa makna
rombongan Tunku ke London
rakyat membantah Malayan Union
bersatu seluruh bangsa
walau berbeza kulit warna.

Demi tetes keringat leluhur
kami satukan suara
menyanyikan lagu damai
menutup dendangan sumbang sengketa
untuk negara tercinta.

Gema merdeka mengapung angkasa
berdekad lalu
adakah sebuah merdeka palsu?


Amir Batrisya
Tanjong Malim- Kuala Terengganu
2011

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails