Friday, December 28, 2012

Nikmat yang Membuncah!

Assalamualaikum warahmatullah dan selamat sejahtera semua pembaca.


Kehidupan ini seperti padang yang luas. Nikmati setiap yang kita lalui seindahnya!

Setelah sekian lama tidak menulis sebarang catatan di sini, saya mulakan kembali tulisan yang sering tertangguh. Dan tanpa sedar Disember pun bakal berlabuh, berlalu membawa kisah yang terhimpun dengan anekarasa yang rencam. Pahit, manis, ria, sedih, gembira, duka, curiga, musykil, keliru, bangga, terharu dan rasa yang pelbagai itulah yang sering menemani perjalanan hidup kita.

Bersyukurlah dengan setiap rasa yang Tuhan campakkan ke dalam hati kita kerana percayalah, andai hanya satu rasa sahaja yang bertandang di laman hati pasti hidup ini tidak bermakna lagi. Sebab itulah kehidupan ini penuh dengan kejutan, dan  benarlah Tuhan itu Maha Adil dengan hamba-hambaNya. Segala puji buat-Mu, Allahku!

-Nikmat Tuhan manakah lagi yang mahu kau dustakan? Maha suci Allah!
Andai mahu dihitung setiap nikmat yang diperoleh sepanjang tahun 2012 yang dilalui ini, rasanya pasti tidak mampu terhitung walaupun sudah dikumpulkan setiap air di lautan. Terlalu banyak yang telah Allah limpahkan hingga kita terlupa melafaz syukur kerana terlalu leka dengan nikmat yang hadir tanpa sedar. Allahu, terlalu rendahnya nilai seorang hamba. Nikmat yang besar didamba-damba, tetapi mahu mengucap syukur sengaja dibuat-buat lupa. Moga kita semua dijauhkan!

Setiap hari yang saya lalui, benar-benar mendewasakan. Bertemu dengan pelbagai kerenah manusia menambahkan lagi rasa syukur sebagai hamba. Subhanallah, unik sungguh penciptaan manusia yang punya pelbagai tingkah. Banyak perkara baru yang saya dapat pelajari selain pengalaman yang tentunya guru sejati yang membesarkan biarpun usia bertambah setakah lagi.

Tahun ini saya terus menapak biarpun ada kaki-kaki hitam yang sengaja mahu menyepak. Lumrahlah dalam kehidupan. Tidak semua orang akan senang dengan apa yang kita peroleh tetapi saya pahatkan pesanan ini dalam kotak ingatan; jika ada orang yang membenci kita sebenarnya mereka mahu menjadi seperti kita. Ya, mereka cemburu! Dan pesanan beginilah juga yang selalu saya titipkan jika ada yang  berkongsi rasa kerana punyai kawan yang selalu menjatuhkan. Ayuh, positif!

-Dewan Siswa November 2011 : Amalan Bersyukur
Ketika berbicara tentang hidup, pasti kita tidak akan terlepas dengan pilihan untuk membuat keputusan. Juga tak mampu lari dengan kehendak dan kemahuan, kerana setiap hari yang kita lalui adalah proses pembelajaran. Gunakan akal sebaiknya dan fikirlah dengan rasional yang mana satu lebih penting sama ada kehendak atau kemahuan dan akhirnya barulah berserah kepada Tuhan kerana Dia Maha Tahu dan merencana setiap ketentuan. Jangan sesekali kita terlepas pergantungan kerana hikmah tawakal itu sangat manis kerana dilimpahi rahmat Tuhan!

Bagi sesiapa yang memiliki koleksi Dewan Siswa, bolehlah jenguk kembali edisi November 2011 yang sempat saya kongsi mengenai 'Bersyukur' kerana saya tahu syukur itu terlalu tinggi nilainya! Sama-sama kita perbaiki diri menjadi manusia yang baik pekerti dan terus berbakti untuk watan pertiwi!

Monday, November 19, 2012

Rindukah Ini?

Setiap kali usai solat, saya akan berdoa; Allah, sampaikanlah salam rindu buat sahabatku Syafizie Md. Amin. Sejahterakanlah hidupnya dan permudahkanlah ibadahnya di tanah suci-Mu.

-Limpahkan rahmat dan redha-Mu, Tuhan!
Tuhan, saya benar-benar merindukan dia. Dialah abang, sahabat dan teman akrab yang setia. Saya tidak tahu rasa apa yang berladung di benak qalbu ketika ini, saya tidak tahu sihatkah dia di Haramain sana. 

Kali terakhir saya terima panggilan daripada dia saat memberitahu dia akan berangkat untuk melaksanakan kembara rohani dan menyambut Aidiladha di Makkah tanah barakah. Namun, sehingga saat ini saya masih belum menerima sebarang khabar sementelah sms yang saya hantar belum sempat dibalas.

Bukan apa, sebenarnya sudah tiga kali saya mimpikan dia. Dua hari berturut-turut kemudian selang sehari, dia hadir dalam mimpi saya. Saya pun bukan arif benar dalam menaklik mimpi. Tapi kata mereka yang sudah berusia, jika kita mimpikan seseorang maknanya orang itu sedang rindukan kita. Entah benar atau tidak tanggapan itu, saya pun tidak tahu.

Andai dia sedang merindui saya, saya pun begitu juga. Biarlah buih-buih kerinduan ini terpecah saat pertemuan semula nanti. Tuhan, permudahkan urusannya dan kurniakanlah haji mabrur buat dia sekeluarga. Allahumma amin!

Sunday, November 04, 2012

Oktober Manis yang Berlalu

Akhir Oktober lalu, saya terima surat daripada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Lama juga sebenarnya saya tidak menerima sebarang surat daripada DBP sama ada memaklumkan karya tersiar di majalah terbitan mereka ataupun untuk pembayaran honorarium.
-Tunas Cipta Oktober, 2012

Ketika menerimanya, terkejut juga saya apabila dimaklumkan bahawa karya saya tersiar di dalam majalah Tunas Cipta edisi Oktober 2012. Maklumlah, lama juga sebenarnya saya tidak menulis dan menghantar karya ke media lebih-lebih lagi agak sibuk dengan latihan mengajar di Seremban. 

Karya saya yang paling akhir tersiar di media adalah pada Disember yang lalu. Karya 'Bukan Terakhir Kali' yang tersiar di Tunas Cipta. Itupun saya ketahui daripada pensyarah UPSI, En. Ghazali Din dan Dr. A. Halim Ali. Setelah itu, sudah tidak tersiar lagi karya saya di media.

Untuk edisi kali ini, saya rasa terlalu manis kerana tuan editor menyiarkan puisi 'Ayahanda' sempena ulangtahun kelahiran saya Oktober yang lalu. Terima kasih Abg Ghani! Walaupun sudah agak lama saya tidak mengakrabkan diri dalam dunia ini, terasa puisi yang tersiar kali ini amat berharga! Dan sebenarnya tanpa sedar, membisikkan pawana semangat untuk saya terus menulis dan memberikan manfaat buat masyarakat.

Sekiranya anda mahu membaca puisi kecil saya, 'Ayahanda', bolehlah dapatkan majalah Tunas Cipta edisi Oktober 2012 di Koperasi DBP atau mana-mana kedai yang ada menjual majalah terbitan DBP di sekitar kawasan anda.

Saturday, November 03, 2012

Kisah McD (2)


Banyak juga perkara yang kami borakkan. Lagi-lagi bila dia sudah tahu yang saya bakal cikgu.
"Budak-budak sekarang tak macam dulu. Yang paling teruknya siapa? Orang Melayu."
Saya mengiyakan sahaja. Adakala menokok tambah apa yang dikatakan oleh lelaki itu.
"Budak-budak sekarang dah hilang hormat dengan orang tua. Dengan cikgu pun lagilah tak ada rasa hormat." Saya menambah.

Habis Burger Daging yang dipesannya dijamah, lelaki itu bersuara,
"Lepas ni, saya nak pergi klinik ni." Rupanya mahu mengambil ubat ketagih rokok.
"Susah nak berhenti. Bila dah mula sekali, memang payah lah Mir."
Dan tanpa dipaksa, dia membuka satu rahsia besar dalam hidupnya. Yang mungkin tidak perlu untuk diketahui oleh orang lain- dan mungkin juga saya!
"Saya ni dulu teruk, Mir. Hisap ganja."
Saya telan air liur seketika.
"Tapi kan Mir, bila kita dah selalu hisap rokok kenapa orang tak panggil penagih rokok? Kenapa bila hisap ganja orang panggil penagih ganja? Apa bezanya?"
Saya cuma diam. Memberi peluang untuk lelaki itu terus bercerita.
"Ganja tu macam mana ya?" Saya bertanya. Memang tak pernah seumur hidup saya mengenali apa itu ganja.
"Ganja tu daun. Letak tembakau. Macam hisap rokok jugak."
"Ohhhh...."

"Umur abang berapa ya?" Saya bertanya. Mungkin pertanyaan itu nampak polos, tapi saya cuma sekadar ingin tahu.
"Saya ni dah tualah Mir, dah 54 tahun dah."
"Ohhh...."

Tidak lama kemudian, lelaki itu pun meminta diri untuk pergi. Pesannya lagi, "Kalau jumpa saya kat mana-mana, tegurlah Mir. Takut saya tak perasan."
"InsyaAllah. Terima kasih. Elok-elok ya."

Terima kasih. Saya bersyukur kerana pertemuan singkat ini. Mungkin anda pun pernah menemui situasi begini. Banyak lagi sebenarnya kisah yang dikongsi, tapi biarlah saya menyimpannya untuk dijadikan sempadan dan pengajaran kerana dunia ini hanya sementara dan hidup ini hanya seketika. Nikmatilah dan hargailah sebaiknya!

Wednesday, October 31, 2012

Kisah McD (1)

Hari ini saya teringin menjamah makanan segera McDonald. Sampai sahaja di restoran, tempat duduk penuh dengan para pelajar sebuah sekolah di Kuala Lumpur. Ish, ada tempat ke untuk saya duduk ni? Semasa mahu membuat pesanan, saya beratur seperti biasa. Ada beberapa orang pelajar menunggu makanan tanpa beratur, seperti kantin sekolah dibuatnya! Ketika masih menunggu untuk membuat pesanan, kerana pelayannya hanya seorang dan sedang sibuk menyiapkan pesanan daripada pelajar tadi, ada seorang lelaki berdiri di sebelah saya- sebenarnya mahu membuat pesanan juga.


"Mana barisan ni?"
Saya kata, "di sini. Mungkin budak-budak ni tengah tunggu pesanan."
"Aku sound jugak kejap lagi ni!"
Saya terdiam.
Selesai semua pesanan pelajar itu disiapkan, pelayan itu terus bertanya kepada saya; mahu makan sini atau bungkus?- mungkin pelayan itu memang sudah perasan kehadiran saya terlebih dahulu sebelum lelaki itu.

Dipendekkan cerita, lelaki tadi terus memesan makanan selepas selesai saya memesan dan dikira dalam satu bil. Saya hairan. Aik, sekali ke? Kemudian, dia mengeluarkan duit dan membayarnya sekali. Okey, dia belanja saya. Sementara menunggu pesanan kami siap, saya kata "Takpalah, saya tunggu makanan siap, abang carilah tempat dulu." Selesai semuanya, saya pun membawa makanan ke tempat yang diduduki oleh lelaki tadi.

Setelah meletakkan pesanan di atas meja, dia bertanya;
"Siapa nama ni?"
"Amir"
"Oh, belajar kat mana?"
Dan kami berbual-bual ringkas sambil menjamah makanan. Yang peliknya, dia masih belum perkenalkan dirinya!

....bersambung

Thursday, October 11, 2012

Edisi Ulangtahun

Assalamualaikumwarahmatullah dan salam sejahtera semua pembaca.

Berbulan-bulan saya tidak menulis di sini. Bukan kerana sudah tidak suka, apatah lagi melayan rajuk di jiwa. Bukan. Tidak ada apa yang perlu untuk dirajukkan. Terima kasih buat mereka yang sering bertanya tentang penulisan saya di laman ini. Menjejak Dewasa yang banyak 'membesarkan'. Terima kasih!

Alhamdulillah. 4 Oktober baru juga berlalu. Terima kasih untuk doa dan ingatan yang berpanjangan. Menerima ratusan doa dan ucapan membuatkan diri kecil ini rasa dihargai (sms, Facebook dan Twitter). Terima kasih kerana sudi mendoakan agar saya dipanjangkan umur dan dimurahkan rezeki. Insyaallah, akan diisi usia yang berbaki agar dapat membuat kebaikan dan memberi manfaat kepada manusia lain. Terima kasih semua!

Ketika usia bertambah setakah lagi, semakin banyak perkara yang dapat saya pelajari. Saya mula lali dengan sepak terajang cabaran dunia. Benarlah, hidup ini satu persaingan. Hanya yang menang dan kalah yang menjadi penilaian. Dalam setiap langkah untuk menggapai kemenangan itu juga, akan ada manusia yang iri hati dan mampu menjatuhkan kita pada bila-bila masa. Selalulah hati-hati dan berwaspada!

-Mereka yang istimewa. Sahabat untuk selamanya, setia!
Syukur Tuhan. Bersyukur saya kerana dianugerahkan teman-teman yang selalu menyokong dan menegur saat saya tersilap langkah. Ketika kita mula mengenali apa itu hidup, kita juga akan mengerti bahawa ada dua jenis teman yang akan kita temui; iaitu teman yang menyokong dan menjatuhkan. Sekali lagi, selalulah berhati-hati! Terima kasih Azlee, Matt, Mirul, Zura, Izzah dan Memy- Geng Pelangi. Bahagia punyai mereka, selalu ada ketika senang dan susah derita. Moga Tuhan panjangkan ukhuwah ini hingga ke Jannah-Nya. 'Dalam kehidupan ini, yang terindah, melalui usia remaja!' Terima kasih!

Ulangtahun kali ini, anekamacam rasa yang menjentik gapura hati. Saya gembira kerana dapat mengenali ramai manusia. Gembira kerana dapat menggembirakan orang lain dan gembira kerana dapat merasai pelbagai pengalaman hidup; jatuh dan bangun semula. Gagal dan berlari hingga ke puncak jaya. Alhamdulillah, saya gembira. Dalam kegembiraan yang saya rasai, saya sedih sebenarnya apabila semakin jauh meninggalkan dunia kanak-kanak yang indah, tanpa perlu memikirkan sebarang masalah. Saya sedih dan takut kerana ketika usia bertambah bermakna semakin dekat kita dengan kematian dan bagaimakah pengakhirannya nanti?

Allahku, rahmatilah perjalanan hidup ini dan aku serahkan segala-galanya kerana hanya Engkau yang Maha Tahu.

-Terima kasih!
Gembira. Saya amat bahagia dikelilingi keluarga dan teman-teman yang menjadi tempat bersandar saat saya tersungkur menerima peringatan Tuhan. Ketika ini, saya benar-benar bahagia dengan hidup yang saya lalui. Syukur. Gembira dikelilingi anak-anak didik yang semakin bertambah dan mencambahkan benih kecintaan dalan dunia perguruan. Saya sudah mengerti makna cinta ini dan berjanji untuk melihat anak bangsa berjaya di hadapan mata. 

Tuhanku, kuatkan hati kecil ini agar mampu melahirkan manusia berjiwa besar.

-Manfaatkan setiap lapangan penjuru dunia!
Istimewanya ulangtahun kali ini, saya belajar sesuatu tentang hidup. Manfaatkanlah dua perkara yang sering kita lupa iaitu masa lapang dan saat sihat sejahtera. Kita sebenarnya seringkali membazirkan usia dengan perkara yang tidak bermanfaat dan tidak menggunakan kudrat yang dianugerah Tuhan dengan sebaiknya. Moga-moga peringatan kali ini dapat menjadikan kita manusia yang lebih baik daripada semalam yang telah hilang.

Terima kasih semua. Allahumma amin. Amin!

Monday, July 23, 2012

Guru Pelatih Muda

Ini mungkin catatan yang tertangguh. Sudah lama sebenarnya saya mahu mencatatkan kisah ini, kembara kehidupan yang indah yang sedang saya lalui. Mohon maaf buat semua yang sering menanti kisah-kisah baharu saya (macamlah ramai peminat yang baca!). Chehh! Biasalah, bila Tuhan tidak datangkan ilham, memang tak bergeraklah jari jemari ni. Maaf dari hati!

Bagi sesiapa yang belum tahu, saya sedang menjalani latihan mengajar di SMKA Sheikh Haji Mohd Said (SHAMS), Seremban. Lekas benar masa berlalu. Rasa macam baru sahaja saya menikmati tahun pertama di UPSI. Rupanya sekarang saya sudah di tahun akhir dan bakal meninggalkan tanah mendidik jiwa murabbi, Tanjong Malim (TM). Banyak. Terlalu banyak kenangan dan pengalaman yang sempat saya lalui sepanjang tiga tahun saya di TM. Semuanya mendewasakan! Dan kini saya benar-benar berdepan dengan realiti. Anak bangsa yang sedang saya hadapi dan akan saya temui lagi beberapa tahun mendatang, ketika saya benar-benar bergelar guru!

-Bersama rakan-rakan guru pelatih di SHAMS
Alhamdulillah. Saya bersyukur sangat apabila ditempatkan di SHAMS. Berada dalam persekitaran agama sebegini, pastinya akan mengingatkan saya dengan sekolah lama tempat saya menuntut ilmu. Terima kasih Allah! Apabila berada di SHAMS, saya rasa agak tenang kerana pelajarnya boleh dikatakan gred A dan masih boleh dikawal dengan baik. Sesuailah dengan motto mereka; anak yang baik mendengar kata. Moga-moga semuanya akan menjadi insan hebat satu hari nanti! Antara perkara lain yang membuatkan saya lebih bersemangat adalah semuanya bangsa saya sendiri. Anak Melayu Islam; yang pastinya lebih mudah untuk didekati dan mudah memahami setiap pesanan dan teguran.

Empat minggu sudah berlalu. Saya mula serasi dengan semuanya; rakan-rakan guru, kaedah p&p, persekitaran sekolah dan juga anak-anak yang sangat khalis lagi polos wajah mereka mengharap ilmu dan tunjuk ajar. Saya akan cuba sebaiknya berkongsi dengan mereka apa yang saya ada. Apalah guna ilmu kalau tidak disampaikan dan diamalkan. Saat ini saya benar-benar bahagia, saya gembira menjadi seorang guru. Sedikit demi sedikit saya sudah mencintai bidang perguruan yang penuh cabaran ini. Alhamdulillah kerana Tuhan permudahkan perjalanan kembara ini.

-Moga terus hidup jiwa murabbi di dalam diri!
Sejujurnya, saya sangat takut apabila mahu berhadapan dengan anak-anak SHAMS. Walaupun cabaran saya tidak berhadapan dengan pelajar nakal atau bermasalah tetapi saya akan berhadapan dengan pelajar pandai. Pelajar cerdik dan bijak! Ya, itulah pandangan pertama saya ketika kaki mula melangkah untuk melapor diri di sekolah ini. Guru-guru pula menyapa mesra, cikgu muda. Aduh, perli ke apa ni? Kata mereka kehadiran kami sebenarnya memeriahkan dunia perguruan- sebab orang muda banyak ideanya. Harap-harap begitulah. Saya sebenarnya begitu senang sekali dengan layanan guru-guru di SHAMS. Semuanya nampak mesra dan begitu mudah untuk didekati. Tidak lokek ilmu dan pengalaman. Dahulu saya pernah dengar kisah abang-akak senior yang berdepan dengan pelajar cerdik rupanya sekarang saya pula yang terpaksa berhadapan dengan cabaran sebegini. Walaupun pada awalnya saya agak kurang yakin tetapi lama-lama betullah kata orang, alah bisa tegal biasa!

Ketika mula-mula mengajar dulu, saya pernah curi-curi tengok Twitter pelajar. Macam stalker pulak! Jangan ikut taw! Heheh. Ada pelajar saya tulis di Twitternya begini, 'Esok sejarah. Yeay cikgu Amir!' dan 'Bersyukur dapat cikgu Amir ajar sejarah.' Saya terpaku kejap bila baca. Terharu. Alhamdulillah, saya bersyukur bila pelajar dapat menerima saya. Saya akan ingat sampai bila-bila pelajar tu. Harapan saya, biarlah dengan kehadiran saya mereka akan lebih mencintai ilmu, lagi-lagi sejarah. Yalah, sejarah kan selalu dikaitkan dengan bosan dan mengantuk. Harap-harap persepsi pelajar sudah mula berubah. Impian saya, moga mereka menjadi manusia hebat-cemerlang dunia dan akhirat!

Sunday, June 17, 2012

Anak Abah

Kehadiran bulan Mei begitu sinonim dengan dua insan hebat yang sering melingkungi ruang hidup kita; ibu dan guru. Begitu juga dengan bulan Jun. Kedatangan bulan Jun pula pastinya dirasai oleh golongan lelaki yang lebih tepatnya mereka yang bergelar bapa. Hakikatnya, seumur hidup saya ini tidak pernah pun saya menyambut hari bapa setiap kali hadirnya bulan Jun menjengah kalender hidup saya tahun demi tahun.

-Abah adalah satu anugerah, pemberian Allah!
Sedar tidak sedar rupanya, sudah lapan belas tahun pemergian almarhum abah menjadi penghuni satu lagi dunia yang tidak bersempadan, yang tidak dapat berhubungan dengan kita yang masih lagi meneruskan sisa hidup di atas dunia sementara ini. Pemergian almarhum abah ketika usia saya empat tahun, ketika itu masih muda benar untuk saya mengerti tentang makna kematian dan perpisahan. Dan saya terlalu bersyukur kerana masih mampu membesar walaupun tanpa seorang lelaki yang dipanggil abah.

Saya sekadar mengenali almarhum abah hanya empat tahun, dan dalam tempoh itu tidak semua tentang abah dapat saya ketahui. Selebihnya, saya mengenali almarhum abah melalui cerita-cerita daripada adik beradiknya dan teman seperjuangannya. Sejujurnya, saya amat kagum kerana punya seorang abah begini walaupun dia sudah tiada lagi. Sehingga hari ini saya masih berharap, semua perkara yang baik yang ada pada abah dapat saya ikuti ataupun menurun kepada kami adik beradik.

Setiap kali saya terjumpa teman-teman lamanya, pasti mereka akan katakan yang almarhum abah ini sangat rajin orangnya. Dahulu, almarhum abah ada membuka kedai runcit. Saya tahu abah memang seorang yang gigih. Saya masih ingat ketika itu umur saya dalam lingkungan tiga ke empat tahun, dan sebelum kematian abah- saya memang membesar di kedai itu. Sayangnya, kami adik beradik tidak ada seorang pun yang berminat dalam hal ehwal perniagaan seperti abah. Kalau abah masih hidup, pasti abah akan berasa malu kerana kami. Dan saya berharap sifat rajin abah ada menurun dalam diri saya. Saya akan berusaha dan belajar untuk menjadi rajin, macam abah!

-Moga syurga menanti kita, abah!
Ketika saya bakal menjengah tahun akhir pengajian untuk ijazah sarjana muda ini, saya benar-benar berbangga kerana pernah menjadi pelajar kawan-kawan almarhum abah. Saya gembira kerana dapat menuntut dengan mereka; Cikgu Hindun Marjunit, Cikgu Rohaizah Nordin dan Cikgu Hanisham Abd Ghani. Mungkin ada lagi tanpa disedari, mereka yang pernah membesar dengan abah dan menjadi guru saya suatu ketika dahulu. Mungkin.


Dan kehadiran hari bapa tahun ini, samalah dengan tahun-tahun sebelumnya. Tiada sebarang sambutan untuk menyatakan rasa kasih yang tidak terhingga kerana menjadi bapa saya. Semampunya, hanya bacaan Al-Fatihah dan untaian doa setiap kali selepas solat yang tidak pernah putus yang menghubungkan saya dan dia! Biarpun abah sudah tiada lagi, tapi saya bangga kerana punya seorang abah yang takkan mampu ditukar ganti. Moga-moga abah selalu tersenyum, tanda bangga kerana punyai anak seperti saya yang masih menjejak dewasa! Andai saya sudah menjadi bapa, saya berusaha akan menjadi bapa yang baik untuk isteri dan anak-anak saya. Rindu dan sayang abah selalu. Selamat hari bapa, abah! ^^

Thursday, June 14, 2012

Kecewa Itu Juga Rasa!

Alhamdulillah, usai peperiksaan akhir semester kelmarin, bermakna tamatlah sudah pengajian untuk semester ini. Maknanya, saya akan menjengah tahun akhir pengajian. Allah, pantas benar peredaran siang dan malam-Mu! Segala puji selayaknya untuk-Mu, Tuhanku! Tiga tahun pengajian yang sudah dilalui benar-benar mendewasakan. Saya sendiri merasai perubahan diri. Betullah kata pujangga, semakin kita tahu sesuatu perkara, semakin kita tahu kebodohan diri. Ya, terokailah segala ilmu yang terhampar di atas muka bumi ini. Bertebaranlah mencari redha Allah!

-Jangan bersedih. Allah bersamamu! 
Sebentar tadi ada seorang junior berkongsi cerita dengan saya. Katanya, dia (m) sudah dapat tahu siapa yang sedang berkawan dengan bekas kekasihnya. Saya tahu dia sedih. Seboleh mungkin, saya cuba memberi semangat. Sedaya upaya menghulurkan empati, merasai apa yang turut dirasainya. Sebelum ini m pernah katakan yang dia masih sayang kepada perempuan itu. Putus sebab apa, dia pun tidak tahu kerana perempuan itu tidak beritahu. Rasa sayang masih lagi subur dalam ruang kecil hatinya, tapi sayang perempuan itu mahu putus juga. Katanya lagi, kalaulah perempuan itu sudah ada kekasih yang baru, dia tidak kisah. Yang penting dia mahu tahu siapa lelaki itu- kalau betullah perempuan itu sudah berkasih dengan lelaki lain.

Rupanya memang ya. Perempuan bekas kekasih m ini sudah berkasih dengan lelaki lain. Saya tahu hatinya hancur. Kecewa. Apa tidaknya, wanita itu pernah hadir dalam hidupnya, menjadi teman yang paling istimewa. Walaupun sekadar chatting di FB, saya sedaya mungkin memberikan nasihat agar dia terus bersemangat. Peperiksaan m belum habis lagi. Risau juga akan menjejaskan prestasinya nanti. SMS berupa kata-kata semangat juga turut saya kirimkan, agar dia tahu ramai lagi yang masih sayang akan dirinya.

-Terbanglah segagah helang. Terus berjuang! 
Hakikatnya, kecewa itu juga rasa. Yang sesekali dihadirkan Tuhan untuk menguji sejauhmana kebergantungan kita kepada Dia. Kalau hidup ini selalu gembira, pasti kita akan terlupa juga untuk mensyukuri segala nikmat yang dikurnia. Sebab itulah Allah hadirkan anekamacam rasa dalam hidup kita kerana berbagai-bagai rasa yang hadir itulah sebenarnya kebahagiaan! Satu hari nanti, anda pasti akan percaya dengan apa yang saya kongsikan ini. Percayalah!

Andai anda sedang bersatu dengan rasa kecewa saat ini, lekas-lekaslah berdoa kepada Allah. Mohonlah agar dijauhkan secepat mungkin rasa kecewa itu kerana Allah yang mengirimkan rasa kecewa itu kepada kita dan Dia juga yang berhak menariknya. Berdoalah selaku hamba yang paling kecil dan kerdil, dia pasti mendengar setiap rintihan dan permintaan kita. Moga-moga rasa kecewa yang bertandang, perlahan-lahan jauh menghilang. Kecewa itu bukan sahaja dalam hubungan kasih sayang, tetapi dalam segenap kehidupan yang kita lalui; keluarga, sahabat, pelajaran, kerja dan banyak lagi.


Buat adik saya yang sedang kecewa ini, moga terus kuat. Mohonlah agar Allah hadirkan wanita yang lebih baik sebagai pengganti. Jangan bazirkan saat gembira dalam hidup dengan kesedihan dan kedukaan, bergembiralah! Moga tenang selalu bersama kamu.

Friday, June 08, 2012

Rasa apakah?

Rasa apakah sebenarnya yang Tuhan hadirkan di hati kecil saya saat ini? Entahlah. Kalau rasa yang hadir itu menuntut sebuah jawapan, sungguh di saat ini saya tidak mampu menjawabnya. Tapi saya bukannya seorang lelaki yang mudah berserah. Apatah lagi menyerah dengan takdir yang hadir.

-Saya rindu untuk menikmati suasana begini.
Menatap mentari terbenam di langit nirmala!
Sungguh saya tidak kuat. Bukan bererti bacul, cuma rasa yang hadir itu sengaja mahu menguji hati dan perasaan yang paling dalam. Paling halus sifatnya, yang akhirnya membawa saya ke daerah ketidakpastian dan tidak tahu untuk menimbang sebuah jawapan! Allah, ujian apakah ini?

Mungkin di saat saya dan kamu yang membaca, terfikir tentang makna sebuah dewasa dan keseronokan melalui usia muda, Tuhan sengaja menghadirkan ujian berupa anugerah manusia untuk disayangi. Saat itu juga, kita berasa keliru dengan pilihan yang terbentang di hadapan mata. Walaupun kita sering benar dihamparkan dengan pilihan; hitam atau putih, kanan atau kiri, dosa atau pahala. Ya, pilihan jawapan juga hanya kita yang ada kuasanya! 

Kasih sayang itu anugerah. Sahabat juga anugerah. Hidup itu pula anugerah yang lebih bernilai kerana kita sendiri yang menyusurinya, menikmati dan menghayati segala keindahannya!

Monday, June 04, 2012

Ini sebuah kisah indah!

Pengajian untuk semester ini sudah hampir sampai ke penghujungnya. Pantas sungguh masa memintas, memang pencuri paling berjaya! Sesekali membelek-belek blog Menjejak Dewasa ini, hati kecil saya berdetik, adakah tulisan saya selama ini memberi manfaat atau tidak kepada pembaca. Maklumlah cerita kecil yang saya lalui kadangkala berbeza dengan orang lain, dan catatan kisah hidup yang saya harungi sekadar perkongsian dengan semua pembaca setia, yang sudi membaca dan mengetahui jatuh bangun saya. Terima kasih!

Saya percaya, rindu itu anugerah. Rahmat Tuhan tanpa batasan. Petang tadi, dihadirkan rindu sebagai tetamu, untuk saya kenang sebuah perjuangan. Benar, saya benar-benar rindu dengan debat. Semua yang berkaitan dengannya. Mungkin hanya siapa yang pernah berada di dalamnya akan tahu betapa indahnya sebuah perjuangan, jatuh bangun untuk mengejar mahkota kejuaraan. Allah, semuanya kerana ilmu dan pengalaman. Indah dan manis! Bersyukur saya ditemukan dengan insan-insan hebat yang sering membuatkan saya kuat. Tuhan, rindunya saat-saat indah bersama mereka.

(Debat IKIM 2010. Delegasi UPSI)

(DAS 2009. Ketika menjadi pengiring dan mula-mula belajar tentang debat.)
Di sudut hati kecil saya, sedih sebenarnya. Tahun ini sudah tahun kedua tidak dapat mengikuti Pertandingan Debat Alam Sekitar (DAS). Mungkin tak ramai yang tahu, saya bermula dengan DAS. Ketika mengakrabkan diri dalam dunia perdebatan universiti, saya menjadi pengiring DAS di UTP. Ya, saya masih ingat lagi ketika itu saya di semester satu dan tidak tahu apa-apa tentang debat peringkat universiti. Perlahan-lahan saya belajar membina diri sebagai pendebat dan akhirnya Tuhan telah menulis untuk saya mewakili universiti dalam pertandingan debat. Saya bukannya hebat dalam perdebatan, cuma seringkali saya digandingkan dengan  mereka yang hebat dan membuatkan kumpulan kami menjadi kuat. Maklumlah, debat bukannya perjuangan individu tetapi perjuangan kumpulan yang menuntut banyak pengorbanan.


(Debat IKIM 2010. Rindu team ini dan seronok bersama mereka!)
Ketika tahun pertama pengajian, saya bermula dengan Debat Diraja mewakili universiti sehingga mencambahkan rasa cinta yang tidak mampu terungkap dengan kata-kata. Bersama abang kakak yang tidak pernah rasa lokek untuk berkongsi ilmu dan pastinya masa yang ada sering dihabiskan bersama mereka! Moga-moga kenangan itu masih kekal dalam kotak ingatan kalian! Debat IKIM yang saya ikuti menambahkan lagi pengalaman saya yang tidak seberapa dalam dunia perdebatan. Rindu mahu berjaga malam mencari fakta kes untuk suku akhir! Indahnya. Dan ujian yang paling saya akan ingat sampai bila-bila sudah pasti Debat Perdana Integriti di UMS. Saat itu, air mata yang mengalir bukan sekadar lakonan tetapi kecintaan yang maha mendalam demi dunia perdebatan! Allah, jika diingat kembali memang mampu membuatkan air mata menitis lagi. Menyambut hari lahir abg Baihaqi di Kota Kinabalu dan macam-macam lagi pengalaman yang kami lalui; sungguh mendewasakan!


(DAS 2010 di UMT. Mencari potensi diri!)
Tahun kedua pengajian, saya diberi peluang untuk mewakili universiti dalam DAS. Ketika itu, hanya Tuhan sahaja yang tahu bagaimana perasaan saya saat bergandingan dengan senior debat UPSI. Saya benar-benar rasa kerdil dan kecil dengan ilmu dan pengalaman. Memang seharusnya tidak layak untuk saya berada di tempat itu. Namun alhamdulillah, kepercayaan yang diberikan oleh kak Nad, abg Fawiz dan abg Suhaimi telah meletakkan kumpulan kami antara 10 yang terbaik antara seluruh IPT. Saat itu juga saya bertekad untuk menebus kekalahan agar tahun berikutnya ada rezeki untuk kami meletakkan UPSI di tempat yang tertinggi. Namun, perancangan Allah mungkin lebih baik. Saya tidak berkesempatan untuk menebusnya tahun lepas dan berharap agar tahun ini ada rezeki untuk saya menebusnya namun rupanya tidak juga.


(Debat Piala Munsyi Abdullah 2011. Kejayaan itu permulaan yang mendewasakan!)
Setelah itu, ada beberapa siri debat yang saya ikuti. Biarlah, rasanya tidak perlu dituliskan di sini. Banyak manapun siri debat yang saya ikuti, semuanya mendewasakan. Membesarkan saya mengenali potensi diri dan kesempatan yang ada saya pasti akan mengutip banyak ilmu dan pengalaman baru. Mungkin ianya sudah sebati dalam diri. Sejauhmanapun dia pergi atau selaju manapun saya berlari; debat tetap menjadi kecintaan dalam diri. Tiga tahun pengajian di UPSI, jatuh bangun saya banyak dipengaruhi dengan debat. Ia istimewa, terlalu istimewa. Debat adalah sebuah kisah indah; tentang impian, harapan dan perjuangan. Kita berdoa, orang lain pun berdoa. Doa siapa yang diangkat, itu rahsia Allah. Ya, saya akan ingati ayat keramat ini sampai bila-bila!


(Debat Diraja 2012 di USM. Mungkinkah ini yang akhir?
Biarlah Allah simpan jawapannya.)

Kali ini, DAS berlangsung ketika minggu pertama saya berpraktikum. Maknanya, saya telah kehilangan peluang lagi tahun ini. Walaupun pernah berjanji untuk kembali bertarung di gelanggang perdebatan untuk DAS tahun ini, ada takdir lain yang telah tertulis. Mungkin pengakhirannya lebih indah. Itu juga rahsia Allah! Buat kalian yang mewakili, doa saya setia mengiringi. Buat yang terbaik!

Wednesday, May 30, 2012

Kumerindu!

Harap-harap rajuknya tidak lama, selalu juga saya mendapat pesanan agar menulis di sini. Barulah saya sedari, ada juga yang sudi membaca cerita saya di sini. Terima kasih! Sebenarnya, sudah lama saya mahu menulis tentang ini, berkongsi dengan semua pembaca setia Menjejak Dewasa. Aduh, kekok pula saya bermain dengan bahasa sebab sudah lama benar saya tidak menulis. Harap-harap pembaca tidak jemu ya!

Saya bukannya ramai teman rapat yang sekelas Sejarah, maklumlah jumlah bakal cikgu Sejarah badge saya ada dalam 180 orang. Itu pun ada juga beberapa pelajar perempuan yang saya tidak kenal! Ish, teruk! Maafkan saya... Kali ini saya mahu kongsi cerita dengan pembaca tentang teman-teman sekelas KPD atau kelas pengajaran, teknologi dan penaksiran atau lebih popular dengan nama makroteaching (cara-cara mengajar di dalam kelas). Selepas tahun kedua pengajian, ramai teman lelaki Sejarah yang sebelum ini duduk sekolej sudah keluar dan menyewa rumah di sekitar Tanjong Malim. Mungkin hal ini juga sebenarnya menyebabkan saya terasa yang saya kekurangan kawan. Ya, di tahun-tahun akhir pengajian saya merasa begitu! Sekarang, saya sendiri merasakan perkara itu sedangkan sebelum ini saya hanya melihat senior-senior saya yang macam kurang kawan, rupanya saya sedang melaluinya sekarang! Maklumlah, masing-masing sudah sibuk dengan hal sendiri.



Dua semester saya ambil kelas KPD dengan teman sekelas dan pengajar yang sama membuatkan saya akan merindui saat-saat manis bersama mereka! Ya, terlalu banyak perkara yang saya pelajari. Awalnya, saya antara orang yang keras bersuara agar ditukar tenaga pengajar. Yelah, mana tidaknya kami belajar dengan seorang profesor emeritus. Semester pertama ketika belajar dengan prof Isahak, kami terasa agak lain. Yelah, pertamanya beliau bukan pun pensyarah daripada jabatan sejarah dan perkara yang agak menggerunkan adalah apabila kami perlu berfikir sepertimana beliau berfikir! Rupanya barulah saya maklum bahawa uktuk kelas KPD, ada pensyarah daripada FPPM dipinjamkan untuk mengajar subjek tersebut termasuk kos-kos yang lain. Betullah kata orang, tak kenal maka tak cinta; semakin lama mengenali beliau ada satu perasaan lain yang menyusup ke dalam hati kecil saya.

Saat ini, saya benar-benar bangga ditemukan dengan beliau dan dapat belajar dengan insan hebat ini! Banyak ilmu tentang hidup yang dikongsi di dalam kelas dan beliau tidak lokek bercerita tentang pengalaman dewasa yang dilalui selama 82 tahun. Ya, prof saya ini masih lagi kuat dan gagah langkahnya walaupun seharusnya di usia begini, prof perlu berehat di rumah. Mungkin beliau tidak betah duduk di rumah dan semangat murabbinya amat terserlah setelah mengenali beliau yang amat saya kagumi. Terima kasih prof!

(Prof. Emeritus Dato' Dr. Isahak Haron)

Tentang teman sekelas, kali inilah saya rasakan yang saya amat rapat dengan mereka (teman sekos sejarah). Walaupun ada yang baru kenal ketika di tahun ketiga pengajian, tapi saya benar-benar bersyukur ditemukan dengan mereka. Benarlah manusia ini macam-macam ragam dan gelagatnya. Ish, rindunya sampai tak tahu mahu tulis apa lagi! Tak mengapalah, biarlah gambar-gambar yang bercerita ya.

-Bergambar kenangan setelah mengharungi kesejukan di dalam kelas!

-Cikgu nakal. Kelas terakhir kami!

-Sebelum kelas bermula. ^^


-Bersama anak-anak Sarawak. Muka saya pun dah ada macam orang sana kan?

-Selesai sambutan hari guru. Sederhana tapi meriah!

-Bergambar kenangan setelah menyanyikan lagu 'Guru Malaysia' dan 'Kau Ilhamku', 
istimewa buat prof. Tiada dalam gambar, Haris dan Ong. ^^

Wednesday, May 16, 2012

Sesekali (Untuk semua yang pernah dan sedang bergelar pelajar!)




Sesekali merenung hidup
sejarahnya dimulai seorang guru biasa
yang bersemarak semangat
dan cecita
mencorak manusia jadi berguna
dan luhur pekerti mewarnai jiwa.

Sesekali merenung hidup
terngiang lantun suara
yang pernah menggema gua dungu
memecahkan kerikil jahil
merobohkan tembok kebodohan
berganti bisikan lembut penyejuk qalbu;
kiriman nasihat dan pesan
yang mendewasakan,
langkah gagah yang melorongkan
makna kehidupan.

Sesekali merenung hidup
dalam bisik kudus terkepung
kuhimpun doa kecil
yang tak berpenghujung;
‘Tuhan,
limpahkan sinar bahagia
menyeluruhi ruang hidup
buat mereka yang berjasa!’
yang kusanjung
hingga akhir usia.

Amir Ridzuan
UPSI, Tanjong Malim

-Andai dapat disamakan air di lautan dengan jasa seorang guru, pastinya tidak mampu tertampung untuk dikira pesan dan nasihat yang sering mengalir membasuh segala kebodohan dalam diri.
Buat mereka yang pernah mengajar saya tulis baca, mengenalkan jalan putih dan hitam, meluaskan pandangan tentang makna sebuah kehidupan serta mencorak diri saya menjadi seorang hari ini, terima kasih yang tidak terhingga dan biarlah Allah sahaja yang membalas segala jasa!
Guruku, moga kalian terus bahagia dan biarlah ilmumu yang berterusan itu menjadi penyuluh menemani kelam di alam kubur nanti!

-SELAMAT HARI GURU. TANPA KALIAN, SAYA TIDAK MAMPU DI PUNCAK INI! ^^ 

Monday, April 30, 2012

Kelab Lelaki Solo (Single)!

Sejujurnya, ketika ini terlalu banyak perkara yang bercempera di jemala kepala. Ikutkan hati, mahu sahaja saya kongsi semua apa yang saya rasa dengan anda semua; tapi apakan daya kita terikat dalam keterbatasan masa. Banyak perkara yang lebih penting daripada menulis di sini yang harus diselesaikan. Ya, entri terakhir yang saya catatkan di sini adalah pada 1 April yang lalu, dan kini 1 Mei pun hampir menjelma. Sedar tidak sedar, sebulan sudah berlalu tanpa sebarang catatan apa-apa di sini, berkongsi segala apa yang saya rasa, yang saya nikmati dan saya tempuhi di padang hidup- menjejak makna dewasa.

Tajuk entri kali ini bikin kontroversi kah? Haha. Bukan apa, bulan Mac yang lalu saya telah berkonvoi ke Teluk Senangin- mengikuti program Unit Kediaman Luar Kampus (UKLK). Bukan apa, cuma menyokong program kawan-kawan. Maklumlah, pengarah programnya (Program Konvoi Bitara ke Teluk Senangin) teman spraktikal saya nanti, Ansarullah namanya. Mahu berkenalan? Apa salahnya, mahu kenal. Seronok! Pengalaman baru telah saya tempuh dan pastinya dapat ramai kenalan baru; terima kasih   untuk perkenalan ini. Oh ya, bukan juga ini yang mahu saya kongsi! Hehe (Foto 1: Bergambar sebelum memulakan konvoi.)

Ketika program, (Untuk pengetahuan pembaca, kami bukan sahaja berkonvoi, tetapi sampai di sana banyak aktiviti yang telah dilaksanakan; khidmat masyarakat, sukaneka, malam kebudayaan dan macam-macam lagi aktiviti yang sangat seronok. Rugi siapa tak pergi!) saya ada bertanya dengan seorang teman yang saya kenali ketika sama-sama bekerja dalam satu program semester lalu- ...... (sebut nama teman wanitanya) macam mana? Sihat ke? Lepas tu dia balas- aku dah tak ada apa-apa lah Mir. Dah lama putus dah. Pastinya saya terkejut! (Okey, sila bayangkan muka terkejut saya!) Haha. Muka teman saya itu pun berubah mendung; dah lama lah Mir. Dalam 2 bulan jugak kami putus. Ohhhh... Itu sahaja yang saya mampu kata. (Foto 2: Bersama tuan pengarah, Ansarullah.)

Tidak lama lepas itu, ada sahaja cerita-cerita yang saya terima; budak ni dah putus dengan budak tu. Mamat ni dah ada perempuan lain, Minah tu dah putus dengan Mamat ni dan macam-macam lagilah kisah yang saya dengar. Terkejut pun ada juga. Bukan apa, saya fikir bila dah masuk alam universiti dan dunia awal dewasa ini, sudah tidak ada lagi kisah-kisah cinta monyet. Yelah, sepatutnya bila kita berkawan rapat dengan seseorang pastinya kita (lelaki) perlu berniat untuk menikahinya. Tapi betul juga, dah jodoh tak panjang- siapa kita nak menghukum. Jodoh itukan rahsia Allah. Hanya Dia yang tahu, siapa pasangan kita.

Apa yang perlu kita tahu dan sedar, kita hanya manusia. Sebijak mana pun kita merancang, perancangan Allah tetap yang terbaik dan paling hebat. Rancanglah baik macam mana sekalipun, tapi kalau Allah tak redha- pasti rancangan kita itu takkan ke mana. Dalam perhubungan, bercintalah hebat macam mana sekali pun; lautan luas sanggup kurenangi, tapi kalau dah memang bukan jodoh memang tak ke manalah hubungan kita tu. Buat teman-teman lelaki saya, sabarlah. Mungkin Tuhan sekarang sedang menguji; yang pasti ada yang lebih baik menanti. 

Foto 3: Bergambar kenangan bersama-sama peserta konvoi ke Teluk Senangin. Chilled! 

Ada lagi ke yang baru putus cinta? Oh ya, belum terlambat untuk saya ucapkan selamat datang ke Kelab Lelaki Solo! Hehe ;)

Sunday, April 01, 2012

Dikepung Rasa Bahagia

Terima kasih yang tidak terhingga buat semua pembaca setia Menjejak Dewasa. Saya dimaklumkan bukan sahaja teman-teman sepengajian yang mengikuti penulisan saya, malah ada abang kakak dan juga mak cik pak cik yang sering mengikuti penulisan saya di laman Menjejak Dewasa ini. Terima kasih daun keladi! Untuk mereka yang kurang gemar tidak apa, Menjejak Dewasa hanyalah tempat untuk berkongsi segala apa yang saya rasa. Semua yang berlaku di sekitar saya sepanjang umur saya bermesra dengan kehidupan, tidak kira pahit, manis, kelat dan macam-macam perkara. Mungkin ada segelintir pembaca yang tidak suka, tidak mengapa. Moga-moga anda yang setia mengikuti tulisan saya akan beroleh manfaat dengan apa yang dikongsi. Moga-moga!

Baru-baru ini saya pulang ke kampung. Saya rasa bahagia, benar-benar bahagia! Di usia begini, keluarga sangat bermakna dalam hidup saya. Alhamdulillah, syukur sangat apabila dikelilingi mereka yang sering menyokong dan selalu ada saat saya jatuh dan buntu tentang hidup. Bukannya saya tidak pernah berjumpa dengan kegagalan. Pernah! Tapi perlahan-lahan saya bangun semula dengan semangat mereka di sekeliling yang saya sayang. Pastinya saya tidak mahu hampakan mereka, moga-moga ada rasa bangga yang bertamu saat saya sudah berjaya nanti. InsyaAllah!

Cuti hujung minggu baru-baru ini saya singgah ke rumah nenek. Alhamdulillah kedua-dua nenda saya masih dipanjangkan umur lagi (nenek sebalah bonda dan sebelah abah), moga-moga mereka dapat melihat kejayaan saya. Tuhan, kabulkan doa hamba kerdil-Mu ini! Bersama-sama dengan mak cik dan pak cik, kami bergotong royong membersihkan bilik nenek. Allah, sudah lama saya tidak begitu. Dahulu, ketika kecil saya sering membantu nenek menyapu halaman rumah, membersihkan kawasan kebun di belakang rumah dan macam-macam lagi yang saya buat. Sekarang saya lihat adik sepupu yang kecil-kecil sudah tidak merasai apa yang pernah saya rasai satu ketika dahulu. Oh, rugilah mereka tak dapat merasai pengalaman sebegini!

Saya rasa seronok apabila berkumpul begitu. Terlalu sempurna rasanya hidup saya kerana dikelilingi mereka yang menyayangi. Apabila sudah berkumpul bersama, pastinya macam-macam cerita yang akan kami kongsi. Alhamdulillah juga, saya dimesrai dengan mereka yang berjaya. Ya, saya kagum dengan pak cik mak cik saya- berjaya dalam kerjaya. Mungkin benarlah kata orang, kita akan rasa bahagia apabila kita berlapang dada memaafkan semua orang. Ya, walaupun tanpa sedar ada kesalahan yang  kita lakukan atau kesalahan yang orang lain lakukan kepada kita, sengaja atau tanpa sengaja janganlah terasa berat untuk memohon maaf. Kemaafan itu adalah dendam yang terindah!Apalah makna hidup yang hanya seketika cuma ini andai kita keruhkan dengan lumpur benci dan iri hati.

Alhamdulillah, saya benar-benar bahagia. Rasa pahit sudah mula berubah menjadi manis. mesra dan erat mulai terasa. Syukur, Tuhan akrabkan hubungan kekeluargaan ini. Tuhan memang mendengar suara hati saya, dan kini hati kecil saya berbunga-bunga ceria kerana dikepung rasa bahagia! Syukur.


Thursday, March 29, 2012

Bukan Terakhir Kali


BUKAN TERAKHIR KALI
(Istimewa buat anak didikku) 

Kerana Tuhan
kita bertemu
biar sementara cuma,
untuk kaukenal
makna hidup dan dewasa.

Walau tiada lagi
aku di sisi,
teruskan langkahmu
menjejak pelangi impi
petiklah sebanyak bintang
untuk kauwarnai
sepanjang jalan hidupmu

dan doa kudus yang kukirim
ke anjung Tuhan
bukan terakhir kali
untuk kau menjadi
manusia berbudi
berbakti setulus hati.

-Tunas Cipta, Disember 2011


Angin malam, bawalah getar rinduku ini. Moga kalian semua berjaya menjadi manusia! ^^

Cerita Adik-beradik

Bagi mereka yang tidak mengenali saya dengan rapat, pasti akan ingat yang saya ini anak bongsu atau anak tunggal. Tak tahulah sebab apa, tapi ada orang kata saya nampak macam anak bongsu sebab agak 'manja' dan selalu ceria. Oh, anak bongsu memang semuanya manja ke? Haha

Disebabkan pagi ini Hot Chat di radio Hot FM berkongsi cerita tentang adik beradik, maka saya pun mahu berkongsi kisah juga. Oh, ya sebenarnya saya anak sulung dalam keluarga dan cuma ada tiga orang adik beradik yang kesemuanya lelaki. Alhamdulillah, dua orang adik saya pun sudah menamatkan zaman sekolah. Itulah yang mereka suka (malas sekolah)!

Bercerita tentang adik- mereka sudah pun bekerja. Belum mahu sambung belajar lagi. Tak apalah, mungkin belum tiba masanya. Baru-baru ini saya pulang ke kampung, entah kenapa dalam perjalanan pulang ke Tanjong Malim saya rasa sebak. Rasa macam cepat benar masa berlalu, adik-adik pun sudah membesar. Sempat juga  kami berkumpul dan berborak bersama bonda sekali. Saya pesan kepada adik-adik, kalau nak belajar belum terlambat lagi. Menuntut ilmu tak pernah ada perkataan terlewat. Biasalah, ada juga jenis manusia yang memang agak lambat. Saya katakan juga yang saya dahulu pun antara manusia yang terlambat. Cerita zaman SPM sudah berlalu, biarlah. Sekarang terus pandang ke hadapan.

Ketika zaman kanak-kanak dahulu, kami sering bergaduh. Ada sahaja perkara yang tidak puas hati dan pastinya perang zaman kanak-kanak akan bermula! Haha. Yang paling saya ingat sampai sekarang apabila saya tolak adik kedua yang sedang menunggang basikal. Ish, kejam! Haha. Pernah juga dia buang seliper saya ke dalam longkang depan rumah dan apabila bergaduh kami akan menggunakan penyangkut baju (hanger). Ish, bila ingat semula kelakar sangat sebab tindakan itu berlaku sebab rasa geram menguasai diri. Betapa kurangnya rasa sabar satu ketika dahulu. Betullah kata orang, pengalaman mengajar kedewasaan. Alhamdulillah, tahap marah saya sudah boleh dikawal sekarang.

Apapun, saya sangat bahagia dengan kasih sayang yang menguntum ini. Bagi saya hubungan adik beradik tidak mampu ditukar ganti, sesuatu yang istimewa. Walau apapun yang terjadi, ingatlah kita pernah menghuni rahim yang sama dan berkongsi seorang ibu yang gigih membesarkan. Selalu saya berpesan, kalau kerja buat kerja sungguh-sungguh. Buat habis baik dalam semua benda. Yang paling penting, jadi 'manusia'! Moga-moga pesanan saya akan terus segar dalam ingatan mereka.

Monday, March 26, 2012

Broga yang Bermakna

Sudah lama juga saya tidak bergelumang dengan aktiviti yang mencabar fizikal dan minda. Kali terakhir seingatnya ketika tingkatan lima dahulu, saya mencabar diri untuk mengikut ekspidisi perkhemahan dan kembara remaja ke Gunung Ledang. Seronok, saya dapat pengalaman baru dan dapat kenal kawan-kawan baru. Kalau ada rezeki lagi, insyaAllah saya akan ikuti lagi kembara ke Gunung Ledang. Mana tahu ada rezeki satu hari nanti untuk mendaki Gunung Kinabalu pula! 

Baru-baru ini tanpa dirancang, saya menjejak Bukit Broga di Semenyih. Ditemani adik-adik yang sememangnya gila~ Azam, CSI, Ting dan Allan membuatkan perjalanan kami

-Berada di puncak Gunung Ledang
 beberapa tahun yang lalu.

dipenuhi gelak tawa. Oh ya, untuk penunjuk arah jalan ke Bukit Broga Arill Luvva, terima kasih banyak-banyak! Sanggup dia bangun jam 5 pagi semata-mata untuk menemani kami hingga ke kaki bukit. Matlamat utama kami adalah untuk menikmati cahaya matahari yang terbit dari puncak gunung. Allah, terasa nikmatnya ciptaan Dia yang Maha Indah!


Dalam kelam zulmat awal subuh itu, macam-macam perkara yang bergentayangan di ruang fikir. Yang paling terkesan sekali hingga menggerakkan saya untuk menulis, berkongsi rasa dengan pembaca semua adalah hidup yang kita lalui. Memanjat Bukit Broga samalah sahaja dengan kehidupan yang kita lalui ini. Mengapa saya katakan begitu? Seketika, cuba kita renungkan analogi ini;

Semasa memanjat, kita akan bersama-sama dengan ramai orang. Tujuannya adalah untuk berada di puncak Bukit Broga. Berada di puncak itu bolehlah dianalogikan dengan kejayaan dalam kehidupan. Ya, pastinya semua manusia berimpian begitu; berjaya dalam hidup. Untuk sampai ke puncak jaya, pastinya banyak perkara yang akan kita tempuh, samalah keadaannya dengan bukit yang didaki. Dalam perjalanan, banyak perkara yang akan dilalui. Itu semua cabaran dalam pendakian. Bagi yang tidak kuat dan tidak larat, ada juga yang berpatah balik. Ada juga yang terjatuh ketika pendakian, tersadung akar pokok yang menjalar menghalang laluan. Begitulah juga kehidupan yang kita lalui, ujian dan cabaran itu pasti. Bukan mudah untuk sampai ke puncak jaya; ada antara kita yang mudah mengalah. Ada juga yang kuat semangat, menyokong sahabat sehinggalah sama-sama berjaya ke puncak jaya. Jangan dilupa, ada juga segolongan manusia yang sering menjatuhkan. Mereka yang tidak boleh melihat orang lain senang dan selalu gembira ketika kita berada di bawah, itu realiti dalam kehidupan. Orang baik dan orang jahat ada di mana-mana!

Begitulah yang saya rasa ketika memanjat Bukit Broga baru-baru ini. Sungguh, pengalaman kali ini sungguh indah dan bermakna! Moga-moga hidup yang kita lalui ini bertambah baik dan memberi kekuatan untuk kita  terus mencorak diri menjadi insan hebat di dunia dan akhirat!


 -Bersama adinda Azam dan Ting. Moga ukhuwah membunga segar dalam ingatan!

Wednesday, March 21, 2012

Bakal Guru Sejarah

Assalamualaikum warahmatullah dan salam sejahtera semua.

Ketika mula-mula menjejakkan kaki ke ranah keramat, UPSI ini- 4 tahun pengajian terasa seperti satu jangka masa yang lama untuk dilalui. Sedar tidak sedar, rupanya 3 tahun pengajian telah ditempuh dengan aneka macam rasa yang terhimpun dalam sanubari. Macam-macam manusia yang saya temui, ramai orang baik yang saya kenal, orang jahat apatah lagi. Rupanya inilah hidup!

Beberapa bulan sahaja lagi, saya dan teman-teman sekohort bakal berpraktikum, menjalani latihan mengajar sebagai persediaan menjadi seorang guru setelah tamat pengajian nanti. Jika sebelum ini, hanya mendengar cerita abang-abang dan kakak-kakak tentang kisah praktikum mereka, tidak lama lagi saya sendiri akan melalui saat itu. Macam-macam perkara yang melintasi ruang fikir; Allah mudahkan segala urusan!

InsyaAllah, saya akan menjalani latihan mengajar di Seremban dan bakal menjadi seorang guru sejarah. Tidak ramai pun yang tahu saya mengambil jurusan pendidikan sejarah. Ramai yang menyangka saya merupakan pelajar bahasa Melayu; mungkin disebabkan kecenderungan saya dalam bidang pengacaraan dan debat bahasa Melayu. Jadi, ramai yang tersalah sangka- ingatkan saya bakal guru bahasa Melayu.

Hakikatnya, saya bakal guru sejarah yang mengambil kesusasteraan Melayu sebagai subjek minor. Bila sebut sejarah, macam-macam reaksi orang. Ada yang kagum- Wow, gempaknya ambil sejarah. Suka menghafal ke? Ada juga yang.....- Eeee, aku dulu tak minat sejarah. Bila cikgu mengajar mesti tidur! Biasalah, penerimaan setiap manusia dalam sesuatu perkara berbeza, sebab itulah Allah ciptakan manusia berbeza-beza kerana kita ini makhluk yang unik!

Mungkin kita tidak sedar, sejarah juga yang mendewasakan kita sebenarnya. Tanpa sejarah, siapalah kita? Ingat, mereka yang melupakan sejarah pasti akan mengulanginya. Saya bukanlah seorang yang sangat hebat dalam bidang sejarah tetapi saya rasa amat seronok apabila dapat belajar sejarah. Terasa amat bangga apabila dapat belajar dengan orang-orang yang hebat; moga-moga saya juga akan menjadi seperti mereka suatu hari nanti!

Pesan pensyarah beberapa tahun dulu akan saya ingat sampai bila-bila, guru sejarah yang hebat ialah guru yang dapat memberi inspirasi kepada para pelajarnya. Moga-moga saya mampu menjadi seperti itu, guru yang dapat menginspirasikan insan lain. Ramai yang ingat tugas guru mudah, tapi ramai juga sebenarnya yang tidak tahu andai pelajar itu baik mahupun nakal, guru itu tetap ada sahamnya! Allah, limpahkan rahmat dan redha kepada semua guru-guruku. Moga sinar kebahagiaan sentiasa menerangi ruang hidup mereka!

Saturday, March 17, 2012

Rasa, Terasa dan Perasaan

Assalamualaikum warahmatullah dan salam penuh kerinduan buat semua pembaca dan penyinggah setia Menjejak Dewasa. Moga semuanya sering dilimpahi rahmat dan redha Allah. Setelah sekian lama tidak menulis, cukuplah himpunan perasaan selama ini menjadi rasa yang bersatu dalam qalbu- pastinya pengalaman juga yang menjadi guru terbaik dalam hidup!

(i) RASA
Hidup ini hakikatnya terlalu singkat. Wajarkah kita rasai nikmat hidup dengan membiakkan benih kebencian? Benar, rasa itu anugerah. Aneka macam rasa yang dianugerahkan Tuhan itu sebenarnya turut mempengaruhi kedewasaan kita sebenarnya. Gembira, sedih, sayang, rindu, benci, meluat, geram dan macam-macam lagi rasa yang muncul secara tidak sedar telah mengindahkan hidup singkat yang kita lalui ini. Bayangkan, jika kita hanya hidup dengan satu rasa sahaja pastinya hidup ini terlalu hambar untuk dinikmati. Sebab itulah Tuhan turunkan ujian untuk menguji sejauhmana keimanan dan keyukuran hamba-Nya. Sabarkah kita berhadapan dengan ujian Tuhan atau berputus harap dengan Tuhan yang mendewasakan!

(ii) TERASA
Disebabkan kita membesar dalam persekitaran yang berbeza, pastinya juga kita akan dewasa sebagai manusia yang punya pelbagai perangai dan ragam. Sebagai manusia, pastinya kita punyai kelebihan dan potensi yang tersendiri. Perbezaan ini seharusnya digunakan dengan baik, terokai bakat, kelebihan dan inilah masa terbaik untuk kita menerobos potensi diri. Oleh sebab kita membesar dalam persekitaran yang berbeza, maka daripada pelbagai macam rasa itulah akan wujud pula keadaan terasa hati. Perasaan ini akan wujud apabila kita sukar untuk menerima kelebihan seseorang dan adakala disebabkan salah tafsir terhadap interpretasi sesuatu perkara. Itulah yang saya katakan sebentar tadi, perkara ini terjadi disebabkan persekitaran kita yang berbeza, ya jalan dewasa kita tidak sama!

-Jalan dewasa kita berbeza, tetapi tujuannya tetap sama.

(iii) PERASAAN
Walaupun jalan dewasa kita tidak sama, bukan bermakna kita tidak boleh berhadapan dengan kehidupan- yang pastinya banyak dugaan dan cabaran yang menanti. Malah, semakin dewasa kita semakin banyak perasaan yang perlu untuk dijaga sebenarnya. Himpunan rasa yang pelbagai tadi telah membibitkan sebuah perasaan yang adakala membuatkan kita terfikir- patutlah Tuhan tidak mengizinkan agar kita tahu tentang hari esok. Andai kita sudah tahu hari ini tentang hari esok, apalah maknanya kehidupan kerana rasa yang bertunas dalam perasaan telah bersedia untuk menghadapinya. Jika kita sudah tahu hari ini, esok malang akan menimpa- pastinya kita akan bermuram durja seolah-olah tidak mahu hidup lagi. Manusia, kekuatan kita hanya optima dan yang paling pasti hidup kita telah terlakar sejak dahulu lagi. Laluilah dengan gembira agar wangian kebahagiaan setia menemani jalan dewasa yang kita lalui ini!

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails