Friday, January 06, 2012

Keracunan

Assalamualaikum warahmatullah dan salam sejahtera.

Alhamdulillah, segala puji buat Allah dan hanya layak untuk-Nya.

Pertama kali dalam hidup saya Allah menguji dengan keracunan makanan. Selasa malam yang lalu saya makan seperti biasa cuma bezanya mungkin kuantitinya lebih sedikit. Kali pertama saya makan Nasi Goreng Thai dengan teman di kedai makan sekitar Tanjong Malim. Tidak lama lepas itu, saya dapat panggilan telefon daripada ahli keluarga kelab debat BM.

Walaupun perut sudah kenyang, saya makan juga demi menjaga hati (bajet baik!). Separuh nasi saya kongsikan dengan abang Abu Handalah. Akhirnya saya habiskan juga dengan usaha yang gigih sambil bergelak ketawa seperti biasa saat berjumpa ramai-ramai. Hahaha

Sampai di rumah, saya mula rasa perut semacam. Ish, nak buang air besar macam hidup segan mati tak mahu. Tak tahulah cik perut saya ini mahu apa. Hampir setengah jam juga saya mundar mandir sebab mata tak boleh tidur apabila perut tak selesa, saya termuntah di dalam tandas seorang diri. Teman serumah semuanya sudah di dalam bilik masing-masing. Mungkin ada yang sudah tidur dan mungkin juga ada yang mengulangkaji, maklumlah musim peperiksaan.

Saya minum air. Setengah jam lepas itu, saya muntah lagi. Saya betul-betul dah tak terdaya. Habis semua nasi yang dimakan sebentar tadi keluar. Saya sms abg Afiq tanya dia sudah tidur atau belum. Tiada respon. Saya telefon Khairel ketua blok dan Hazman NYDP kolej, tidak berjawab. Saya bersabar walaupun rasa macam dah habis tenaga. Saya cuba untuk tidur, dapatlah terlelap kejap. Tidak lama lepas itu, cepat-cepat saya ke tandas kerana rasa lain macam. Saya muntah lagi, kali ini keluar air pula. Teman di kolej Za'ba suruh saya telefon felo bertugas. Malangnya saya tidak tahu siapa felo bertugas dan tiada nombornya. Aduhai!

Beberapa minit berlalu, abg Afiq respon sms saya, beritahu belum tidur lagi. Jam waktu itu sudah 3 pagi dan kami keluar dari kolej menuju ke klinik kecemasan Tanjong Malim. Mujur pembantu perubatan itu kata saya stabil dan masih okey lagi. Katanya kalau teruk kena masuk air, tapi sejujurnya ketika itu saya memang sudah tidak larat. Selesai mendapat rawatan, kami terus pulang ke kolej dan membeli air 100 plus di 7 Eleven.

Pagi itu saya muntah lagi. Aduhai, tujuh kali sudah saya muntah. Saya benar-benar sudah tidak larat. Sampai saya beritahu teman sebilik, Zalie kalau abang pengsan bawa abang pergi hospital ya. Saya rasa macam dah tak ada air dah dalam badan. Tiap kali minum, keluar. Pertama kali saya rasa keadaan ini. Mujur peperiksaan akhir saya belum mula lagi. Doakan saya cepat sembuh dan dapat menjawab peperiksaan dengan cemerlang untuk kertas pertama bagi semester ini Sabtu ini. Abg Afiq, terima kasih banyak-banyak. Terima kasih juga buat teman-teman yang selalu ada di sisi saat saya susah dan senang. Sayang kalian kerana Allah!

Buat teman-teman seperjuangan, selamat maju jaya!

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails