Saturday, January 07, 2012

Meniti Pelangi Senja (i)

Malam dirasanya masih muda. Dia mahu keluar juga malam itu. Cabaran daripada kawan-kawannya harus disahut. Anak jantanlah kan! Akibat tiada duit, Alvin meminta daripada mamanya. Sedang mamanya khusyuk menonton Buletin Utama, Alvin merapati mamanya yang sedang berada di ruang menonton rumah teres dua tingkat itu.

“Ma, nak mintak tolong boleh?”

“Ha, kenapa pula ni?”

“Alvin nak RM70 lah malam ni.”

“Apa kena dengan kamu ni ha? Hari-hari asyik mintak duit saja. Suruh kerja tak hendak. Cuba lah beri kesenangan kat mama. Ni nak bagi orang susah pula.”

“Ma, Alvin bukan nak dengar bebelan mama. Kalau mama nak membebel lantaklah! Kalau tak nak bagi cakap. Kan senang! Alvin bukannya nak dengar mama membebel!”

Alvin terus menghayun langkah untuk meninggalkan mamanya. Langkah kakinya terus meluru ke muka pintu.

“ Alvin!”

Alvin berpaling. Langkahnya mati. Dia tidak terus melangkahkan kakinya tetapi terus berpusing ke belakang.

“Mama tak pernah ajar anak mama untuk jadi kurang ajar! Kamu dah besar untuk memilih jalan hidup kamu. Patutnya kamu ikut jalan yang beri kebahagiaan bukan kesengsaraan yang kamu pilih. Buat apa kamu nak juga berkawan dengan mat-mat motor tu? Buktikan pada mama budak-budak motor tu mampu menolong kamu ketika susah Alvin! Jangan jauh sangat terlajak!” Puan Rosalinda bersyarah panjang.

Alvin terus keluar dari rumah itu dan menghidupkan enjin motornya membelah kesejukan malam. Entah ke mana arah tuju pemanduannya tidak diketahui. Dibatalkan niatnya untuk bertemu rakan-rakan yang mengajaknya berlumba malam itu. Akal warasnya diterjah dengan bebelan mama. Dianalisisnya satu persatu. Jiwa remajanya terus memberontak.

‘Ah, persetankanlah!’

Di rumahnya, hajat Puan Rosalinda untuk menanda kertas Matematik pelajar-pelajarnya tidak kesampaian. Hatinya sebak dengan tingkah laku anaknya yang seorang itu. Entah ke mana hilangnya adab sopan yang dipupuk sejak kecil. Rasa malu semakin menebal dalam dirinya apabila memikirkan yang dia merupakan seorang guru.

Bagaimana mahu mendidik anak orang lain sedangkan anak sendiri tidak terdidik! Rasa sebak yang menggunung menyebabkan air mata wanitanya tertumpah jua. Cepat-cepat dia mengesat air matanya menyedari yang dia berada di ruang tamu rumah teres yang dibeli hasil kudratnya selepas ditinggalkan suami 15 tahun yang lalu. Mujur anak bongsunya mengulangkaji pelajaran di dalam bilik di tingkat atas.

Fikirannya serabut. Bagai mahu tercabut jiwanya mengenangkan hilangnya tatasusila yang diterapkan sejak Alvin kecil lagi. Dia begitu terkilan dengan apa yang berlaku. Naluri kewanitaanya begitu sebak. Dia terasa diejek-ejek tidak tahu menjaga anak!

‘Duhai hati, tenanglah engkau…’

Puan Rosalinda menyusun kembali kertas jawapan pelajar-pelajarnya ke dalam beg. Tidak ditanda satu pun kertas-kertas itu. Hatinya tidak tenteram. Dia menutup televisyen dan mengorak langkahnya ke bilik tidur. Untuk menenangkan jiwanya, dia membuka peti sejuk di dalam biliknya. Dicapainya tin minuman keras lalu diminumnya. Selepas setin ‘Black Label’ habis, diteguknya lagi entah berapa tin minuman langsung tidak menyedari hakikat yang kepalanya semakin berat.

* * *

Mak Jah tangkas menyusun lauk-pauk di atas meja. Setelah berpuas hati dengan hidangannya, dipanggil tuan rumahnya di tingkat atas untuk makan. Mula-mula kakinya melangkah ke pintu bilik majikannya. Diketuknya bertalu-talu.

“Puan, mari turun makan.”

“Mak jah makan lah dulu dengan Adriana tu. Saya tunggu Encik balik.” Puan Natasha menjawab dari dalam.

Mak jah berlalu ke bilik anak tunggal majikannya, Adriana. Diketuknya perlahan lalu terus dipulas tombol pintu itu.

“Yana, mari makan. Kita turun.”

“Erk… erk… erk… erk…” Adriana menjawab sambil memberi isyarat kepada Mak jah yang dia mahu menyiapkan kerja sekolahnya terlebih dahulu.

“Ehm, siapkanlah dulu, Mak Jah tunggu.”

Direnungnya ketekunan Adriana menyiapkan kerja sekolahnya. Wajah Adriana memang ayu. Saling tidak tumpah seperti papanya, Encik Danish. Di sebalik keayuan itu, terselit secebis kekurangan pada diri anak majikannya. Puteri tunggal majikannya seorang remaja bisu. Adriana yang dijaga Mak Jah sejak berumur dua tahun sudah dianggap bagai cucu sendiri.

“Erk erk… erk erk erk…” Adriana bersuara.

Mak Jah seakan memahami butir bicara Adriana.

“Dah siap? Turun makan?”

Adriana mengangguk. Ditutupnya kerja rumah yang telah diselesaikannya. Adriana membontoti langkah pembantu rumahnya yang telah 15 tahun bersama dengannya menempuh erti kedewasaan.

Mak Jah menyenduk nasi ke pinggan Adriana dan pinggannya. Sungguh berselera sekali Adriana makan masakan Mak Jah. Malam itu, Mak Jah masak gulai ayam masak lemak cili api, sayur kubis masak kicap dan ikan keli goreng berlada. Sepinggan buah tembikai dijadikan pencuci mulut.

“Yana, perlahan-lahan makan, nanti tercekik.”

Ketika Adriana dan Mak Jah sedang menikmati pencuci mulut, terdengar kereta pacuan empat roda memasuki halaman rumah. Mak Jah segera bangun untuk menjemput kepulangan majikannya. Mak Jah terkejut ketika membuka pintu rumah itu apabila Encik Danish memapah seorang remaja lelaki yang luka di tangan dan tidak berdaya berjalan sehingga Encik Danish yang membantu lelaki itu berjalan.

“Apa yang berlaku encik?”

“Saya ternampak dia di tepi jirat cina. Kemalangan rasanya. Saya mahu tukar baju dahulu. Kejap lagi Mak Jah ikut saya ke klinik boleh?”

“Baiklah. Encik pergi tukar baju dulu. saya cuba sapukan ubat mana yang patut.”

Encik Danish memapah remaja lelaki itu ke ruang tamu banglo dua tingkat kepunyaannya.

Adriana yang menyedari kekecohan yang berlaku mengemas meja makan dan meluru ke ruang tamu mendapatkan Mak Jahnya.

“Erk… erk erk erk erk erk?” Adriana menunjuk lelaki itu.

“Mak Jah tak tahu. Papa kamu kata dia kemalangan. Yana, siapkan buku-buku untuk sekolah esok. Tidur awal ya. Mak Jah nak temankan papa kamu ke klinik.”

Adriana mengangguk tanda mengerti. Dia melangkahkan kakinya ke tingkat atas menuruti perintah Mak Jah.

Selesai bersiap, Encik Danish turun ke bawah. Mak Jah membantu Encik Danish memapah lelaki itu masuk ke dalam kereta. Encik Danish terus memulakan pemanduannya membelah keheningan malam ke klinik rakannya, Klinik Anjung Karisma.

Ketika dalam perjalanan, Encik Danish memecah kesunyian malam berkenalan dengan lelaki yang nampak sebaya dengan anaknya itu.

“Nama kamu siapa?”

“Alvin.” Sepatah dia menjawab.

“Apa yang telah terjadi sebenarnya?”

“Saya kemalangan tadi. Pemandu itu langgar lari. Tak sempat nak buat apa-apa. Mujur encik tolong.”

Mak Jah beristighfar di dalam hati. Masih ada juga orang yang tidak berperikemanusiaan seperti itu. Bukannya mahu menolong hantar ke klinik untuk dirawat, sudah langgar, lari pula.

Sampai di Klinik Anjung Karisma, Mak Jah membantu Encik Danish memapah Alvin masuk ke dalam klinik untuk mendaftar dan mendapatkan rawatan. Selepas nama Alvin dipanggil, mereka bertiga melangkahkan kaki masuk ke dalam bilik yang tertera nama Dr. Syahmi Faris.

Dr. Syahmi Faris merupakan kawan Encik Danish ketika di universiti dahulu. Walaupun berbeza bidang, mereka tetap berkawan baik sehingga hari ini. Alvin dibawa ke tempat pesakit untuk mendapatkan rawatan daripada doktor muda itu. Encik Danish dan Mak Jah mengambil tempat di kerusi tetamu, diam membisu.

Selesai menjalankan rawatan kepada Alvin , Dr. Syahmi Faris memapah Alvin dan membawa remaja lelaki itu duduk di kerusi tetamu yang kosong bersebelahan dengan Mak Jah.

“Siapa budak tu Danish?”

“Aku jumpa dia di tepi jirat cina sebelum ke rumah aku tu. Budak tu okey?”

“Susahnya nak jumpa orang berhati mulia macam kau ni Danish. Perangai kau memang tak berubah sejak universiti dulu kan . Suka sangat tolong orang. Alvin tiada masalah. Cuma luka kecil sahaja di siku, pergelangan tangan dan kakinya. Aku dah sapukan ubat pada lukanya. Jadi, aku bagi ubat cuci luka dan ubat tahan sakit sahaja. Cuci dua kali tau. Pagi dan malam.”

“Kau ni Mi, dah tanggungjawab kita membantu orang lain kan . Ada apa-apa lagi ke? Kalau tak, aku nak beransur dulu.”

“Ehm.. How’s your life?” Dr Syahmi bertanya sambil menatap sepasang mata cantik kawan baiknya.

“Setakat ni okey sahaja. Tiada masalah yang berlaku. Apasal pulak kau tanya aku? Kau tu sampai bila nak membujang?”

“Ehm.. kalau ada masa nanti aku kenalkan kat kau ‘yang teristimewa’ tu. Kau pun sekarang ni busy je kan.”

“Aku busy ke kau yang busy?”

“Sama-sama busy!”

“Ehm, okeylah Mi, aku gerak dulu. Thanks a lot ya.”

Mak Jah dan Encik Danish memapah Alvin untuk ke farmasi mengambil ubat. Dr Syahmi Faris turut mengekori mereka bertiga. Selepas Encik Danish membunyikan hon dan Dr Syahmi Faris melambai tangan, bayangan kereta Encik Danish hilang membelah kepekatan malam.

“Boleh awak bermalam di rumah saya malam ni?”

“Tak menyusahkan encik ke?”

“Kalau awak sudi apa salahnya.”

“Ehm, boleh juga.”

Sampai di banglo milik Encik Danish, Alvin dibawa ke bilik tetamu di tingkat bawah. Mak Jah menemani Alvin hingga ke dalam bilik tetamu itu. Encik Danish mengorak langkah ke tingkat atas selepas membantu memapah Alvin hingga ke dalam bilik tetamu. Esok dia harus bekerja lagi.

“ Alvin okey?”

“Hm, setakat ni tak ada apa-apa masalah. Kalau ada apa-apa hal nanti saya panggil mak cik.”

“Panggil saya Mak Jah.”

“Hm, Mak Jah.”

“Esok Alvin bangun solat Subuh?”

“Saya tak solat Subuh Mak Jah.”

Mak Jah beristighfar di dalam hati. Takkan dah besar macam ni pun tak mahu solat subuh?

“Sebagai oran g Islam, kita wajib menunaikan solat. Kenapa Alvin tak solat?”

“Saya beragama kristian lah Mak Jah.”

“Ha, kamu kristian?”

Alvin menganggukkan kepalanya.

“Mak Jah tengok muka saya macam orang melayu ke?”

Mak Jah pula menganggukkan kepalanya.

“Hm, Mak Jah minta maaf. Kamu tidur dulu. Pagi esok Mak Jah kejutkan kamu.”

* * *

Bersambung...


No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails