Sunday, November 04, 2012

Oktober Manis yang Berlalu

Akhir Oktober lalu, saya terima surat daripada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Lama juga sebenarnya saya tidak menerima sebarang surat daripada DBP sama ada memaklumkan karya tersiar di majalah terbitan mereka ataupun untuk pembayaran honorarium.
-Tunas Cipta Oktober, 2012

Ketika menerimanya, terkejut juga saya apabila dimaklumkan bahawa karya saya tersiar di dalam majalah Tunas Cipta edisi Oktober 2012. Maklumlah, lama juga sebenarnya saya tidak menulis dan menghantar karya ke media lebih-lebih lagi agak sibuk dengan latihan mengajar di Seremban. 

Karya saya yang paling akhir tersiar di media adalah pada Disember yang lalu. Karya 'Bukan Terakhir Kali' yang tersiar di Tunas Cipta. Itupun saya ketahui daripada pensyarah UPSI, En. Ghazali Din dan Dr. A. Halim Ali. Setelah itu, sudah tidak tersiar lagi karya saya di media.

Untuk edisi kali ini, saya rasa terlalu manis kerana tuan editor menyiarkan puisi 'Ayahanda' sempena ulangtahun kelahiran saya Oktober yang lalu. Terima kasih Abg Ghani! Walaupun sudah agak lama saya tidak mengakrabkan diri dalam dunia ini, terasa puisi yang tersiar kali ini amat berharga! Dan sebenarnya tanpa sedar, membisikkan pawana semangat untuk saya terus menulis dan memberikan manfaat buat masyarakat.

Sekiranya anda mahu membaca puisi kecil saya, 'Ayahanda', bolehlah dapatkan majalah Tunas Cipta edisi Oktober 2012 di Koperasi DBP atau mana-mana kedai yang ada menjual majalah terbitan DBP di sekitar kawasan anda.

2 comments:

  1. tahniah abg amir... nak pinjam buku tunas cipta yg karya abg amir tersiar tuuu....hehehe

    ReplyDelete
  2. Tunas Cipta Oktober 2012...naskhah terakhir suntingan saya bagi majalah Sastera Generasi Baharu itu. Saya teruja dengan semangat anak-anak muda berkarya! Kini, saya tidak lagi "remaja", tugas mengangkat budaya bangsa Malaysia pula.

    ReplyDelete

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails