Saturday, December 10, 2011

Tugas Editor.

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Selamat berhujung minggu buat semua pembaca. Hari ini hari Sabtu, genap seminggu sepupu saya kembali ke rahmatullah. Al-Fatihah.

Syukur, punya sedikit kelapangan waktu ini. Bukan selalu dapat rehat pada hari-hari cuti begini. Teman sebilik tiada, pergi camping Kelana Siswa (Sunyi- sebab selalu perang mulut dengan dia).

Mahu tulis tentang apa ya? Hurm, sudah tiada fokus. Oh ya, tiba-tiba teringat tentang Antologi Puisi yang akan diterbitkan nanti. Untuk kelas Puisi Melayu, saya telah diamanahkan oleh Dato' Paduka Dr. Rosli untuk mengumpulkan puisi rakan sekelas untuk dibukukan bagi melengkapkan kursus 3 jam kredit semester ini. Awalnya, itu cuma cadangan saya (untuk membukukan antologi puisi) dan alhamdulillah, dato' bersetuju untuk bekerjasama merealisasikan cadangan itu. Moga-moga dimudahkan urusan selepas ini.

Baru saya tahu, bukan mudah rupanya mahu menyelenggarakan antologi ini. Dulu, saya tak tahu juga beza antologi dan kumpulan. Ketika di MPR, barulah saya maklum bahawa antologi itu adalah kumpulan karya yang dihasilkan oleh pengarang yang berlainan. Biasanya kita dengar atau lihat buku antologi puisi atau kumpulan puisi kan, jadi kalau kumpulan puisi itu pula maknanya adalah kumpulan karya yang ditulis oleh seorang pengarang sahaja. Contohnya, Kumpulan Puisi Merindu Alam yang ditulis oleh Ihsan Noorzali dan Antologi Puisi Dalam Redup Wajah Ibu yang diselenggarakan oleh A. Halim Ali (pernah baca?)

Apabila diberi tugas mengumpul puisi rakan-rakan, barulah saya tahu bagaimana peritnya jadi editor. Terima kasih buat seorang teman saya yang membantu saya menyunting karya rakan-rakan sekelas. Sememangnya editor memang akan berhadapan dengan tekanan yang tersendiri yang seharusnya difahami oleh penulis (barulah saya faham). Biasanya jika penulis menghantar sesuatu karya, pasti penulis itu akan ternanti-nanti karyanya tersiar hingga ada yang sering telefon editor bertanyakan bila karyanya akan tersiar (Ini bukan adab yang baik).

Setakat ini, saya ada menulis untuk siaran majalah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) seperti Dewan Siswa, Tunas Cipta dan Pelita Bahasa. Saya sering dipesan oleh mentor saya supaya menghormati tugas editor. Kerja kita hanya menulis. Tersiar atau tidak bergantung kepada editor, itu tugas dan hak mereka. Tersiar atau tidak juga bergantung kepada mutu penulisan kita sebenarnya. Jika kita tulis sampah, takkanlah editor mahu siarkan- fikir-fikirkan. Jadi, jika mahu jadi penulis yang baik, fahamilah etika penulis. Saya pun bukan mahir benar, tapi setakat mana yang saya boleh kongsi, saya kongsikan.

-Menulis itu terapi jiwa

Setakat ini, ada beberapa penulis muda yang saya temui karyanya dalam majalah terbitan DBP. Sejujurnya saya sedih juga, UPSI dahulu ketika zaman SITC, MPSI dan IPSI telah melahirkan ramai penulis terkemuka tapi sekarang sudah semakin berkurang lebih-lebih lagi dalam kalangan penulis muda. Jujur, saya sangat bangga apabila dapat menuntut ilmu di tempat lahirnya orang-orang hebat seperti Za'ba, Dato' Kemala, Ali Majod dan ramai lagi tokoh-tokoh hebat.

Jika anda minat menulis, terus menulis. Jangan pendamkan bakat kerana hanya diri kita yang mampu menerobos potensi diri. Sudah lama saya tidak menulis sebenarnya, sudah tumpul idea!
Patutlah, mereka yang sudah sebati dengan dunia penulisan sering nasihat, jangan berhenti menulis, teruskan. Sudah berapa minggu saya tidak menulis, hingga sampai satu ketika saya duduk berseorangan (konon untuk siapkan satu puisi) namun tidak berjaya! Ilham tidak turun dari langit. Saat itu, saya sudah kehilangan diksi-diksi indah. Itulah penangan kerana sudah lama tidak menulis. Padan muka!

Apapun, buat pembaca yang minat dan punya keinginan untuk menulis (puisi, cerpen, pantun, novel, artikel atau sebarang bentuk penulisan) teruslah menulis. Jika ada idea, rangka baik-baik dan terjemahkan ilham dalam bentuk tulisan yang baik yang akhirnya apabila dibaca oleh pembaca, akan meninggalkan kesan yang bermakna. Sebolehnya, saya akan berusaha membantu sekiranya anda mahukan pertolongan. Tidak tahu menghantar karya di mana dan bagaimana? Saya boleh bantu setakat yang mampu. Sama-samalah kita martabatkan persuratan Melayu yang makin lenyap ditelan modenisasi.

P/s : Makin kuat keinginan untuk punya buku hasil tulisan sendiri. Doakan sahabat! =)

6 comments:

  1. salam...

    satu entri yang menarik. saya juga pernah merasai keperitan itu. saya pernah menjadi penyunting bersama pensyarah untuk antologi cerpen mahasiswa guru di kampus saya. sangat mencabar dan penuh emosi.

    ReplyDelete
  2. -Hahaha. Karangan BM ya Wana? Macam kelakarlah pula! ^^

    ReplyDelete
  3. -Fathul Khair, hanya jauhari mengenal manikam. Hehehe

    ReplyDelete

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails