Sunday, June 17, 2012

Anak Abah

Kehadiran bulan Mei begitu sinonim dengan dua insan hebat yang sering melingkungi ruang hidup kita; ibu dan guru. Begitu juga dengan bulan Jun. Kedatangan bulan Jun pula pastinya dirasai oleh golongan lelaki yang lebih tepatnya mereka yang bergelar bapa. Hakikatnya, seumur hidup saya ini tidak pernah pun saya menyambut hari bapa setiap kali hadirnya bulan Jun menjengah kalender hidup saya tahun demi tahun.

-Abah adalah satu anugerah, pemberian Allah!
Sedar tidak sedar rupanya, sudah lapan belas tahun pemergian almarhum abah menjadi penghuni satu lagi dunia yang tidak bersempadan, yang tidak dapat berhubungan dengan kita yang masih lagi meneruskan sisa hidup di atas dunia sementara ini. Pemergian almarhum abah ketika usia saya empat tahun, ketika itu masih muda benar untuk saya mengerti tentang makna kematian dan perpisahan. Dan saya terlalu bersyukur kerana masih mampu membesar walaupun tanpa seorang lelaki yang dipanggil abah.

Saya sekadar mengenali almarhum abah hanya empat tahun, dan dalam tempoh itu tidak semua tentang abah dapat saya ketahui. Selebihnya, saya mengenali almarhum abah melalui cerita-cerita daripada adik beradiknya dan teman seperjuangannya. Sejujurnya, saya amat kagum kerana punya seorang abah begini walaupun dia sudah tiada lagi. Sehingga hari ini saya masih berharap, semua perkara yang baik yang ada pada abah dapat saya ikuti ataupun menurun kepada kami adik beradik.

Setiap kali saya terjumpa teman-teman lamanya, pasti mereka akan katakan yang almarhum abah ini sangat rajin orangnya. Dahulu, almarhum abah ada membuka kedai runcit. Saya tahu abah memang seorang yang gigih. Saya masih ingat ketika itu umur saya dalam lingkungan tiga ke empat tahun, dan sebelum kematian abah- saya memang membesar di kedai itu. Sayangnya, kami adik beradik tidak ada seorang pun yang berminat dalam hal ehwal perniagaan seperti abah. Kalau abah masih hidup, pasti abah akan berasa malu kerana kami. Dan saya berharap sifat rajin abah ada menurun dalam diri saya. Saya akan berusaha dan belajar untuk menjadi rajin, macam abah!

-Moga syurga menanti kita, abah!
Ketika saya bakal menjengah tahun akhir pengajian untuk ijazah sarjana muda ini, saya benar-benar berbangga kerana pernah menjadi pelajar kawan-kawan almarhum abah. Saya gembira kerana dapat menuntut dengan mereka; Cikgu Hindun Marjunit, Cikgu Rohaizah Nordin dan Cikgu Hanisham Abd Ghani. Mungkin ada lagi tanpa disedari, mereka yang pernah membesar dengan abah dan menjadi guru saya suatu ketika dahulu. Mungkin.


Dan kehadiran hari bapa tahun ini, samalah dengan tahun-tahun sebelumnya. Tiada sebarang sambutan untuk menyatakan rasa kasih yang tidak terhingga kerana menjadi bapa saya. Semampunya, hanya bacaan Al-Fatihah dan untaian doa setiap kali selepas solat yang tidak pernah putus yang menghubungkan saya dan dia! Biarpun abah sudah tiada lagi, tapi saya bangga kerana punya seorang abah yang takkan mampu ditukar ganti. Moga-moga abah selalu tersenyum, tanda bangga kerana punyai anak seperti saya yang masih menjejak dewasa! Andai saya sudah menjadi bapa, saya berusaha akan menjadi bapa yang baik untuk isteri dan anak-anak saya. Rindu dan sayang abah selalu. Selamat hari bapa, abah! ^^

Thursday, June 14, 2012

Kecewa Itu Juga Rasa!

Alhamdulillah, usai peperiksaan akhir semester kelmarin, bermakna tamatlah sudah pengajian untuk semester ini. Maknanya, saya akan menjengah tahun akhir pengajian. Allah, pantas benar peredaran siang dan malam-Mu! Segala puji selayaknya untuk-Mu, Tuhanku! Tiga tahun pengajian yang sudah dilalui benar-benar mendewasakan. Saya sendiri merasai perubahan diri. Betullah kata pujangga, semakin kita tahu sesuatu perkara, semakin kita tahu kebodohan diri. Ya, terokailah segala ilmu yang terhampar di atas muka bumi ini. Bertebaranlah mencari redha Allah!

-Jangan bersedih. Allah bersamamu! 
Sebentar tadi ada seorang junior berkongsi cerita dengan saya. Katanya, dia (m) sudah dapat tahu siapa yang sedang berkawan dengan bekas kekasihnya. Saya tahu dia sedih. Seboleh mungkin, saya cuba memberi semangat. Sedaya upaya menghulurkan empati, merasai apa yang turut dirasainya. Sebelum ini m pernah katakan yang dia masih sayang kepada perempuan itu. Putus sebab apa, dia pun tidak tahu kerana perempuan itu tidak beritahu. Rasa sayang masih lagi subur dalam ruang kecil hatinya, tapi sayang perempuan itu mahu putus juga. Katanya lagi, kalaulah perempuan itu sudah ada kekasih yang baru, dia tidak kisah. Yang penting dia mahu tahu siapa lelaki itu- kalau betullah perempuan itu sudah berkasih dengan lelaki lain.

Rupanya memang ya. Perempuan bekas kekasih m ini sudah berkasih dengan lelaki lain. Saya tahu hatinya hancur. Kecewa. Apa tidaknya, wanita itu pernah hadir dalam hidupnya, menjadi teman yang paling istimewa. Walaupun sekadar chatting di FB, saya sedaya mungkin memberikan nasihat agar dia terus bersemangat. Peperiksaan m belum habis lagi. Risau juga akan menjejaskan prestasinya nanti. SMS berupa kata-kata semangat juga turut saya kirimkan, agar dia tahu ramai lagi yang masih sayang akan dirinya.

-Terbanglah segagah helang. Terus berjuang! 
Hakikatnya, kecewa itu juga rasa. Yang sesekali dihadirkan Tuhan untuk menguji sejauhmana kebergantungan kita kepada Dia. Kalau hidup ini selalu gembira, pasti kita akan terlupa juga untuk mensyukuri segala nikmat yang dikurnia. Sebab itulah Allah hadirkan anekamacam rasa dalam hidup kita kerana berbagai-bagai rasa yang hadir itulah sebenarnya kebahagiaan! Satu hari nanti, anda pasti akan percaya dengan apa yang saya kongsikan ini. Percayalah!

Andai anda sedang bersatu dengan rasa kecewa saat ini, lekas-lekaslah berdoa kepada Allah. Mohonlah agar dijauhkan secepat mungkin rasa kecewa itu kerana Allah yang mengirimkan rasa kecewa itu kepada kita dan Dia juga yang berhak menariknya. Berdoalah selaku hamba yang paling kecil dan kerdil, dia pasti mendengar setiap rintihan dan permintaan kita. Moga-moga rasa kecewa yang bertandang, perlahan-lahan jauh menghilang. Kecewa itu bukan sahaja dalam hubungan kasih sayang, tetapi dalam segenap kehidupan yang kita lalui; keluarga, sahabat, pelajaran, kerja dan banyak lagi.


Buat adik saya yang sedang kecewa ini, moga terus kuat. Mohonlah agar Allah hadirkan wanita yang lebih baik sebagai pengganti. Jangan bazirkan saat gembira dalam hidup dengan kesedihan dan kedukaan, bergembiralah! Moga tenang selalu bersama kamu.

Friday, June 08, 2012

Rasa apakah?

Rasa apakah sebenarnya yang Tuhan hadirkan di hati kecil saya saat ini? Entahlah. Kalau rasa yang hadir itu menuntut sebuah jawapan, sungguh di saat ini saya tidak mampu menjawabnya. Tapi saya bukannya seorang lelaki yang mudah berserah. Apatah lagi menyerah dengan takdir yang hadir.

-Saya rindu untuk menikmati suasana begini.
Menatap mentari terbenam di langit nirmala!
Sungguh saya tidak kuat. Bukan bererti bacul, cuma rasa yang hadir itu sengaja mahu menguji hati dan perasaan yang paling dalam. Paling halus sifatnya, yang akhirnya membawa saya ke daerah ketidakpastian dan tidak tahu untuk menimbang sebuah jawapan! Allah, ujian apakah ini?

Mungkin di saat saya dan kamu yang membaca, terfikir tentang makna sebuah dewasa dan keseronokan melalui usia muda, Tuhan sengaja menghadirkan ujian berupa anugerah manusia untuk disayangi. Saat itu juga, kita berasa keliru dengan pilihan yang terbentang di hadapan mata. Walaupun kita sering benar dihamparkan dengan pilihan; hitam atau putih, kanan atau kiri, dosa atau pahala. Ya, pilihan jawapan juga hanya kita yang ada kuasanya! 

Kasih sayang itu anugerah. Sahabat juga anugerah. Hidup itu pula anugerah yang lebih bernilai kerana kita sendiri yang menyusurinya, menikmati dan menghayati segala keindahannya!

Monday, June 04, 2012

Ini sebuah kisah indah!

Pengajian untuk semester ini sudah hampir sampai ke penghujungnya. Pantas sungguh masa memintas, memang pencuri paling berjaya! Sesekali membelek-belek blog Menjejak Dewasa ini, hati kecil saya berdetik, adakah tulisan saya selama ini memberi manfaat atau tidak kepada pembaca. Maklumlah cerita kecil yang saya lalui kadangkala berbeza dengan orang lain, dan catatan kisah hidup yang saya harungi sekadar perkongsian dengan semua pembaca setia, yang sudi membaca dan mengetahui jatuh bangun saya. Terima kasih!

Saya percaya, rindu itu anugerah. Rahmat Tuhan tanpa batasan. Petang tadi, dihadirkan rindu sebagai tetamu, untuk saya kenang sebuah perjuangan. Benar, saya benar-benar rindu dengan debat. Semua yang berkaitan dengannya. Mungkin hanya siapa yang pernah berada di dalamnya akan tahu betapa indahnya sebuah perjuangan, jatuh bangun untuk mengejar mahkota kejuaraan. Allah, semuanya kerana ilmu dan pengalaman. Indah dan manis! Bersyukur saya ditemukan dengan insan-insan hebat yang sering membuatkan saya kuat. Tuhan, rindunya saat-saat indah bersama mereka.

(Debat IKIM 2010. Delegasi UPSI)

(DAS 2009. Ketika menjadi pengiring dan mula-mula belajar tentang debat.)
Di sudut hati kecil saya, sedih sebenarnya. Tahun ini sudah tahun kedua tidak dapat mengikuti Pertandingan Debat Alam Sekitar (DAS). Mungkin tak ramai yang tahu, saya bermula dengan DAS. Ketika mengakrabkan diri dalam dunia perdebatan universiti, saya menjadi pengiring DAS di UTP. Ya, saya masih ingat lagi ketika itu saya di semester satu dan tidak tahu apa-apa tentang debat peringkat universiti. Perlahan-lahan saya belajar membina diri sebagai pendebat dan akhirnya Tuhan telah menulis untuk saya mewakili universiti dalam pertandingan debat. Saya bukannya hebat dalam perdebatan, cuma seringkali saya digandingkan dengan  mereka yang hebat dan membuatkan kumpulan kami menjadi kuat. Maklumlah, debat bukannya perjuangan individu tetapi perjuangan kumpulan yang menuntut banyak pengorbanan.


(Debat IKIM 2010. Rindu team ini dan seronok bersama mereka!)
Ketika tahun pertama pengajian, saya bermula dengan Debat Diraja mewakili universiti sehingga mencambahkan rasa cinta yang tidak mampu terungkap dengan kata-kata. Bersama abang kakak yang tidak pernah rasa lokek untuk berkongsi ilmu dan pastinya masa yang ada sering dihabiskan bersama mereka! Moga-moga kenangan itu masih kekal dalam kotak ingatan kalian! Debat IKIM yang saya ikuti menambahkan lagi pengalaman saya yang tidak seberapa dalam dunia perdebatan. Rindu mahu berjaga malam mencari fakta kes untuk suku akhir! Indahnya. Dan ujian yang paling saya akan ingat sampai bila-bila sudah pasti Debat Perdana Integriti di UMS. Saat itu, air mata yang mengalir bukan sekadar lakonan tetapi kecintaan yang maha mendalam demi dunia perdebatan! Allah, jika diingat kembali memang mampu membuatkan air mata menitis lagi. Menyambut hari lahir abg Baihaqi di Kota Kinabalu dan macam-macam lagi pengalaman yang kami lalui; sungguh mendewasakan!


(DAS 2010 di UMT. Mencari potensi diri!)
Tahun kedua pengajian, saya diberi peluang untuk mewakili universiti dalam DAS. Ketika itu, hanya Tuhan sahaja yang tahu bagaimana perasaan saya saat bergandingan dengan senior debat UPSI. Saya benar-benar rasa kerdil dan kecil dengan ilmu dan pengalaman. Memang seharusnya tidak layak untuk saya berada di tempat itu. Namun alhamdulillah, kepercayaan yang diberikan oleh kak Nad, abg Fawiz dan abg Suhaimi telah meletakkan kumpulan kami antara 10 yang terbaik antara seluruh IPT. Saat itu juga saya bertekad untuk menebus kekalahan agar tahun berikutnya ada rezeki untuk kami meletakkan UPSI di tempat yang tertinggi. Namun, perancangan Allah mungkin lebih baik. Saya tidak berkesempatan untuk menebusnya tahun lepas dan berharap agar tahun ini ada rezeki untuk saya menebusnya namun rupanya tidak juga.


(Debat Piala Munsyi Abdullah 2011. Kejayaan itu permulaan yang mendewasakan!)
Setelah itu, ada beberapa siri debat yang saya ikuti. Biarlah, rasanya tidak perlu dituliskan di sini. Banyak manapun siri debat yang saya ikuti, semuanya mendewasakan. Membesarkan saya mengenali potensi diri dan kesempatan yang ada saya pasti akan mengutip banyak ilmu dan pengalaman baru. Mungkin ianya sudah sebati dalam diri. Sejauhmanapun dia pergi atau selaju manapun saya berlari; debat tetap menjadi kecintaan dalam diri. Tiga tahun pengajian di UPSI, jatuh bangun saya banyak dipengaruhi dengan debat. Ia istimewa, terlalu istimewa. Debat adalah sebuah kisah indah; tentang impian, harapan dan perjuangan. Kita berdoa, orang lain pun berdoa. Doa siapa yang diangkat, itu rahsia Allah. Ya, saya akan ingati ayat keramat ini sampai bila-bila!


(Debat Diraja 2012 di USM. Mungkinkah ini yang akhir?
Biarlah Allah simpan jawapannya.)

Kali ini, DAS berlangsung ketika minggu pertama saya berpraktikum. Maknanya, saya telah kehilangan peluang lagi tahun ini. Walaupun pernah berjanji untuk kembali bertarung di gelanggang perdebatan untuk DAS tahun ini, ada takdir lain yang telah tertulis. Mungkin pengakhirannya lebih indah. Itu juga rahsia Allah! Buat kalian yang mewakili, doa saya setia mengiringi. Buat yang terbaik!

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails