Tuesday, January 17, 2012

Rasa Yang Menyatukan

Malam sudah larut benar dan mata belum bersedia untuk lelap, masih segar. Malam tadi makan bersama lelaki-lelaki dalam keluarga debat, cuma ada abang Fawiz, Hisyam, Zalie dan Din. Entahlah, jujurnya saya tidak tahu apakah rasa yang sedang menyelinap di gapura hati. Perasaan yang hadir bercampur baur. Saya cuba untuk tidak sedih, seperti biasa gelak tawa saya membuatkan orang sekeliling memandang sinis. Walhal sedaya upaya saya menyembunyikan rasa sedih yang kurang enak itu. Sekadar mahu menceriakan suasana, mungkin bagi yang belum mengenali saya akan katakan yang saya ini sudah gila. Ish, apakah!

Saya mula menggauli keluarga debat sejak tahun pertama lagi, dari semester satu dan apabila difikirkan kembali rupanya saya membesar dengan keluarga ini. Ya, yang banyak mengajar saya tentang pelbagai perkara.; tentang cita, cinta, harapan dan impian. Saya baru selesai melihat kembali foto-foto kenangan yang masih dalam simpanan, sejak mula saya kenal keluarga debat UPSI. Aduh, betul-betul rasa rindu. Benarlah, saat itu tidak akan berulang kembali. Ya, saya amat percaya!

-Jujur, amat merindui figura-figura mereka yang hebat ini! ;)

Masa terus bergulir dan seorang demi seorang daripada mereka yang pernah bergelumang dalam dunia oratar akan meninggalkan keluarga ini, menjadi dewasa dengan jalan sendiri. Saat yang saya tidak mahu tiba juga, menjadi antara yang 'tertua' dalam keluarga ini. Bila difikirkan kembali, banyak rasa yang tersimpan dalam jiwa -membiarkan sahaja agar satu hari nanti kenangan itu terus hidup dalam ingatan.

Debat membawa saya mengenali suatu perkara, iaitu perjuangan. Ya, walau apapun yang terjadi rasa untuk berjuang itulah sebenarnya yang menyatukan. Mengangkat nama UPSI sebagai juara dalam arena debat intervarsiti adalah antara impian saya, mungkin satu masa nanti harapan saya ini akan menjadi nyata. Allah, kabulkanlah doa hamba kerdil-Mu ini. Hakikatnya, kejayaan itu sebenarnya adalah perjalanan, bukan destinasi.  Debat juga hakikatnya bukanlah perjuangan individu. Ia memerlukan kesungguhan, ketekunan dan setiakawan. Mungkin ada sesetengah mata yang melihat perjuangan ini mudah, namun dalam perjuangan yang sebenarnya lebih banyak pahit daripada manis, lebih banyak sukar daripada senang dan pastinya lebih banyak getir daripada indah.

-Sebahagian daripada kenangan saya, Debat Alam Sekitar 2010 (UMT).

Namun, mereka yang setia bergulat dalam gelanggang ini semestinya lebih arif mentafsir segenap rincuh rasa kerana 'lebih banyak' pahit, sukar dan getir itulah sebenarnya yang mendewasakan kita menjadi seorang yang kuat dan hebat. Rasa yang menyatukan kita inilah sebenarnya yang membuatkan kita lebih akrab dan bersatu dalam sebuah perjuangan. Moga-moga akhirnya nanti, kita diselubungi rasa indah yang tidak berpenghujung.

2 comments:

  1. sedih bc entrie nie ...
    ttba rindu kak nora :( *

    ReplyDelete
  2. salam mir...link huda...baca ya...mohon komennya...http://nurulhudataib.blogspot.com/2012/01/mana-kesedaran-kita-tolong-ambil.html

    ReplyDelete

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails