Sunday, January 08, 2012

Meniti Pelangi Senja (ii)


* * *

Vanessa terkejut bukan kepalang apabila melihat mamanya terbujur kaku di atas katil. Tujuannya masuk ke bilik mamanya pagi itu ialah mahu mengejutkan mamanya untuk bersiap ke sekolah. Mujur dia bangun awal pagi itu. Dia dapat lihat tompokan darah yang berserakan di atas cadar katil. Dia cuba menjerit untuk meminta tolong, namun suaranya tidak dapat keluar dari kerongkongnya. Vanessa betul-betul kaget. Dia tidak tahu apa lagi tindakan yang harus dilakukannya. Hujung pisau yang masih ada lagi kesan darah ditenungnya.

“Oh, my God! Apa yang harus aku buat ni?” Itu sahaja yang mampu diucapkannya ketika itu.

Dia pun keluar dari bilik mamanya itu. Dirinya sudah tidah tentu arah. Didailnya nombor telefon bimbit abangnya, namun talian tidak dapat disambungkan. Usahanya hampa dan sia-sia. Dia cuba mendail nombor telefon auntienya pula.

“Hello.”

“Ya, kenapa Vanessa?”

Auntie Ann, tolong saya. Datang rumah saya sekarang. Cepat auntie. Emergency!”

Be cool baby. Why?”

Auntie datang secepat mungkin please.”

Okey, auntie gerak sekarang.”

Ann bersiap bergegas ke rumah anak saudaranya. Apa yang telah berlaku sebenarnya? Pelbagai andaian buruk berlegar-legar di kepalanya. Dia cuba memecut selaju mungkin kenderaan yang dipandunya. Kalau boleh, dia mahu secepat mungkin sampai ke destinasi yang harus ditujunya, rumah adik perempuannya, Rosalinda!

“Mana abang kamu?” Sampai sahaja di rumah teres dua tingkat itu, itulah soalan pertama yang diajukannya kepada Vanessa.

“Entahlah auntie, saya pun tak tahu.”

“Apa yang berlaku sebenarnya?”

Vanessa pun membawa Auntie Ann ke bilik mamanya di tingkat atas. Alangkah terkejutnya Ann apabila melihat sekujur tubuh adik perempuannya tidak bergerak lagi. Kaku. Dia cuba mendekati Rosalinda. Telahannya benar, Rosalinda telah tiada. Dia pun mengarahkan Vanessa menelefon saudara maranya supaya memberitahu bahawa Rosalinda sudah tiada lagi.

Ann bergegas ke balai polis berdekatan untuk membuat laporan. Dia juga turut ke gereja memberitahu Paderi Peter tentang kematian adiknya. Selepas pulang dari gereja dia cuba menghubungi Alvin untuk memberitahu perihal mamanya yang sudah tiada lagi. Nasibnya baik apabila taliannya dapat disambungkan.

“Hello Alvin, ni Auntie Ann. Where are u Alvin ?”

“Hm, auntie, Alvin kat rumah kawan ni. Kenapa?”

Auntie nak beritahu Alvin ni. Jangan terkejut ya.”

“Apa halnya ni auntie?”

“Alvin, bersabar sayang. Mama kamu dah tiada.”

“Apa yang auntie cakap ni?”

“Betul sayang. Balik lah tengok mama kamu buat kali terakhir. Kamu di mana? Nak auntie ambilkan ke?”

“Hm, nan… nan… ti saya balik auntie.”

Talian terus diputuskan. Rasa sebak menyelubungi jiwanya. Baru semalam dia bercakap dengan mamanya. Dia bagai tidak percaya apa yang disampaikan oleh auntienya sebentar tadi.

Mak Jah masuk ke bilik Alvin pagi itu membawa sarapan.

“Selamat pagi Alvin .”

“Mak Jah, mak saya dah mati.”

“Apa kamu cakap ni Alvin?”

“Tadi mak cik saya telelefon beritahu yang mama saya dah tiada. Macam mana ni Mak Jah?”

“ Alvin, setiap yang hidup pasti akan mati. Tabah lah dengan apa yang berlaku. Nanti Mak Jah beritahu Encik Danish. Mungkin dia akan bawa kamu balik rumah nanti. Makan dulu ya. Nanti perut kosong pula.”

Alvin tiada selera untuk makan. Tidak disentuh pun makanan yang dibawa oleh Mak Jah. Mak Jah pun telah keluar. Mungkin memberitahu Encik Danish tentang kematian mamanya.

“Mari Alvin, pak cik hantar kamu balik rumah.”

“Tak susahkan pak cik ke? Pak cik kan nak pergi kerja?”

“Pergi basuh muka, gosok gigi. Bersiap cepat. Pak cik tunggu kamu.”

Alvin sudah boleh berjalan sedikit. Tetapi masih terhencot-hencot. Dia melakukan apa yang disuruh oleh Encik Danish tadi. Hatinya sudah berada di rumah teringatkan mendiang Rosalinda dan adiknya, Vanessa.

Ketika Honda CRV berhenti di hadapan rumah yang ditunjuk Alvin, sudah ramai orang membanjiri halaman rumahnya. Kelihatan kawan-kawan dan pelajar-pelajar mamanya turut menziarahi mendiang Rosalinda untuk memberi penghormatan buat kali terakhir.

“Alvin, nanti pak cik datang lagi ya. Pak cik pergi kerja dulu.”

“Terima kasih banyak-banyak pakcik. Jemput masuk dulu pakcik?”

“Petang nanti pak cik datang lagi okey?”

Pukul 2.00 petang, Paderi Peter datang untuk menguruskan acara pengebumian mendiang Rosalinda. Alvin dan Vanessa mengikuti Ann ke Tanah Perkuburan Orang Kristian, Cheras.

Alvin dan Vanessa sayu menyaksikan keranda mamanya dimasukkan ke dalam tanah. Terik matahari tidak memberikan kesan apa-apa walaupun mereka berpakaian serba hitam. Air mata Alvin dan Vanessa tidak tertahan lagi apabila Paderi Peter membacakan doa.

Alvin terasa begitu bersalah menyebabkan kematian mamanya. Mamanya membunuh diri kerananya! Kerana anak derhaka ini! Ketika Paderi Peter memulakan balingan tanah dan bunga-bunga menutupi keranda Rosalinda, Alvin terasa begitu berdosa dan menyesal dengan apa yang berlaku. Tidak dapat lagi dia mendapat kasih sayang seorang ibu!

Kini, Rosalinda bersemadi seorang diri. Bunga-bunga putih menghiasi pusaranya. Tindakan nekadnya membunuh diri menamatkan riwayat hidupnya begitu sahaja.

Ann mengajak Alvin dan Vanessa pulang. Masih terbayang-bayang lagi keramahan adiknya bercerita perihal pelajar-pelajarnya yang sudah berjaya hingga ke menara gading. Adiknya merupakan seorang wanita yang lincah. Ibu tunggal yang tabah membesarkan anak-anaknya tanpa insan bernama suami. Kini, yang tinggal hanyalah kenangannya bersama Rosalinda. Kenangan terindah itulah sahaja yang tetap menari-nari di fikirannya hingga saat ini.

“ Alvin okey sayang?”

Alvin menganggukkan kepalanya.

“Vanessa? Are u okey?”

Hanya anggukan kepalanya menyatakan yang dia sudah tidak terdaya menanggung kehibaan yang menggunung.

* * *

Selepas maghrib, Encik Danish bergerak ke rumah Alvin . Puan Natasha, Mak Jah dan Adriana turut serta. Encik Alvin sengaja balik awal hari itu untuk menziarahi Alvin.

Sampai sahaja di halaman rumah Alvin, masih ramai orang di rumahnya. Ternampak kelibat Encik Danish, Alvin keluar untuk menjemput kedatangan keluarga Encik Danish yang datang.

Are u okey Alvin ?”

Alvin hanya mampu menganggukkan kepalanya sahaja.

“Terima kasih kerana sudi datang encik, puan, Mak Jah.”

Matanya tertancap memandang seorang gadis yang begitu ayu memakai tudung litup.

“Anak saya Alvin, Adriana.”

“Hm, nanti saya ambilkan kerusi. Encik duduk di luar boleh? Di dalam paderi sedang membacakan doa. Takut tidak selesa.”

“Hm, okey.”

Alvin keluar dengan membawa kerusi yang ada di dalam rumahnya.

“Dalam agama kami, jika berlaku kematian, paderi akan membacakan doa selepas pukul 7.00 malam tujuh hari berturut-turut. Untuk mendoakan kesejahteraan si mati dan ahli keluarganya.”

“Ayah kamu mana Alvin ? Maaf pak cik bertanya.”

“Ayah saya dah bercerai dengan mama 15 tahun dah. Sekarang kami pun tak tahu mana lelaki itu. Mungkin dah ada keluarga baru.”

“Pak cik, boleh ke pak cik, mak cik, Mak Jah ajar saya mendalami Islam. Saya ingat mahu menukar agama.” Alvin bersuara.

“Betul ke apa yang kamu cakap ni? Kamu betul-betul dah tekad? Pak cik semua tak ada masalah. Bergantung pada diri kamu juga. Hati kamu kena ikhlas. Ni bukan perkara main-main. Kalau kamu memang betul-betul nak mendalami Islam, kamu boleh duduk dengan pak cik. Lagipun kamu dah tak ada tempat bergantung kan.”

Selesai acara malam itu, Alvin menyuarakan hasratnya untuk menukar agama kepada Auntie Annnya.

“Betul kamu dah fakir masak-masak Alvin? Auntie tak membantah dan tak galakkan. Tapi kalau kamu memang betul-betul mahu tukar agama, jangan lupa adik kamu tu. Dialah satu-satunya darah daging yang kamu ada.”

Encik Danish meninggalkan nombor telefonnya kepada Alvin supaya mudah dihubungi. Malam itu Alvin tidur di rumahnya. Auntie Ann setia menemani mereka dua beradik.

“kalau kamu betul-betul mahu tukar agama, esok kita ke gereja ya Alvin. Jadi, auntie akan menjaga Vanessa. Kalau kamu nak jumpa adik kamu, datanglah ke rumah auntie ya.”

“Terima kasih auntie kerana memahami. Sebenarnya dah lama saya berniat untuk memasuki Islam. Tapi saya takut mama membantah. Bila saya kemalangan dan ditemukan dengan orang yang berhati mulia macam Encik Danish membuatkan perasaan saya begitu kuat menyuruh saya mendalami agama baru ini.”

Auntie doakan kamu berbahagia dengan agama baru kamu nanti. Yang penting jaga agama baru kamu elok-elok, jangan lupakan adik kamu ni ya sayang.”

* * *

Paderi Peter seperti biasa menyambut kedatangan Ann dan Alvin dengan senyuman. Vanessa yang turut serta hanya duduk di dalam kereta. Tidak mampu menyaksikan apa yang akan berlaku.

“Betul kamu mahu kaluar dari agama ini Alvin?”

“Suara hati saya meyakinkan saya yang hati saya memang sudah terpaut dengan Islam.”

“Apa yang saya mahu pesan kepada kamu ialah, sekiranya kamu sudah masuk agama baru, ikhlaskan hati kamu seikhlasnya. Jaga agama baru kamu sebaik mungkin. Jangan burukkan agama lama kamu ya. Jadi, saya akan batalkan sijil babtis kamu mulai saat ini.”

Alvin mengangguk tanda memahami apa yang diperkatakan paderi sebentar tadi. Jiwanya terasa terlepas dari beban yang maha berat apabila paderi itu membatalkan sijil babtisnya. Sijil taubat yang hanya dilakukan sekali seumur hidupnya.

Alvin menelefon Encik Danish untuk membawanya ke Pejabat agama Islam menyelesaikan urusan pengislamannya. Encik Danish akan mengambil Alvin di rumahnya sebentar lagi.

“Ingat Alvin, pesan Paderi Peter tadi.” Auntie Ann berpesan entah kali ke berapa.

* * *

Encik Danish menjadi saksi lafaz shahadah yang keluar dari mulut Alvin. Shahadah yang dilafazkan Alvin di hadapan Imam Syazwan Hibatullah sebagai bukti yang kini Hazim Iskandar seorang Islam. Nama Alvin tetap akan menjadi kenangan buatnya. Encik Danish bersyukur prosesnya berjalan dengan lancar.

Hazim Iskandar teringat kata-kata mamanya, ‘pelangi itu sangat indah. Tidak selalu dia hadir dalam hidup kita ini.’ Dia mengakui kata-kata mamanya. Kini, dia sedang meniti sang pelangi walaupun sudah jauh terlajak dalam hidup. Dia yakin masih belum terlambat untuk dia mencuci dosanya. Walaupun senja sudah berlabuh, dia bersyukur, dirinya terpilih untuk menelusuri jalan kebenaran ini.

‘Titian pelangi senja ini akan kususuri dengan penuh kesyukuran. Terima kasih Tuhan!’

-TAMAT-

2 comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails