Monday, June 04, 2012

Ini sebuah kisah indah!

Pengajian untuk semester ini sudah hampir sampai ke penghujungnya. Pantas sungguh masa memintas, memang pencuri paling berjaya! Sesekali membelek-belek blog Menjejak Dewasa ini, hati kecil saya berdetik, adakah tulisan saya selama ini memberi manfaat atau tidak kepada pembaca. Maklumlah cerita kecil yang saya lalui kadangkala berbeza dengan orang lain, dan catatan kisah hidup yang saya harungi sekadar perkongsian dengan semua pembaca setia, yang sudi membaca dan mengetahui jatuh bangun saya. Terima kasih!

Saya percaya, rindu itu anugerah. Rahmat Tuhan tanpa batasan. Petang tadi, dihadirkan rindu sebagai tetamu, untuk saya kenang sebuah perjuangan. Benar, saya benar-benar rindu dengan debat. Semua yang berkaitan dengannya. Mungkin hanya siapa yang pernah berada di dalamnya akan tahu betapa indahnya sebuah perjuangan, jatuh bangun untuk mengejar mahkota kejuaraan. Allah, semuanya kerana ilmu dan pengalaman. Indah dan manis! Bersyukur saya ditemukan dengan insan-insan hebat yang sering membuatkan saya kuat. Tuhan, rindunya saat-saat indah bersama mereka.

(Debat IKIM 2010. Delegasi UPSI)

(DAS 2009. Ketika menjadi pengiring dan mula-mula belajar tentang debat.)
Di sudut hati kecil saya, sedih sebenarnya. Tahun ini sudah tahun kedua tidak dapat mengikuti Pertandingan Debat Alam Sekitar (DAS). Mungkin tak ramai yang tahu, saya bermula dengan DAS. Ketika mengakrabkan diri dalam dunia perdebatan universiti, saya menjadi pengiring DAS di UTP. Ya, saya masih ingat lagi ketika itu saya di semester satu dan tidak tahu apa-apa tentang debat peringkat universiti. Perlahan-lahan saya belajar membina diri sebagai pendebat dan akhirnya Tuhan telah menulis untuk saya mewakili universiti dalam pertandingan debat. Saya bukannya hebat dalam perdebatan, cuma seringkali saya digandingkan dengan  mereka yang hebat dan membuatkan kumpulan kami menjadi kuat. Maklumlah, debat bukannya perjuangan individu tetapi perjuangan kumpulan yang menuntut banyak pengorbanan.


(Debat IKIM 2010. Rindu team ini dan seronok bersama mereka!)
Ketika tahun pertama pengajian, saya bermula dengan Debat Diraja mewakili universiti sehingga mencambahkan rasa cinta yang tidak mampu terungkap dengan kata-kata. Bersama abang kakak yang tidak pernah rasa lokek untuk berkongsi ilmu dan pastinya masa yang ada sering dihabiskan bersama mereka! Moga-moga kenangan itu masih kekal dalam kotak ingatan kalian! Debat IKIM yang saya ikuti menambahkan lagi pengalaman saya yang tidak seberapa dalam dunia perdebatan. Rindu mahu berjaga malam mencari fakta kes untuk suku akhir! Indahnya. Dan ujian yang paling saya akan ingat sampai bila-bila sudah pasti Debat Perdana Integriti di UMS. Saat itu, air mata yang mengalir bukan sekadar lakonan tetapi kecintaan yang maha mendalam demi dunia perdebatan! Allah, jika diingat kembali memang mampu membuatkan air mata menitis lagi. Menyambut hari lahir abg Baihaqi di Kota Kinabalu dan macam-macam lagi pengalaman yang kami lalui; sungguh mendewasakan!


(DAS 2010 di UMT. Mencari potensi diri!)
Tahun kedua pengajian, saya diberi peluang untuk mewakili universiti dalam DAS. Ketika itu, hanya Tuhan sahaja yang tahu bagaimana perasaan saya saat bergandingan dengan senior debat UPSI. Saya benar-benar rasa kerdil dan kecil dengan ilmu dan pengalaman. Memang seharusnya tidak layak untuk saya berada di tempat itu. Namun alhamdulillah, kepercayaan yang diberikan oleh kak Nad, abg Fawiz dan abg Suhaimi telah meletakkan kumpulan kami antara 10 yang terbaik antara seluruh IPT. Saat itu juga saya bertekad untuk menebus kekalahan agar tahun berikutnya ada rezeki untuk kami meletakkan UPSI di tempat yang tertinggi. Namun, perancangan Allah mungkin lebih baik. Saya tidak berkesempatan untuk menebusnya tahun lepas dan berharap agar tahun ini ada rezeki untuk saya menebusnya namun rupanya tidak juga.


(Debat Piala Munsyi Abdullah 2011. Kejayaan itu permulaan yang mendewasakan!)
Setelah itu, ada beberapa siri debat yang saya ikuti. Biarlah, rasanya tidak perlu dituliskan di sini. Banyak manapun siri debat yang saya ikuti, semuanya mendewasakan. Membesarkan saya mengenali potensi diri dan kesempatan yang ada saya pasti akan mengutip banyak ilmu dan pengalaman baru. Mungkin ianya sudah sebati dalam diri. Sejauhmanapun dia pergi atau selaju manapun saya berlari; debat tetap menjadi kecintaan dalam diri. Tiga tahun pengajian di UPSI, jatuh bangun saya banyak dipengaruhi dengan debat. Ia istimewa, terlalu istimewa. Debat adalah sebuah kisah indah; tentang impian, harapan dan perjuangan. Kita berdoa, orang lain pun berdoa. Doa siapa yang diangkat, itu rahsia Allah. Ya, saya akan ingati ayat keramat ini sampai bila-bila!


(Debat Diraja 2012 di USM. Mungkinkah ini yang akhir?
Biarlah Allah simpan jawapannya.)

Kali ini, DAS berlangsung ketika minggu pertama saya berpraktikum. Maknanya, saya telah kehilangan peluang lagi tahun ini. Walaupun pernah berjanji untuk kembali bertarung di gelanggang perdebatan untuk DAS tahun ini, ada takdir lain yang telah tertulis. Mungkin pengakhirannya lebih indah. Itu juga rahsia Allah! Buat kalian yang mewakili, doa saya setia mengiringi. Buat yang terbaik!

7 comments:

  1. seronok baca pengalaman amir. moga terus maju

    ReplyDelete
    Replies
    1. -Terima kasih Huda. Kamu pun, selamat maju jaya! ;)

      Delete
  2. semoga berjaya abg amir..dlm debat dan juga sebagai penulis muda..gud luck utk exam dan juga praktikal,nnty...

    ReplyDelete
    Replies
    1. -Makasih dik. Penulis muda? Haha. Blushing! Amin.
      Makasih untuk doa dan sokongannya. Kamu pun, jadi JMK yang berdedikasi. Rebutlah peluang dan ruang itu untuk membina diri menjadi lebih hebat! ^^

      Delete
  3. baca status kak nora , tgk blog a.amir ..
    tba2 rasa touching ...
    sory sbb mcm sia2 kak nora n a.amir ajar dyah debat ..
    tp still lagi x boleh wakil u ..
    makin hari teruk..

    btw, all the best a.amir tuk final..
    selamat berpraktikumm ^^v

    semoga ALLAH s.w.t melindungi kalian ..

    ReplyDelete
    Replies
    1. -Nak buat macam mana, rindu itu tiba-tiba hadir. Rindu kan anugerah, hargai sebaiknya mereka yang berada di sekeliling kita.
      Ish, jangan cakap macam tu. Mungkin kita tidak diberi peluang atau kita sendiri yang tidak mahu mencari dan mencuri peluang yang ada. Masih ada masa. Apapun, buat habis baik dalam segala perkara yang dilakukan! ;)

      Delete
  4. Kamu..jumpa di UM
    N9 dengan UM bukan jauh
    saya sanggup tolak tawaran kerja kerana nak g DAS tau
    :)
    Sebenarnya memang tak nak kerja tu

    ReplyDelete

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails