Wednesday, January 25, 2012

Fikir-fikir!

Cuti kali ini mungkin benar-benar saya rasa makna bercuti kerana dapatlah saya lari untuk seketika daripada masalah yang sering melingkar gapura fikir. Masalah, sentiasa ada dalam hidup. Biasalah, kita kan manusia biasa. Kalau dah namanya pelajar, ada sajalah masalah yang mengunjung tiba, itu biasa. Oh, tak mahu melalut sampai tak tertutup mulut!

Untuk cuti kali ini, saya sebolehnya menolak andai ada tawaran untuk saya berkhidmat dan berbakti. Bukan berlagak 'senior' atau 'demand' tak tentu hala, cuma buat masa ini saya benar-benar mahu merasa nikmat cuti semester! Aha. Kalau cuti semester masa muda-muda dulu (macam sekarang sudah tua!), pantang ada program mesti saya mahu ikut serta. Bukan apa, sekadar mahu menambah ilmu dan pengalaman buat bekalan agar menjadi guru yang berjaya. Guru, bukan hanya cikgu yang menulis di papan tulis dan merotan murid di dalam kelas tapi guru itu luas definisi konsepnya.

Cuti kali ini sebenarnya membuatkan saya berfikir tentang banyak perkara. Ya, saya bersyukur dengan nikmat cuti ini. Jika saya tidak bercuti saat ini, entah bila saya akan berfikir apa yang tengah saya fikirkan ini. Oh, fikir-fikir!

Cuti ini sebenarnya saya sudah mula terfikir-fikir tentang tajuk kajian ilmiah saya yang perlu dibentang semester hadapan. Maka, perlulah untuk saya fikirkan tajuknya, sumber dan bahan untuk kajian agar memudahkan penulisan tesis untuk semester akhir nanti. Pertengahan tahun ini pula, saya akan memulakan praktikum. Jadinya, cuti ini saya sudah mula terfikir sekolah untuk saya jadikan eksperimen pertama saya untuk menjadi bakal guru. Ah, debaran mula terasa! Saya terfikir juga bagaimana cara untuk menarik perhatian pelajar agar terjatuh cinta dengan kelas saya nanti, dan jatuh cinta dengan subjek sejarah!


Dan saat ini saya sudah terfikir tentang masa akan datang. Selepas habis belajar, apa yang saya akan buat dan siapakah saya nanti. Ah, benar-benar menjejak dewasa! Banyak perkara yang membuatkan saya terfikir-fikir dan barulah saya mula faham inilah rupanya hidup; tidak semuanya mesti bahagia. Jatuh bangun itu lumrah, yang menjadi garis penilai iman- bersyukur atau tidak, ikhlas atau hanya berharap. Hanya kita yang tahu jawapan.


Berfikir sesaat lebih baik daripada beribadah beribu-ribu tahun. Moga rahmat dan redha Allah sentiasa melimpahi ruang hidup kita semua. Senyum selalu! =)


No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails