Sunday, April 01, 2012

Dikepung Rasa Bahagia

Terima kasih yang tidak terhingga buat semua pembaca setia Menjejak Dewasa. Saya dimaklumkan bukan sahaja teman-teman sepengajian yang mengikuti penulisan saya, malah ada abang kakak dan juga mak cik pak cik yang sering mengikuti penulisan saya di laman Menjejak Dewasa ini. Terima kasih daun keladi! Untuk mereka yang kurang gemar tidak apa, Menjejak Dewasa hanyalah tempat untuk berkongsi segala apa yang saya rasa. Semua yang berlaku di sekitar saya sepanjang umur saya bermesra dengan kehidupan, tidak kira pahit, manis, kelat dan macam-macam perkara. Mungkin ada segelintir pembaca yang tidak suka, tidak mengapa. Moga-moga anda yang setia mengikuti tulisan saya akan beroleh manfaat dengan apa yang dikongsi. Moga-moga!

Baru-baru ini saya pulang ke kampung. Saya rasa bahagia, benar-benar bahagia! Di usia begini, keluarga sangat bermakna dalam hidup saya. Alhamdulillah, syukur sangat apabila dikelilingi mereka yang sering menyokong dan selalu ada saat saya jatuh dan buntu tentang hidup. Bukannya saya tidak pernah berjumpa dengan kegagalan. Pernah! Tapi perlahan-lahan saya bangun semula dengan semangat mereka di sekeliling yang saya sayang. Pastinya saya tidak mahu hampakan mereka, moga-moga ada rasa bangga yang bertamu saat saya sudah berjaya nanti. InsyaAllah!

Cuti hujung minggu baru-baru ini saya singgah ke rumah nenek. Alhamdulillah kedua-dua nenda saya masih dipanjangkan umur lagi (nenek sebalah bonda dan sebelah abah), moga-moga mereka dapat melihat kejayaan saya. Tuhan, kabulkan doa hamba kerdil-Mu ini! Bersama-sama dengan mak cik dan pak cik, kami bergotong royong membersihkan bilik nenek. Allah, sudah lama saya tidak begitu. Dahulu, ketika kecil saya sering membantu nenek menyapu halaman rumah, membersihkan kawasan kebun di belakang rumah dan macam-macam lagi yang saya buat. Sekarang saya lihat adik sepupu yang kecil-kecil sudah tidak merasai apa yang pernah saya rasai satu ketika dahulu. Oh, rugilah mereka tak dapat merasai pengalaman sebegini!

Saya rasa seronok apabila berkumpul begitu. Terlalu sempurna rasanya hidup saya kerana dikelilingi mereka yang menyayangi. Apabila sudah berkumpul bersama, pastinya macam-macam cerita yang akan kami kongsi. Alhamdulillah juga, saya dimesrai dengan mereka yang berjaya. Ya, saya kagum dengan pak cik mak cik saya- berjaya dalam kerjaya. Mungkin benarlah kata orang, kita akan rasa bahagia apabila kita berlapang dada memaafkan semua orang. Ya, walaupun tanpa sedar ada kesalahan yang  kita lakukan atau kesalahan yang orang lain lakukan kepada kita, sengaja atau tanpa sengaja janganlah terasa berat untuk memohon maaf. Kemaafan itu adalah dendam yang terindah!Apalah makna hidup yang hanya seketika cuma ini andai kita keruhkan dengan lumpur benci dan iri hati.

Alhamdulillah, saya benar-benar bahagia. Rasa pahit sudah mula berubah menjadi manis. mesra dan erat mulai terasa. Syukur, Tuhan akrabkan hubungan kekeluargaan ini. Tuhan memang mendengar suara hati saya, dan kini hati kecil saya berbunga-bunga ceria kerana dikepung rasa bahagia! Syukur.


8 comments:

  1. Kecik-kecik bersihkan laman
    Besar-besar semakkan laman

    ReplyDelete
  2. Cantik bunga orkid..teruskn menulis abg amir..^^

    ReplyDelete
  3. cantik bahasa blog ni... Jarang dapat baca entry, bahasa cantik macam bunga orkit tu....

    Moga berjaya bro... Masih ingat saya?

    Manan Qayyim,
    Ampang

    ReplyDelete
    Replies
    1. -Terima kasih untuk pujian. Moga seronok membaca cerita di sini.

      Mestilah ingat, Manan. Junior debat yang hebat! Sekarang apa cerita? =)

      Delete
  4. Ismi Noraini Ahmad, Haha. Siapalah agaknya tu ya! :P

    ReplyDelete
  5. terasa sangat beruntung dapat berkunjung siap bermalam lagi dirumah abg amir....hehehehhee

    ReplyDelete
  6. Salam. Terima kasih sebab sudi follow blog aku. Dengan senang hati juga telah
    follow blog anda. Sebenarnya nak pelawa anda sertai NEXT TOP BLOGGER untuk
    musim ke 2. Musim 1 dah habis. Boleh tengok kat blog dalam segmen NEXT TOP
    BLOGGER. Harap sudilah turut serta. Kalau sudi nak jadi peserta - maklumkan
    saja di ruang komen entri anda di sini (aku akan tengok balik) atau komen saja
    di blog. Jika kurang berminat dan tidak mahu menyertainya pun tidak mengapa.
    Maklumkan saja macam tadi jugak ATAU jika mesej ini tidak dibalas oleh anda
    sebelum 23/4/12 maka aku anggap anda tidak mahu menyertainya. Apapun terima
    kasih kerana sudi habiskan baca mesej ini.http://awieomar.blogspot.com/

    ReplyDelete

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails