Saturday, December 31, 2011

Doa Buat Kekasih~


DOA BUAT KEKASIH


Mungkin ini jalan takdir

yang tertulis

agar kau dan aku

mengerti makna cinta

seorang kekasih yang mengasihi.


Tidak pernah sesekali

aku kenal makna jemu

membaja dan menyiram

benih rindu

yang kita tanam semusim lalu

demi sebuah cinta

kekasih yang bertakhta.


Sayang,

kita susuri titian ujian ini

dengan redha dan sabar

lalu hujan kasih dan rahmat

mengguyur dengan lebat

membasahi dusun hati

berselaput daki.


Tuhan,

eratkanlah hati kami

andai tertulis dia jodohku.

Akrabkan rasa cinta

agar mewangi mawar imani

suluhi laluan zulmat

biar jalan menuju puncak cinta-Mu

terasa keramat

dengan limpahan nur

tulus dan kudus.


Tanjong Malim

19 September 2011


Tuhan, jika ini jalan takdirnya; aku redha.

Tuesday, December 13, 2011

Aku Mahu Jadi Bulan...


Saat ini
aku mahu jadi bulan
menyuguhi segenap alam
menerangi kelam malam...

Insan biasa, tidak sempurna.

-13.12.11-

Assalamualaikum warahmatullah dan salam sejahtera.

Hari ini 13 Disember. Selamat ulangtahun kelahiran buat nenda tersayang. Moga redha dan rahmat Allah sentiasa melimpahi ruang hidupmu.

Rasa mahu balik kampung sekarang. Tapi nak buat macam mana, berderet tugas yang perlu diselesaikan. Ada rezeki dan lapang nanti, saya akan pulang.

Adakala saya ini agak manja dalam sesetengah perkara (ceh, perasan!). Bila fikir-fikir balik, mungkin sebab saya membesar dengan nenek saya jadi begitu. Mungkin. Sebab masa sekolah dulu, ustazah saya pernah kata, siapa yang duduk dengan datuk dan nenek mesti manja. Mungkin betul kata Ustazah Noraini tu...

Hm, saya antara cucu yang rapat dengan nenek. Masa kecil-kecil dulu mesti tidur sama. Ish, boleh nangis kalau ingat balik. Banyak kenangan saya dengan nenek. ^^ Yelah dari kecil saya membesar dengan nenek, dah macam emak sendiri dah. Paling manis dan akan saya ingat sampai bila-bila, nenek ajak saya buat umrah. Alhamdulillah, pertengahan tahun 2005 kami mengembara ke tanah haram.

Alhamdulillah, syukur kerana beliau nenek saya. Tuhan, panjangkan umurnya agar dapat aku berbakti dan mengasihi hingga akhir noktah hidupnya.

Saturday, December 10, 2011

Tugas Editor.

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Selamat berhujung minggu buat semua pembaca. Hari ini hari Sabtu, genap seminggu sepupu saya kembali ke rahmatullah. Al-Fatihah.

Syukur, punya sedikit kelapangan waktu ini. Bukan selalu dapat rehat pada hari-hari cuti begini. Teman sebilik tiada, pergi camping Kelana Siswa (Sunyi- sebab selalu perang mulut dengan dia).

Mahu tulis tentang apa ya? Hurm, sudah tiada fokus. Oh ya, tiba-tiba teringat tentang Antologi Puisi yang akan diterbitkan nanti. Untuk kelas Puisi Melayu, saya telah diamanahkan oleh Dato' Paduka Dr. Rosli untuk mengumpulkan puisi rakan sekelas untuk dibukukan bagi melengkapkan kursus 3 jam kredit semester ini. Awalnya, itu cuma cadangan saya (untuk membukukan antologi puisi) dan alhamdulillah, dato' bersetuju untuk bekerjasama merealisasikan cadangan itu. Moga-moga dimudahkan urusan selepas ini.

Baru saya tahu, bukan mudah rupanya mahu menyelenggarakan antologi ini. Dulu, saya tak tahu juga beza antologi dan kumpulan. Ketika di MPR, barulah saya maklum bahawa antologi itu adalah kumpulan karya yang dihasilkan oleh pengarang yang berlainan. Biasanya kita dengar atau lihat buku antologi puisi atau kumpulan puisi kan, jadi kalau kumpulan puisi itu pula maknanya adalah kumpulan karya yang ditulis oleh seorang pengarang sahaja. Contohnya, Kumpulan Puisi Merindu Alam yang ditulis oleh Ihsan Noorzali dan Antologi Puisi Dalam Redup Wajah Ibu yang diselenggarakan oleh A. Halim Ali (pernah baca?)

Apabila diberi tugas mengumpul puisi rakan-rakan, barulah saya tahu bagaimana peritnya jadi editor. Terima kasih buat seorang teman saya yang membantu saya menyunting karya rakan-rakan sekelas. Sememangnya editor memang akan berhadapan dengan tekanan yang tersendiri yang seharusnya difahami oleh penulis (barulah saya faham). Biasanya jika penulis menghantar sesuatu karya, pasti penulis itu akan ternanti-nanti karyanya tersiar hingga ada yang sering telefon editor bertanyakan bila karyanya akan tersiar (Ini bukan adab yang baik).

Setakat ini, saya ada menulis untuk siaran majalah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) seperti Dewan Siswa, Tunas Cipta dan Pelita Bahasa. Saya sering dipesan oleh mentor saya supaya menghormati tugas editor. Kerja kita hanya menulis. Tersiar atau tidak bergantung kepada editor, itu tugas dan hak mereka. Tersiar atau tidak juga bergantung kepada mutu penulisan kita sebenarnya. Jika kita tulis sampah, takkanlah editor mahu siarkan- fikir-fikirkan. Jadi, jika mahu jadi penulis yang baik, fahamilah etika penulis. Saya pun bukan mahir benar, tapi setakat mana yang saya boleh kongsi, saya kongsikan.

-Menulis itu terapi jiwa

Setakat ini, ada beberapa penulis muda yang saya temui karyanya dalam majalah terbitan DBP. Sejujurnya saya sedih juga, UPSI dahulu ketika zaman SITC, MPSI dan IPSI telah melahirkan ramai penulis terkemuka tapi sekarang sudah semakin berkurang lebih-lebih lagi dalam kalangan penulis muda. Jujur, saya sangat bangga apabila dapat menuntut ilmu di tempat lahirnya orang-orang hebat seperti Za'ba, Dato' Kemala, Ali Majod dan ramai lagi tokoh-tokoh hebat.

Jika anda minat menulis, terus menulis. Jangan pendamkan bakat kerana hanya diri kita yang mampu menerobos potensi diri. Sudah lama saya tidak menulis sebenarnya, sudah tumpul idea!
Patutlah, mereka yang sudah sebati dengan dunia penulisan sering nasihat, jangan berhenti menulis, teruskan. Sudah berapa minggu saya tidak menulis, hingga sampai satu ketika saya duduk berseorangan (konon untuk siapkan satu puisi) namun tidak berjaya! Ilham tidak turun dari langit. Saat itu, saya sudah kehilangan diksi-diksi indah. Itulah penangan kerana sudah lama tidak menulis. Padan muka!

Apapun, buat pembaca yang minat dan punya keinginan untuk menulis (puisi, cerpen, pantun, novel, artikel atau sebarang bentuk penulisan) teruslah menulis. Jika ada idea, rangka baik-baik dan terjemahkan ilham dalam bentuk tulisan yang baik yang akhirnya apabila dibaca oleh pembaca, akan meninggalkan kesan yang bermakna. Sebolehnya, saya akan berusaha membantu sekiranya anda mahukan pertolongan. Tidak tahu menghantar karya di mana dan bagaimana? Saya boleh bantu setakat yang mampu. Sama-samalah kita martabatkan persuratan Melayu yang makin lenyap ditelan modenisasi.

P/s : Makin kuat keinginan untuk punya buku hasil tulisan sendiri. Doakan sahabat! =)

Wednesday, December 07, 2011

Penakut.

Assalamualaikum warahmatullah dan salam sejahtera.

Saya baru lepas menelan ubat. Tiba-tiba teringat cerita masa kecil dulu. Saya ni sebenarnya jenis PENAKUT makan ubat! Hahaha (Kalau bakal isteri tahu, buat malu saja!)

Ingat lagi masa kecil dulu, tiap kali makan ubat yang cecair tu, biasanya ubat batuk dan selsema wajib saya muntah! Hehehe. Entahlah, alergic betul saya dengan cik ubat. Sampai satu tahap saya akan makan ubat dalam tandas. Takpun, pejam mata, tutup hidung atau bonda akan bising suruh ingat makan kek atau coklat yang sedap .

-Dulu, saya mesti menangis apabila terpandang ubat begini! Hehe

Kelakar bila ingat balik!

Tengah tak sihat, kesedapan kek dan coklat masih tidak mampu lagi mengatasi rasa ubat itu. Haha. Bila berumur sedikit, macam tu jugalah keadaan saya apabila menelan ubat pil. Saya ingat lagi, saya pernah makan pil paracetamol bersama pisang. Lepas gigit sikit hujung pisang itu, bonda akan masukkan pil dalam pisang (konon-konon tak nampaklah pil putih tu). Sampai macam tu sekali, cara saya makan ubat masa zaman kanak-kanak dulu-penakut! Hehe

-Ubat, agen penyembuh. Yang menyembuhkan tetap Dia!

Sekarang, alhamdulillah dah ok. Sudah hilang rasa penakut mahu makan ubat. Bila ingat balik zaman kanak-kanak saya, pasti akan tergelak sendiri. Mungkin sebab itu juga Tuhan jarang sakitkan saya, saya ini orang yang jenis alergic ubat. Hehe

Apapun, ubat sebenarnya bukan menyembuhkan. Ubat hanyalah alat yang dijadikan Tuhan. Yang menyembuhkan tetap Dia, Maha Tahu segenap perkara.

*Mahu tidur awal, badan sudah penat. Tidak larat. Babai =)

Tuesday, December 06, 2011

Peringatan Tuhan....

Assalamualaikum dan salam sejahtera pembaca setia AmirBatrisya.

Harap semuanya sentiasa di bawah lindungan rahmat dan redha Allah.
Saya baru baik daripada demam. Alhamdulillah, tidak lama mana. Oleh kerana saya ini orang yang jarang dan susah sakit, tapi bila sekali sakit memang agak teruk sakitnya. Seingat saya, sebelum ini saya demam teruk masa tahun lepas, ketika entri ini ditulis.

Sabtu lepas, saya dapat berita kematian sepupu. Saya pun terus balik ke Jeram selepas kelas pagi Sabtu. Malam selepas kenduri saya terus balik ke Tanjong Malim kerana esoknya (Ahad), saya ada pementasan drama di Negeri Sembilan. Memang Tuhan nak menguji, saya kemalangan. Syukur cuma kemalangan kecil, saya agak trauma tetapi Iswara agak teruk juga. Dan sampai tol Tanjong Malim tangki kereta pecah. Jam dah pukul 2 pagi. Ujian-ujian... Mujur saya pulang ke kampung dengan seorang teman. Ada jugalah yang menemani sepanjang perjalanan.

Sampai di Tanjong Malim, teman-teman yang sering bergelak tawa bersama bukan hanya teman ketika suka. Mereka datang menjenguk saya di tol TM. Tuhan, Syukur benar Kau kurniakan mereka untukku. Terima kasih teman! Setelah tangki ditukar dengan harga RM 200, saya hanya menumpang tidur di rumah kawan. (Setelah jam 12, tak boleh masuk kolej). Jam 5 pagi esoknya, saya terus hantar teman yang menemani saya pulang ke kampung itu ke kolejnya dan saya terus balik ke kolej dan bersiap untuk pementasan drama. Jujur, memang kepenatan!

-Keadaan Cik Iswara. Ini ketika mengisi air untuk diminum
oleh tangki di Tol Bukit Tagar.

-Antara teman-teman yang setia menemani pada jam 2 pagi.
Terima kasih daun keladi!

Sepanjang perjalanan ke Negeri Sembilan, saya hanya tidur. Badan sudah tidak larat sebenarnya, tapi digagahkan jua demi drama. (Subjek minor 3 jam kredit yang membawa kepada keputusan peperiksaan saya). Seharian di Negeri Sembilan sejujurnya tidak menggembirakan lebih-lebih lagi apabila badan dalam keadaan begini. Saya benar-benar lemah sebenarnya. Mohon maaf untuk kumpulan saya, tahu itu bukanlah persembahan terbaik saya. Dah lah selalu tak datang latihan, komitmen entah tahap mana, teruk betul saya rasa. Sampai hari kejadian, saya betul-betul rasa bersalah. Persembahan lakonan saya amat teruk! Tuhan, ampuni saya. Teman, maafkan saya. Kerana saya, drama 'Kubur' kita tidak berapa menjadi. Apapun, inilah pengalaman yang akan saya ingati. Ujian 'takdir' ini hadir berganti-ganti.

Saya tidur sepanjang perjalanan pulang ke TM. Betul-betul sudah habis tenaga. Tekak sudah sakit, rasa tak sedap badan. Isnin, saya tidak hadir ke kelas. Terima kasih kak Nad (mantan presiden kelab debat) yang menjenguk kami di TM. Dia yang menemani saya ke klinik. Setelah jumpa seketika dan selesai rawatan, terus saya ke kolej untuk berehat. Tengah hari itu hanya sempat menjamah waffle kerana tiada selera makan. Saya teringin mahu makan bubur nasi. Aduh, saat ini saya teringat bonda di kampung. Masa saya tidak sihat, pasti akan ada bubur nasi untuk saya... (Oh, itu bukan makna manja!)

Alhamdulillah, mujur roomate tersayang memahami. Dia telah mencari bubur nasi untuk saya malam itu. Barulah rasa bertenaga. Nampak risau juga roomate saya yang hot tu, mungkinlah sebab kena jaga orang sakit kan. Sebelum makan bubur, kami hanya berinteraksi melalui tulisan di telefon. Saya akan tulis untuk memberitahu apa yang saya mahu kerana tekak saya benar-benar sakit-tak boleh bercakap banyak. Ketika menjamah bubur itu, pastinya ingatan saya semakin kuat kepada bonda. Andai ada di sisi, pasti akan dimasakkan untuk saya. Terima kasih Cik Zalie yang hot sebab carikan bubur waktu-waktu malam untuk saya...

Hari Selasa hari Asyura, 10 Muharam. Saya tak larat berpuasa, belum sihat sebaiknya. Saat ini barulah saya mengerti, Tuhan sebenarnya memberi peringatan kepada saya. Diberikannya ujian dan sakit kepada saya, mungkin juga kifarah kepada dosa-dosa silam yang amat banyak untuk dihitung. Biarpun tak dapat berpuasa sunat, tapi saya benar-benar bersyukur apabila dikelilingi orang yang menyayangi. Pernah dulu senior saya pesan, biar seorang yang membenci kita Mir, tapi ingat ramai lagi yang menyayangi kita sebenarnya. Dan, sekarang ternyata benar! Saya malas mahu ambil kisah siapa yang membenci saya, lebih baik saya ambil tahu mereka yang menyayangi saya, lagi bahagia! Sampai ada yang sanggup membawa saya ke Rawang mencari bubur ayam McD. Saya benar-benar terharu! Begitu hikmahnya ujian Tuhan. Terima kasih Tuhan untuk ingatan!

-Bubur, mungkin makanan paling sedap kala tidak sihat begini.

Kawan, bukan hanya ketika suka tapi saat berduka dia hadir menyuluh bahagia. Terima kasih untuk perkenalan dan persahabatan yang indah ini!


*Maaf entri terpanjang sedikit. Harap tidak bosan membaca. =)

Thursday, December 01, 2011

Pilihlah Yang Terbaik...

Assalamualaikum warahmatullah dan salam sejahtera.

Sudah awal pagi Disember. Mata tidak boleh tidur. Entah mengapa. Di dalam bilik terasa panas benar, membahang. Teman sebilik sudah lena. Kesian, mungkin penat benar dia...

Rupanya sudah minggu kesebelas kuliah. Aduh, pantasnya masa bergulir! Bila bersendirian, seringkali saya teringat yang saya ini rupanya PELAJAR. Oh, banyak perkara yang saya perlu belajar. Belajar berkawan, belajar menjadi sahabat yang baik, belajar menyayangi, belajar menjadi manusia yang baik dan paling penting belajar menjadi hamba Allah yang terbaik dalam segenap perkara.

Manusia, manusia. Sering benar kita lupa.

-Pilihlah jalan terbaik dalam hidupmu...

Kadang-kadang kita tak dapat apa yang kita impikan. Biasalah, impian mestilah yang indah-indah. Namun, adakala kita selalu dapat lebih daripada apa yang kita harapkan. Saya yakin anda pun begitu juga. Banyak sebenarnya yang Tuhan anugerahkan lebih daripada apa yang kita minta, lebih daripada apa yang kita harap. Allahuakbar!

Biarpun banyak atau sedikit yang Tuhan beri, pernahkah kita bertanya pada diri; tidak cukupkah lagi dengan apa yang Allah beri? Dan apabila Tuhan turunkan sedikit ujian, mulalah kita menyalahkan Dia. Mulalah kita bersangka buruk dengan Allah. 'Kenapa aku yang kena, Allah tak sayang aku ke? Kenapa mesti aku?' Apalah sangat ujian Tuhan yang sedikit itu jika mahu dibandingkan dengan nikmat yang melimpah ruah yang pernah Dia anugerahkan. Kita sering lupa bahawa ujian yang Allah beri sebenarnya setara dengan kemampuan kita. Allah takkan turunkan ujian yang melebihi tanggungan kita, baiknya Allah! Maknanya, setiap masalah ada penyelesaian. Setiap ujian, mampu kita hadapi sebenarnya. Bersangka baiklah dengan Allah, kerana Dia sebaik-baik tempat untuk mengadu. Maha Mendengar dan Maha Mengasihi.

Itulah manusia, selalu tak bersyukur. Sering bersangka buruk dengan Allah sedangkan Dia Tuhan, Pencipta dan Tuan. Kita siapa? Kita hamba, patutlah kena dengar cakap tuan. Tapi, kita mudah lupa. Lupa siapa kita sebenarnya. Sedangkan Tuhan dah janji, Dia ciptakan manusia dan jin adalah untuk beribadah kepada Dia. Adakala niat kita lari, nawaitu kita bukan untuk beribadah tetapi hakikatnya mencambahkan benih riak, takabur dan ujub. Nauzubillah, moga dijauhkan! Betulkan semula nawaitu kita, moga hidup yang dilalui lebih bermakna.

Jalan takdir ini hakikatnya sudah tertulis. Hitam atau putih, kita yang pilih. Keputusan di tangan kita, tanya pada diri. Mahu syurga atau neraka?

Wallahualam.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails